10/27/2009

“Saya Tiz Zaqyah, bukan Nur Amina”

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:NOOR AZLINA JAAFAR & TZR FC


KONTROVERSI gambar seksi pelakon baru yang sedang meningkat naik, Tiz Zaqyah Razak sedang bersosial bersama rakan-rakan di pusat hiburan serta aksi-aksi hangat lain yang tersebar secara meluas di Internet, mengundang kecaman hebat daripada peminat.

Agak sukar untuk peminat menerima kenyataan Tiz Zaqyah melakukan perbuatan yang kontra dengan wataknya sebagai Nur Amina, seorang gadis solehah dan bertudung menerusi drama Nur Kasih.

Kerana impak lakonannya itu, peminat terlupa dan sukar menerima hakikat bahawa Tiz Zaqyah dan Nur Amina ialah individu yang berbeza.

“Saya sebenarnya malas ulas lagi perkara ini. Memanglah sewaktu mula-mula dulu ramai yang telefon saya untuk minta komen, tapi sekarang saya rasa isu itu dah berlalu dan saya pun dah minta maaf kepada peminat.

“Setiap orang punya kelebihan dan kekurangan. Saya akui kesilapan yang dilakukan. Peminat perlu sedar, di luar lakonan saya adalah Tiz Zaqyah dan bukannya Nur Amina.

“Gambar itu diambil dua tahun lepas. Hanya baru sekarang disebarkan dalam Internet. Orang yang buat kerja ini bukanlah musuh saya, tapi ia seperti jadi hobi mereka mencari gosip untuk dimuatkan dalam blog.

“Ini bukan perbuatan kawan-kawan saya kerana banyak lagi kerja lain mereka nak buat. Pada saya, orang yang buat ini ialah mereka yang tak ada kerja dan suka buat perkara-perkara yang tidak berfaedah,” tegasnya ketika dihubungi.

Hati-hati

Biarpun mengaku agak terkesan awalnya dengan perkara tersebut, Tiz bersikap positif dan terus memandang ke hadapan. Dia tidak bermasalah untuk muncul di khalayak ramai.

“Secara jujur, saya mengaku tak tahu sangat penerimaan peminat sebab saya tak ambil tahu sangat pun perkara itu. Ibu bapa suruh saya bersabar dan buat yang terbaik dalam lakonan.

“Pihak Filmscape ( yang menerbitkan drama Nur Kasih) tidak salahkan saya. Malah, mereka suruh saya tingkatkan lagi mutu lakonan. Paling terharu di saat ada yang mengecam, ramai yang tampil beri nasihat.

“Alhamdulillah, mereka tak pandang negatif pada saya. Saya pun berjanji akan lebih berhati-hati di masa depan. Jika diikutkan, dah lama pun saya tinggalkan aktviti sosial seperti dulu,” terang gadis berusia 21 tahun yang mesra disapa sebagai Tiz.

Kelab peminat

Terharu! Itulah yang dapat dikatakan oleh Tiz apabila sebahagian peminat menubuhkan kelab peminat yang diberi nama, Tiz Zaqyah Razak Fan Club (TZR FC). Perkara ini jarang berlaku pada pelakon baru.

“Kelab peminat ini baru sangat ditubuhkan dan mempunyai sebanyak 150 ahli. Saya sendiri tak sangka kerana ingatkan mereka main-main. Kami dah buat perjumpaan pertama di sebuah restoran baru-baru ini.

“Paling terharu ada yang sanggup datang dari jauh dari Terengganu dan Singapura semata-mata hendak turut serta. Mereka rancang nak adakan pelbagai program nanti.

“Saya tak nafikan drama Nur Kasih menjadi tapak asas penubuhan kelab peminat ini. Saya tak halang kerana ia benda baik serta dapat himpunkan peminat di bawah satu bumbung.

“Cuma, saya takutlah kalau-kalau ia hanya bersifat sementara. Apa pun saya berjanji akan buat yang terbaik. Begitu juga mereka yang berjanji akan menghidupkan aktiviti TZR FC,” kata Tiz yang berinteraksi dengan peminat menerusi laman sosial Facebook.

Bercinta dengan Isma Yusoof?

Sejak ditemukan dalam sesi fotografi Hari Raya HAI sebelum ini, Tiz dikatakan rapat dengan pelakon Isma Yusoof. Mereka dikatakan kerap berhubung sekarang. Adakah mereka sedang bercinta?

Malah bukan saja Isma, Tiz juga dikatakan digilai oleh ramai lelaki di luar sana. Agaknya mereka terpikat dengan lakonannya sebagai Nur Amina?

“Bercinta dengan Isma? Mana ada! Pandai-pandai buat cerita kan! Dia hanya nak ajak saya berlakon drama dan klip- video arahannya nanti. Hubungan kami hanya sebagai kawan sesama artis.

“Sebenarnya saya banyak kawan lelaki berbanding kawan wanita. Saya tak selesa dengan kawan wanita dan hanya ada seorang dua yang rapat kerana berkawan dengan wanita banyak sensitifnya.

“Dengan lelaki tak banyak kerenah sangat. Tapi kami tahu batasan sebagai kawan dan tak lebih dari itu. Tentang banyak lelaki yang minat saya pula, mereka kena sedar saya ialah Tiz bukannya Nur Amina.

"Apa pun saya tak fikir untuk bercinta lagi kerana mahu fokus pada karier. Banyak lagi yang saya perlu belajar tentang dunia lakonan,” ujar Tiz yang sentiasa ceria.

1 ulasan: