10/27/2009

Selamat Bertunang Umie Aida!

Seronok main game di Disneyland Hollywood, Los Angeles.

Bersama Betty dan Awal di depan Rumah Disneyland.

Bersama Betty dan Awal di depan Rumah Disneyland.

Mewah dan bergaya! Menaiki limousin sepanjang berada di Los Angeles.

Di Hollywood Boulevard.

Teruja jumpa pelakon dan pelawak popular Eddie Murphy. Tapi, patung lilinnya sajalah yang ditempatkan di Madame Tussauds Hollywood.

Dapat jumpa patung lilin Angelina Jolie dan Brad Pitt pun jadilah…

Di depan deretan butik.

Cuba merasa sesi uji bakat dalam program realiti American Idol.

Macam real patung lilin Simon Cowell, pengkritik paling pedas American Idol.

Terkejut melihat kedai yang menyediakan pelbagai jenis kek dan biskut untuk anjing iaitu The Bakery For Dogs. Jangan cuba nak makan di sini sebab kedai ini khas untuk anjing sahaja ya...

Umie puas melawat Universal Studios Hollywood.

Di Madame Tussauds Hollywood.

Seronoknya dapat peluk Will Smith. Cuba tengok gaya Betty

Puas makan cokelat di kedai cokelat terbesar M&M.


OLEH: EMMA HASSAN
FOTO: ALBUM UMIE AIDA


TIDAK kisahlah apa yang dilakukan oleh Umie Aida sekarang dalam drama atau filem terbarunya kerana perkara paling utama jadi tumpuan ramai ialah berita gembira mengenai perkahwinannya.

Semasa aktres berkaliber ini memberikan foto-foto menarik percutiannya ke Los Angeles, Amerika Syarikat sebelum bulan Ramadan lalu, topik kahwin tidak lepas dibincangkan.

Sebagai bukti kesungguhannya mengakhiri zaman bujang, Umie Aida telah selamat melangsungkan ikatan pertunangan dengan Datuk Paduka Khairudin, 44, pada 29 September lalu. Majlis pertunangan dilakukan di kediaman barunya di Mont Kiara.

Lelaki bertuah itu merupakan duda kepada dua orang anak lelaki. Sama seperti Umie Aida yang turut memiliki dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel Firdaus, 16 dan Mohd. Dzulhelmy,15.

“Tarikh kahwin masih dalam perbincangan. Semasa majlis pertunangan, tidak menetapkan sebarang tempoh. Saya sedar, ramai tertanya-tanya tentang tarikh keramat itu.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya tidak akan berahsia tentang benda yang elok. Saya akan umumkan. Cuma buat masa ini kami sedang dalam proses mencari tarikh yang benar-benar sesuai.

“Lagipun, sekarang ini saya banyak komitmen. Saya tak mahu terburu-buru. Memanglah kalau boleh mahu buat secepat mungkin,” jelas Umie yang diakui ramai sekarang ini semakin terserlah kejelitaannya. Mungkin benar kata orang, seri pengantin agaknya.

Pintu hati pernah tertutup

Berkongsi dengan HAI mengenai lelaki dalam hidupnya itu, kata Umie bakal suaminya itu seorang yang sangat pemalu dan low profile.

“Wajah bakal suami saya itu hanya akan dapat dilihat semasa majlis perkahwinan kami nanti. Dia sangat pemalu.

“Kenapa pilih dia? Kalau sudah jodoh Tuhan tetapkan antara Umi Khalsum Rahmad dengan Khairudin, saya terima dengan hati yang terbuka dan ikhlas.

“Dalam tempoh perkenalan yang sangat singkat, saya bersyukur kerana inilah jodoh saya. Dialah lelaki terbaik dan tepat menjadi pemimpin dalam hidup saya.

“Tiada siapa yang kenalkan. Dia sendiri yang mengenalkan dirinya pada saya. Mula-mula berkawan saja sebab saya bukan mudah untuk terus jatuh cinta.
“Saya cakap pada dia, saya susah jatuh cinta, jadi jangan buang masa sebab perasaan saya hanya tumpu pada anak-anak. Saya katakan yang saya selesa dengan kehidupan sekarang.

“Lantas dia pula jawab, tidak mengapalah… dia akan berdoa agar pintu hati saya terbuka menerima kehadirannya. Ternyata, dia tidak putus asa. Nampak dia jujur dan ikhlas.

“Dia cakap pada saya, izinkan dirinya menjadi suami dan bapa kepada anak-anak saya. Lama-lama rasa cinta itu hadir… saya fikir yang saya harus hidup normal dan beri peluang pada diri sendiri melalui alam rumah tangga. Kalau berkata tidak, saya takkan tahu macam mana pengalamannnya.

“Saya beri peluang pada diri sendiri. Sebelum ini, pintu hati saya telah tertutup untuk berkahwin selepas pulang mengerjakan umrah,” cerita Umie.

Tarikh kahwin

Di samping itu, teka-teki orang sekeliling kononnya adik pengarah popular Erma Fatima ini bakal berkahwin pada hujung bulan ini, disangkal dengan tenang.

“Yalah, saya ada dengar juga orang tertanya-tanya. Tapi, jawapannya tak mungkinlah dalam bulan ini sebab masa terlalu singkat.

“Lagipun, banyak benda harus dilakukan. Dia pula sangat sibuk dengan pelbagai urusan kerja. Jadi, kami perlu mencari tarikh yang sesuai buat kedua-dua belah pihak.

“Lagipun, selepas bertunang, saya masih sibuk dengan urusan lakonan. Malahan, selepas berkahwin nanti, saya tetap berlakon kerana sudah menjadi sebahagian darah daging.

“Cuma, saya mahu lebih tumpukan perhatian pada syarikat penerbitan filem dan drama. Apatah lagi, saya harus fokus pada pementasan teater Natrah di Istana Budaya pada November ini.

10 hari di Los Angeles

Sebelum Ramadan lepas, Umie bersama adiknya, Betty serta pengacara dan pelakon Awal Ashaari telah bercuti selama sepuluh hari di Los Angeles (LA). Sudah tentu, ramai yang fikir Umie ke sana bagi mencari barang-barang persiapan perkahwinan.

“Mengapa harus di LA mencari barang persiapan kahwin? Di Malaysia ini banyak barang yang lebih bagus.

“Sebenarnya, memang sudah lama saya rancang bercuti ke sana sebab mahu melawat Universal Studios Hollywood. Bolehlah lepaskan tekanan kerja di samping bermain banyak game yang disediakan di sana.

“Hanya dua hari terakhir di sana barulah saya membeli-belah di beberapa buah butik antaranya Rodeo Drive dan Premium.

“Tak banyaklah shopping sebab tujuan ke sana untuk bercuti makan angin,” terang Umie Aida yang tentunya sedang diulit bahagia, malahan mungkin juga gementar menempuh fasa baru kehidupan.

“Saya Tiz Zaqyah, bukan Nur Amina”

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:NOOR AZLINA JAAFAR & TZR FC


KONTROVERSI gambar seksi pelakon baru yang sedang meningkat naik, Tiz Zaqyah Razak sedang bersosial bersama rakan-rakan di pusat hiburan serta aksi-aksi hangat lain yang tersebar secara meluas di Internet, mengundang kecaman hebat daripada peminat.

Agak sukar untuk peminat menerima kenyataan Tiz Zaqyah melakukan perbuatan yang kontra dengan wataknya sebagai Nur Amina, seorang gadis solehah dan bertudung menerusi drama Nur Kasih.

Kerana impak lakonannya itu, peminat terlupa dan sukar menerima hakikat bahawa Tiz Zaqyah dan Nur Amina ialah individu yang berbeza.

“Saya sebenarnya malas ulas lagi perkara ini. Memanglah sewaktu mula-mula dulu ramai yang telefon saya untuk minta komen, tapi sekarang saya rasa isu itu dah berlalu dan saya pun dah minta maaf kepada peminat.

“Setiap orang punya kelebihan dan kekurangan. Saya akui kesilapan yang dilakukan. Peminat perlu sedar, di luar lakonan saya adalah Tiz Zaqyah dan bukannya Nur Amina.

“Gambar itu diambil dua tahun lepas. Hanya baru sekarang disebarkan dalam Internet. Orang yang buat kerja ini bukanlah musuh saya, tapi ia seperti jadi hobi mereka mencari gosip untuk dimuatkan dalam blog.

“Ini bukan perbuatan kawan-kawan saya kerana banyak lagi kerja lain mereka nak buat. Pada saya, orang yang buat ini ialah mereka yang tak ada kerja dan suka buat perkara-perkara yang tidak berfaedah,” tegasnya ketika dihubungi.

Hati-hati

Biarpun mengaku agak terkesan awalnya dengan perkara tersebut, Tiz bersikap positif dan terus memandang ke hadapan. Dia tidak bermasalah untuk muncul di khalayak ramai.

“Secara jujur, saya mengaku tak tahu sangat penerimaan peminat sebab saya tak ambil tahu sangat pun perkara itu. Ibu bapa suruh saya bersabar dan buat yang terbaik dalam lakonan.

“Pihak Filmscape ( yang menerbitkan drama Nur Kasih) tidak salahkan saya. Malah, mereka suruh saya tingkatkan lagi mutu lakonan. Paling terharu di saat ada yang mengecam, ramai yang tampil beri nasihat.

“Alhamdulillah, mereka tak pandang negatif pada saya. Saya pun berjanji akan lebih berhati-hati di masa depan. Jika diikutkan, dah lama pun saya tinggalkan aktviti sosial seperti dulu,” terang gadis berusia 21 tahun yang mesra disapa sebagai Tiz.

Kelab peminat

Terharu! Itulah yang dapat dikatakan oleh Tiz apabila sebahagian peminat menubuhkan kelab peminat yang diberi nama, Tiz Zaqyah Razak Fan Club (TZR FC). Perkara ini jarang berlaku pada pelakon baru.

“Kelab peminat ini baru sangat ditubuhkan dan mempunyai sebanyak 150 ahli. Saya sendiri tak sangka kerana ingatkan mereka main-main. Kami dah buat perjumpaan pertama di sebuah restoran baru-baru ini.

“Paling terharu ada yang sanggup datang dari jauh dari Terengganu dan Singapura semata-mata hendak turut serta. Mereka rancang nak adakan pelbagai program nanti.

“Saya tak nafikan drama Nur Kasih menjadi tapak asas penubuhan kelab peminat ini. Saya tak halang kerana ia benda baik serta dapat himpunkan peminat di bawah satu bumbung.

“Cuma, saya takutlah kalau-kalau ia hanya bersifat sementara. Apa pun saya berjanji akan buat yang terbaik. Begitu juga mereka yang berjanji akan menghidupkan aktiviti TZR FC,” kata Tiz yang berinteraksi dengan peminat menerusi laman sosial Facebook.

Bercinta dengan Isma Yusoof?

Sejak ditemukan dalam sesi fotografi Hari Raya HAI sebelum ini, Tiz dikatakan rapat dengan pelakon Isma Yusoof. Mereka dikatakan kerap berhubung sekarang. Adakah mereka sedang bercinta?

Malah bukan saja Isma, Tiz juga dikatakan digilai oleh ramai lelaki di luar sana. Agaknya mereka terpikat dengan lakonannya sebagai Nur Amina?

“Bercinta dengan Isma? Mana ada! Pandai-pandai buat cerita kan! Dia hanya nak ajak saya berlakon drama dan klip- video arahannya nanti. Hubungan kami hanya sebagai kawan sesama artis.

“Sebenarnya saya banyak kawan lelaki berbanding kawan wanita. Saya tak selesa dengan kawan wanita dan hanya ada seorang dua yang rapat kerana berkawan dengan wanita banyak sensitifnya.

“Dengan lelaki tak banyak kerenah sangat. Tapi kami tahu batasan sebagai kawan dan tak lebih dari itu. Tentang banyak lelaki yang minat saya pula, mereka kena sedar saya ialah Tiz bukannya Nur Amina.

"Apa pun saya tak fikir untuk bercinta lagi kerana mahu fokus pada karier. Banyak lagi yang saya perlu belajar tentang dunia lakonan,” ujar Tiz yang sentiasa ceria.

APA KHABAR : YOUVIE & NONO

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: IZZAT AIMAN (PELATIH LIM KOK WING)


Yovie & Nuno tak jaga hati peminat Malaysia?

LAGU Menjaga Hati daripada album The Special One ternyata memberi impak yang cukup besar di Malaysia buat band dari Indonesia, Yovie & Nuno.

Band yang dianggotai oleh Yovie Widianto atau Yovie (piano dan keyboard), 41, Dudi Oris atau Dudi (vokalis), 33, Pradikta Wicaksono atau Dikta (vokalis), 23, dan Muchamad Ahadiyat atau Diat (gitar), 35 mula dikenali di sini gara-gara lagu tersebut.

Namun, di sebalik populariti yang diraih, ada cakap-cakap nakal yang mengatakan band itu khabarnya sombong lantaran lewat bertemu peminat di Malaysia.

“Bukannya kami sombong dan tidak mahu menemui peminat di Malaysia. Jadual kerja kami amat padat. Ada saja undangan persembahan yang harus kami hadiri.

“Kami cuba memenuhi undangan pihak Malaysia yang ingin membawa kami ke sini, cuma masa yang diberikan tidak sesuai dengan jadual kami di Indonesia.

“Akhirnya, setelah sekian lama menanti, kami berpeluang juga ke Malaysia untuk berada dekat dengan para peminat.

“Dalam kunjungan kedua ke sini, barulah kami berpeluang membuat persembahan. Sebelum ini, kami pernah ke sini untuk menghadiri MTV Asia Award di Genting Highlands pada tahun 2008.

“Kami berharap selepas ini akan kerap ke Malaysia bagi mengeratkan lagi hubungan dengan peminat,” kata Yovie mewakili teman-temannya dalam band tersebut.

Kurang komersial

Selain dilabel sombong dan tidak pandai menjaga hati peminat di Malaysia, ramai yang mengatakan bahawa nama band itu juga dianggap kurang komersial berbanding band-band lain dari seberang seperti Ungu, Kerispatih, Sheila On 7, Padi dan Dewa 19.

“Kami tidak kisah jika nama Yovie & Nuno dikatakan tidak komersial, asalkan jualan album kami komersial.

“Kami tidak pernah mengejar populariti. Kami wujud dalam industri muzik adalah untuk komersilkan lagu-lagu kami.

“Apa yang paling penting adalah kualiti dan bagaimana kami berkarya agar terus kekal dalam ingatan peminat sebagai pemuzik yang hebat,” ujar Yovie.

Antara terbaik

Yovie & Nuno telah mencapai tahap yang cukup membanggakan dalam perjalanan karier mereka tahun ini.

Band ini telah menerima pengiktirafan di peringkat Asia apabila memenangi kategori Duo/Kumpulan Baru Terbaik dan Artis Indonesia Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 pada 18 Julai lalu, sekaligus membuktikan kehebatan jenama muzik mereka.

“Itu merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan muzik Yovie & Nuno. Kami sebenarnya tidak menyangka akan menang.

“Kemenangan di APM juga merupakan peluang dan kesempatan untuk kami memperkenalkan muzik dan jenama Yovie & Nuno di Malaysia, juga Singapura.

“Saya rasa pemuzik dari Malaysia dan Singapura tidak mempunyai masalah untuk dikenali di Indonesia asalkan karya yang ingin disampaikan adalah berkualiti dan bagus,” terang Yovie mengakhiri perbualan bersama HAI.

Bagi pembaca HAI yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang band ini, layari laman web www.yovienuno.com.

Hafiz rasa tersisih?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: HAFIZ KHOSMAT


BELUM sampai setahun bergelar juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Mohd. Hafiz Mohd. Suip semakin menyepi. Namanya kurang disebut, malahan populariti rakan-rakannya yang lain pula mengatasinya.

Hafiz juga dilihat tidak tersenarai sebagai pelakon utama menjayakan drama muzikal Kau dan Aku, hasil kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia. Sedangkan pada masa yang sama dua rakannya, Aril dan Akim terlibat dalam penggambaran drama tersebut.

Bertanyakan perkara itu, penyanyi remaja yang juga ikon anak muda dari Sarawak ini tidak merasakan dirinya tersisih.

“Sebenarnya, perkara ini sudah pun dirancang semasa dalam AF7 lagi. Pihak produksi memang sudah memilih Aril dan Akim untuk menyertai drama muzikal itu.

“Mungkin pihak produksi dan pengurusan ada perancangan sendiri. Mungkin mereka mahu Aril dan Akim ke Indonesia, dan saya pula perlu memenuhi jadual di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, saya ada terlibat sedikit dalam drama itu, tapi sekadar cameo saja.

“Memanglah saya juara, tapi tidak bermakna setiap aktiviti seni produk AF perlu ada saya. Saya pun tak cemburu dengan mereka.

“Itu rezeki mereka. Mungkin rezeki saya di ruang yang lain. Walaupun ada yang menganggap nama saya sedikit tenggelam, tetapi pihak pengurusan sebenarnya sedang merangka beberapa aktiviti seni saya,” jelas Hafiz.

Cuba berlakon

Mahu bergelar anak seni sejati, Hafiz tidak mengehadkan pada aktiviti nyanyian semata-mata.

Walaupun terasa janggal pada awalnya, Hafiz mengakui semakin meminati dunia lakonan.

“Sejak berada dalam AF7, saya bertekad untuk cuba menceburi semua cabang seni. Saya mahu menjadi seorang artis yang serba boleh, bukan sekadar boleh menyanyi malah saya mahu jadi penghibur yang baik.

“Mula-mula berlakon memang susah. Tapi apabila bekerjasama dengan kawan-kawan dan pihak produksi yang baik, maka perkara yang susah itu menjadi senang.

“Saya juga mengharap maklum balas daripada para peminat mengenai lakonan pertama saya itu,” ujar Hafiz yang akan muncul dengan lagu single kedua berjudul Noktah Cinta.

Terlalu sayang

Berpegang pada prinsip, ‘tanpa peminat siapalah dirinya’, penyanyi remaja ini tidak akan pernah melupai jasa para peminatnya.

“Saya terlalu sayang pada semua peminat kerana merekalah yang memberi rezeki pada saya. Peminat sangat penting dalam kerjaya saya. Sejak dalam AF7, merekalah yang paling banyak menaikkan saya sehingga menjadi juara.

“Pada saya, melayan peminat bukan sekadar mendengarkan mereka dengan lagu-lagu terbaru sahaja, mereka juga perlu diajak berbual dan dilayan mesra.

“Saya tak kisah penat, asalkan mereka gembira. Sebab itu kami di Hafiz Frenz Club sering menganjurkan aktiviti bersama peminat kerana pada saya mereka adalah nadi dalam kerjaya saya,” terang Hafiz yang akan menyambung pelajarannya pada awal tahun depan.

Iqbal mohon diberi peluang

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: MOHD. SHARIFUL HAFIZAL


MACAM-MACAM hal dibangkitkan mengenai juara pertama program Pilih Kasih, Muhamad Iqbal Mazlan.

Di sebalik kejayaannya menjadi pilihan Rosyam Nor meraih gelaran pertama itu, namun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan mengatakan anak muda itu sebenarnya tidak layak menang.

“Mungkin penonton belum berpeluang sepenuhnya melihat bakat lakonan saya. Tempoh sebelas minggu dalam Pilih Kasih sebenarnya tidak cukup untuk saya tonjolkan bakat.

“Mungkin, abang Rosyam dapat melihat bakat saya dan sebab itulah dia buat keputusan yang berpihak pada saya.

“Sehingga hari ini saya masih terkejut bergelar juara. Saya menyertai Pilih Kasih hanya sebagai platform untuk dikenali sebagai pelakon.

“Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bergelar juara atau meraih hadiah lumayan. Saya masih bertatih untuk menjadi seorang pelakon pelapis dalam industri ini. Saya harap, peminat di luar sana akan memberikan peluang bagi saya membuktikan bakat lakonan,” pinta Iqbal yang sebelum ini pernah mencuba bidang nyanyian. Wajahnya juga dikatakan persis Dafi.

Kurang popular

Selain mencari bakat-bakat baru dunia lakonan, tujuan program Pilih Kasih diadakan juga adalah untuk mencari pelakon yang akan ditonjolkan dalam projek terbaru Rosyam Nor bersama pengarah, Bade Hj Azmi menerusi filem, Kekasih.

Ditanyakan tentang hal tersebut, Iqbal memberitahu HAI bahawa penggambaran filem itu dijangka berlangsung pada tahun depan.

“Filem itu terpaksa ditangguh dahulu kerana abang Rosyam mahu top 5 Pilih Kasih membina nama dan populariti terlebih dahulu sebelum memulakan projek tersebut.

“Yalah, kami masih baru dan kurang popular. Oleh itu, kami diberi masa untuk meningkatkan lagi populariti dan mutu lakonan sebelum beralih ke layar perak.

“Sekarang, saya sedang sibuk dengan pengambaran telefilem arahan Along Kamaludin berjudul Terima Kasih Cikgu yang dijangka disiarkan di RTM pada akhir tahun ini.

“Selain itu, lakonan saya dalam telefilem Celupar terbitan Nuad Production bakal ditayangkan tidak lama lagi,” katanya.

Nyanyian

Iqbal terlebih dahulu pernah mencuba nasib dalam pertandingan realiti Akademi Fantasia, Mystarz LG dan One In A Million.

“Awalnya, minat utama saya pada nyanyian. Tetapi, minat dalam lakonan mula dipupuk selepas menyertai pementasan teater Lorong Blues bersama sepupu saya, Haziq AF4 di bawah arahan Fauziah Nawi, pada tahun 2007.

“Untuk menghayati lakonan, saya sering berlatih dengan bercakap seorang diri di depan cermin.

“Namun, saya takkan lupakan nyanyian. Abang Rosyam sendiri ada memberitahu, untuk bergelar anak seni yang berjaya, tidak semestinya kena berlakon saja. Saya juga perlu ada minat kedua dan mencuba bidang seni yang lain,” ujar Iqbal.

Azlan yakin tanpa Meet Uncle Hussain

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: JEFFRI IRAN


DULU dia dikenali sebagai Lan, vokalis band indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH). Tetapi, kini dia mahu dikenali dengan nama Azlan & The Typewiter (ATT).

Tidak mahu berpaling ke belakang lagi, Azlan yakin mampu dengan jentera pemuzik undangan itu yang akan mengiringnya dalam setiap persembahan.

Masih bernaung di bawah label yang sama, Satu Entertainment Sdn. Bhd., Azlan ingin menampilkan sisi lain dirinya dalam bidang muzik yang amat dicintai.

“MUH adalah satu nama yang cukup besar. Untuk apa saya mahu turun semula bermula dari awal? Konklusinya adalah kerana ideologi yang sangat berbeza.

“Sekarang, saya berpeluang menonjolkan diri saya yang sebenar menerusi ATT. Kelainan daripada saya ialah dari segi lirik yang mendalam (metafora) dan tidak mengandungi unsur-unsur sarkastik (satirah).

“Susunan muzik ATT juga sangat istimewa kerana saya banyak bereksperimen dengan muzik yang pelik-pelik.

“Soal saya akan diterima atau tidak semuanya bergantung pada pendengar. Dalam dunia ini ada macam-macam jenis pendengar.

“Ada yang mendengar kerana minat pada muzik dan ada juga kerana personaliti sesebuah band atau penyanyi.

“Tetapi, kelompok pendengar dan peminat ATT adalah golongan yang meminati muzik dan bukannya personaliti,” kata empunya nama sebenar Nor Azlan Rosle.

Kelibat Si Penyair

Bercerita tentang album, jejaka kelahiran Kangar, Perlis itu sedang sibuk menyiapkan album sulung ATT berjudul Peta Minda yang dijangka berada di pasaran pada November depan.

Single pertama ATT, Kelibat Si Penyair sedang rancak diputarkan di corong radio dan ternyata mendapat sambutan baik.

“Kelibat Si Penyair adalah sebuah lagu yang unik di mata saya. Ia mengisahkan pengembaraan seseorang yang sedang mencari semangat baru dengan bantuan orang lain.

“Saya tak rasa keputusan mengeluarkan single ini terlalu terburu-buru kerana kita harus bergerak pantas untuk bersaing dengan artis dari luar negara.

“Alhamdulillah, setakat ini peminat dapat menerima konsep baru yang saya bawakan. Saya rasa amat bersyukur, malah terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat,” cerita Lan.

Tak mahu buang masa

Bercerita soal peribadi, Azlan yang telah bergelar tunangan gadis seusianya, Normala Hassan pada 11 Julai lalu memberitahu HAI bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk merahsiakan pertunangan.

“Bukannya sengaja mahu merahsiakan pertunangan saya dengan Mala, cuma kami lebih selesa begini. Ini cuma majlis pertunangan saja dan kami rasa tidak perlulah dihebahkan kepada khalayak.

“Insya-Allah, kalau tiada sebarang halangan, saya tidak mahu buang masa dan ingin bernikah dengan Mala secepat mungkin. Kami merancang untuk mengadakan majlis yang sederhana dan ikut kemampuan,” ujar penyanyi berbintang Aries ini.

MAWI langgar kontrak?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: MOHD. SHARIFUL HAFIZAL


MACAM baru saja melihat kemesraan jalinan kerjasama di antara Mawi dengan Datuk Stapa Haji Omar dan isteri, Datuk Azlina Haji Che Abdullah dari DCL (De Classic Life (M) Sdn. Bhd.)

Namun, sejak kebelakangan ini ada cerita yang kurang enak didengar, khabarnya Mawi dikatakan melanggar kontrak dan tidak menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai duta produk DCL, sedangkan bayaran lumayan sudah pun diterimanya.

Bertemu Raja SMS itu baru-baru ini, dia enggan mengulas secara terperinci. Kata Mawi, perkara itu dikendalikan oleh pihak pengurusannya dengan syarikat DCL.

“Kontrak saya dengan DCL dah tamat pada April lalu. Sepanjang tempoh setahun itu, saya tak pernah langgar apa-apa kontrak bersama mereka.

“Semua urusan tentang kontrak saya dengan DCL di uruskan oleh pihak Maestro, jadi saya tak banyak tahu tentang perkara ini.

“Saya pun tak berani nak cakap tentang kontrak dengan DCL, kerana ini bukan tanggungjawab saya. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tidak lagi bersama DCL, mereka boleh bertanya pada pihak Astro Entertainment, selepas pembubaran Maestro,” jelas Mawi.

Sering ‘terkena’

Diheret dengan pelbagai kontroversi, banyak pihak menganggap situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan pada popularitinya.

Namun, sebagai artis yang pernah merangkul anugerah Bintang Paling Popular selama dua tahun berturut-turut, Mawi yakin dengan kredibilitinya untuk terus mengekalkan populariti di samping kebahagiaan yang dinikmati.

“Mula-mula menjadi artis kira-kira empat tahun lalu, pelbagai jenis perniagaan datang pada saya. Malah, ada di antaranya saya sendiri tidak pernah kenal.

“Saya sudah sering ‘terkena’, dan dari situ saya belajar banyak perkara. Alhamdulillah, saya bahagia dengan keadaan sekarang.
“Walaupun ramai yang kata saya semakin kurang popular, tapi saya tidak tertekan. Saya senang dengan keadaan sekarang.

“Sebenarnya, ramai yang meletakkan populariti seseorang artis itu pada tahap tinggi apabila mereka kerap keluar di majalah dan akhbar.

“Tetapi, pada saya tidak. Saya senyap dan kurang terdedah dengan media, bukan bermakna saya tak buat apa-apa. Cuma, saya lebih suka sekiranya publisiti mengenai saya seiring dengan produk yang saya hasilkan.

“Saya senyap, tapi dalam masa yang sama, saya masih dapat projek-projek yang besar,” terang Mawi.

Tumpu pada lakonan

Kemunculan Mawi dalam filem Jin Notti membuktikan dia tidak mahu hanya statik pada nyanyian.

“Sekarang ini, memang nampak saya lebih beri perhatian pada lakonan. Selepas Jin Notti, saya bakal muncul dalam filem Majika.

“Manakala, projek album terbaru pula berjudul Idola, yang merupakan hasil duet di antara saya dengan idola-idola dalam industri muzik seperti, M.Nasir, Jamal Abdilah, dan ramai lagi,”ujarnya.

Rancang anak

Dalam perkembangan lain, Mawi yang sudah setahun hidup bersama isteri tercinta, Ekin, masih belum nampak tanda-tanda bakal bergelar bapa.

“Belum ada rezeki lagi. Saya dan isteri tak merancang. Sebelum ini dah ada rezeki, tapi keguguran pula. Yang seterusnya masih belum nampak lagi. Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti, adalah,” luah Mawi.

Siti Elizad tak mahu popular

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: ZAKARIA IDRIS


WANITA bernama Siti Elizad Sharifudin, 24, mula dikenali khalayak menerusi filem Berlari Ke Langit. Kemudiannya, dia diberi watak lebih mencabar dalam filem Gangster.

Lain-lain filem lakonannya, Rock dan Cinta Nan Satu.

Namun, belum sempat wajah dan namanya melekat di hati peminat, wanita ini senyap, bagaikan menghilangkan diri.

Hairan sungguh dengan sikapnya, kerana setiap artis perlukan populariti sebagai landasan untuk terus wujud dalam bidang seni.

Siti Elizad mengambil pendekatan berbeza, mengelak daripada bergelar pelakon popular.

“Saya tak kisah kalau tidak glamor. Saya memang tak nak popular. Walaupun sudah membintangi empat buah filem, saya tak pernah cuba menonjolkan diri pada khalayak.

“Awalnya, saya menceburi dunia seni untuk mencapai cita-cita sebagai penyanyi. Tetapi rezeki dalam lakonan pula.

“Walau bagaimanapun saya tak putus asa mencuba jadi penyanyi. Lagu single pertama saya akan keluar selepas raya nanti, dan saya memilih konsep pop untuk percubaan pertama itu,” ceritanya.

Belum kahwin

Siti Elizad ditemui HAI dalam satu majlis anjuran MSP Productions bagi memperkenalkan barisan pelakon filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang di ibu kota, baru-baru ini.

Dari sisi lain, wanita ini pernah diulit kontroversi apabila ada pihak mengatakan dia sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Menyangkal gosip panas itu, pelakon muda ini memberitahu HAI dia masih belum sedia berkahwin lantaran memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit.

“Dulu orang pernah gosipkan saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, padahal yang sebenarnya budak itu adalah anak abang saya. Saya memang suka dengannya dan kerap membawanya ke mana saja.

“Memandangkan ibu kurang sihat, lebih elok saya tumpu perhatian pada kerjaya dan menjaga ibu.

“Lagipun, tidak mudah temui lelaki yang benar-benar jujur menyayangi serta memahami saya,” ujarnya yang turut pernah membintangi beberapa buah drama seperti Impak Maksima, Ixora dan La Dolce Amira.

Amani belum mahu kahwin

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: MOHD. HATIM MAZLAN


MELIHAT kemesraan Sharifah Amani dengan pemuda Inggeris itu dan melihat kakaknya Sharifah Aleya sudah punya anak sendiri, membangkitkan tanggapan sesetengah pihak pelakon remaja ini bakal menyusul jejak kakak yang sulung.

Cantik, berkerjaya dan terkenal menjadi aset yang berharga buat dirinya. Bahkan sikapnya yang suka berdikari memperlihatkan dirinya lebih matang berbanding usia.

Ditanya tentang kahwin, sambil tersenyum manis, heroin filem Sepet ini mengakui masih belum memikirkan hal itu.

“Mungkin selagi tidak berjaya mencapai segala impian, selagi itulah saya tidak akan fikir soal kahwin.

“Saya mahu jadi pengarah filem yang menghasilkan filem-filem berkualiti. Buat masa sekarang saya banyak mempelajari perkara-perkara di belakang tabir, dan belajar menghasilkan skrip.

“Saya diasuh oleh pengarah yang sangat bagus dan berkualiti iaitu allahyarham Yasmin Ahmad. Jadi, saya tak mahu menghasilkan karya-karya yang hanya akan diketawakan kelak.

“Kalau boleh, biarlah saya jadi jutawan dahulu, barulah fikir fasal kahwin. Usia saya pun baru 23 tahun, masih muda untuk memikirkan perkara ini,” jelas Amani.

Belum mahu memikirkan soal hati, perasaan dan komitmen, Amani menolak tanggapan khalayak mengenai hubungan cinta dengan pemuda Inggeris bernama Gavin Stenhouse.

“Sebenarnya, saya tak suka bercerita tentang hal peribadi, bimbang ada orang yang tak suka.

“Tentang Gavin, memang kami berkawan sekarang. Tapi hubungan kami sekadar kawan biasa dan tidak lebih daripada itu.

“Saya kenal dia di lokasi filem Merong Mahawangsa. Dia pelakon manakala saya pula pembantu pengarah aksi lagak ngeri.

“Gavin baik. Mungkin kerana usia sebaya menyebabkan kami serasi berkawan. Kami berkongsi minat yang sama, dan kami boleh bercerita tentang apa sahaja,” cerita Amani mengenai kawan barunya itu.

Mewakili Yasmin Ahmad

Perginya pembikin filem terkenal, Yasmin Ahmad benar-benar memberi kesan yang mendalam buat diri Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, apatah lagi dia adalah pelakon kesayangan pengarah filem Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime itu.

Malahan beberapa bulan sebelum Yasmin meninggal dunia,
mereka telah ke Jepun untuk perbincangan filem terbaru.

Biarpun Yasmin tidak sempat melaksanakan filem itu, Amani dan seluruh krew yang terlibat tidak berputus asa serta bersedia meneruskan cita-cita murni pengarah berkaliber itu.

“Insya-Allah, saya akan ke Jepun untuk menyiapkan projek terakhir arwah Yasmin. Pihak dari Jepun masih berminat untuk meneruskan karya arwah, biarpun beliau sudah tiada.

“Saya juga terima e-mel dan panggilan telefon daripada pengarah filem di sana untuk membincangkan tentang filem tersebut. Ini adalah projek terakhir arwah, jadi saya perlu menyempurnakannya.

“Selain tu, saya juga bersyukur kerana Muallaf akan ditayangkan di Malaysia pada tahun depan,” terangnya yang akan ke Bangkok, Taiwan dan beberapa buah negara lain untuk mewakili allahyarham Yasmin Ahmad di majlis anugerah.

Cahaya baru

Siapa yang tidak gembira dengan kehadiran kanak-kanak kecil di rumah mereka, begitu juga buat keluarga besar milik Cikgu Fatimah Abu Bakar. Bagi mereka, kelahiran Aza dan Asha, anak kepada Syarifah Aleeya dan suaminya, Ashraf benar-benar memberi cahaya baru dalam rumah mereka.

“Aleya adalah soulmate saya. Dia seorang yang gila-gila dan lasak. Tapi, bila saya lihat dia dengan anak-anak kembarnya, saya jadi geli hati, sebab dia terus berubah watak. Dia kelihatan sangat keibuan dan hilang terus sifat lasaknya.

“Keluarga saya memang suka buat bising di rumah tapi bila bertambah ahli keluarga baru, suasana menjadi lebih meriah. Masing-masing berebut nak dukung Aza dan Asha, malah semua bosan bila kedua-duanya tidur.

“Adik-adik saya sekarang ini memang ringan tulang, tak perlu disuruh, mereka dah tolong tukarkan lampin. Aza dan Asha sebenarnya membawa cahaya baru dalam keluarga kami,” katanya lagi mengakhiri perbualan.

APA KES : “Mawi perlu buka kamus dan fahami makna tanggungjawab” – Datuk Stapa

OLEH: RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO: NOOR AZLINA JAAFAR


PELABURAN yang sia-sia! Begitulah yang terjadi kepada Datuk Stapa Haji Omar dan isteri, Datuk Azlina Haji Che Abdullah apabila memilih Mawi sebagai duta produk syarikat mereka DCL (De Classic Life (M) Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan DCL dan isterinya yang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif itu menyangka, pemilihan Raja SMS itu boleh melonjakkan lagi produk mereka. Tetapi sebaliknya pula berlaku apabila Mawi seakan sukar memberikan kerjasama.

Yang menjadi isu, Mawi sudah menerima bayaran penuh yang lumayan sedangkan kerja yang dilakukan boleh dikatakan hanya 1/5. Apa kes?

Ikuti penjelasan mereka tentang isu ini. Menariknya, tiada langsung riak-riak marah pada wajah kedua-dua pengasas DCL ini, menggambarkan keperibadian mereka yang tinggi sesuai dengan kedudukan sebagai peneraju syarikat MLM (Multi Level Marketing) yang berjaya.


Sejak bila ambil Mawi jadi duta?

Datuk Azlina: Kami lantik dia sejak Mei tahun lalu dan berakhir pada April tahun ini. Kontrak ini adalah untuk setahun. Mawi dilantik sebagai duta untuk air minuman ECPI.

Dalam kontrak yang dipersetujui bersama ada menyebut, dia kena beri kerjasama untuk hadir dalam sepuluh majlis yang ditetapkan oleh pihak kami.


Setakat ini berapa majlis yang dia hadir?

Datuk Azlina: Hanya dua saja. Komitmennya memang mengecewakan. Semasa mahu menandatangani kontrak, dia setuju dengan semua syarat yang ditetapkan.

Bayaran yang diberikan cukup lumayan. Tapi, dapat saja bayaran, begini pula jadinya. Ingatkan okeylah kami ambil dia kerana aura yang ada padanya, tapi ternyata semuanya hampa belaka.


Berurusan dengan siapa?

Datuk Azlina: Kami berurusan dengan Mawi dan Maestro (ketika itu belum dibubarkan). Dia beri macam-macam alasan untuk tidak hadir
dalam majlis anjuran syarikat kami. Antara alasannya... Nak kahwinlah, ke luar negaralah dan jadual padat.

Tapi, kami bertolak- ansur sampailah kontraknya tamat. Namun, walaupun kontrak habis, dia tetap kena bagi komitmen. Untuk majlis anugerah para pengedar kami pada 26 Disember nanti di Stadium Malawati, Shah Alam, dia kena hadir juga.


Kenapa pilih Mawi sebagai duta?

Datuk Azlina: Kami nampak dia ada ciri-ciri yang sesuai dengan produk. Tapi, jangkaan kami silap sama sekali. Sewaktu hadir ke majlis kami pun macam terpaksa saja. Suruh menyanyi, dia bagi alasan terlupa bawa minus one.

Tak macam seorang lagi duta kami, Arash Mohamad. Dia dah masuk tahun kelima dengan kami. Kerjasamanya sangat baik dan dia tak kedekut beri senyuman ikhlas kepada para pengedar dan pelanggan kami.

Datuk Stapa: Mawi tak boleh nak hadir di kebanyakan lokasi yang kami susun dan bagi alasan ada banyak kerja. Tak tahulah sama ada silap dia atau pihak pengurusannya.


Reaksi pengedar dan peminat yang hadir?

Datuk Stapa: Di dua lokasi yang Mawi hadir, para peminat sangat kecewa bila dia tak pernah nak bermesra dengan mereka. Dia terus hilang lepas menyanyi sedangkan fungsi duta sangat luas termasuklah melayan peminat.

Kami sedikit kecewa dengan sikapnya kerana Mawi tidak profesional. Sebagai duta yang telah dilantik, dia sepatutnya tahu sendiri tugas dan tanggungjawabnya.


Bagaimana tentang khabar angin mengenai cerita-cerita buruk di belakang?

Datuk Stapa: Saya tak berani kata kerana tak ada bukti. Tapi dengarnya dia macam nak salahkan kami dan cuba beri gambaran negatif. Sebenarnya, seperti saya tegaskan tadi, susah nak cakap masalah ini berpunca daripada dia sendiri ataupun pihak pengurusannya.

Saya nampak dia diuruskan oleh kawan-kawan yang bukan dalam bidang profesional dan tak faham apa yang perlu dibuat. Dulu, saya hanya dengar semua cerita negatif tentang Mawi. Apabila kena pada diri sendiri, barulah saya tahu kisah sebenarnya.


Dengarnya ada pengedar marah gambar Mawi dicetak pada label produk?

Datuk Stapa: Wajah dia dicetak pada produk water treatment dan susu awal lembu. Pengedar memang kecewa dengan sikap dia. Mereka lihat sendiri pembeli pun bengang dengan sikapnya yang tak hadir dalam kebanyakan majlis kami.

Kami tak menyesal dengan apa yang berlaku, cuma terkilan jugalah dengan sikapnya. Apa pun, kami belajar daripada pengalaman. Kesimpulannya, ia satu pelaburan yang tak berbaloi.


Mungkin kerana kontrak tamat, jadi Mawi tak perlu beri komitmen?

Datuk Stapa: Itu memang tak dinafikan. Tapi semasa dalam kontrak pun dia tak dapat datang... apa cerita? Kalau tahu tak boleh bagi komitmen, kenapa pula setuju tandatangan kontrak?

Memang tak ada surat hitam putih. Tapi kami berjanji mulut kalau dia tak sempat hadir ke sepuluh lokasi sehingga kontrak tamat, dia akan buat juga selepas itu. Perkara ini sudah dipersetujui bersama.

Kami hanya mahukan perkara itu berdasarkan apa yang telah dijanjikan. Sekurang-kurangnya, dia boleh susun jadual awal-awal untuk majlis kami. Takkan itu pun susah sangat.

Nasihat saya pada dia, bertanggungjawablah. Dia perlu buka kamus dan fahamilah makna tanggungjawab.


Siapa yang cari siapa sebenarnya?

Datuk Stapa: Pihak dia yang cari kami menerusi ejen bernama kak Jun, bukannya kami cari dia. Macam-macam mereka yakinkan kami sehinggalah kami setuju untuk ambil dia sebagai duta.

Sebenarnya, pengalaman kami bersama duta lain okey. Cuma dengan Mawi saja yang bermasalah. Dia umpama peribahasa ‘ada pun tak menambah, tiada pun tak mengurang’.

Kami belum terfikir nak cari pengganti tempat Mawi kerana produk kami pun ada kekuatan sendiri. Kami tak ada masalah dengan duta lain seperti Arash Mohamad, Marisa Yasmin serta yang lain-lain sebelum ini. Mereka bertanggungjawab dan jalankan tugas dengan baik sebagai duta.

Fazley buka kedai

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:SHAIFUDIN MOHD. NOR


MISI penyanyi lagu Superhero, Dr. Fazley Yaakob bukan saja mahu bergelar artis serba boleh, malahan juga berjaya sebagai usahawan muda.

Sudah dikenali sebagai pemilik Fazley International College, Fazley International Cosmetic, Fazley International Products dan Fazley International Collection, dia melebarkan sayap apabila membuka kedai konsep berjenama Fazley’s @ Bangsar pula.

Produk jualan di kedai yang terletak di Bangsar itu sudah tentunya menggunakan jenama namanya sendiri. Fazley begitu teruja bercerita tentang lapan jenama Fazley yang boleh didapati di kedainya.

“Saya menempatkan Fazley Cosmetic, Fazley Baraqah yang khusus untuk muslim, Fazley Babies, Fazley Delights, Fazley Gadgets, Fazley Apparels, Fazley Watches dan Fazley Jewellery.

“Sebelum ini, saya hanya ada kiosk Fazley Gadgets di Mid Valley dan One Utama, manakala barangan lain dipasarkan menerusi online. Tapi pelanggan minta buka kedai tetap, maka terhasillah Fazley’s @ Bangsar.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Mereka terdiri daripada berbilang kaum termasuklah orang asing. Ada yang datang untuk tempah biskut yang turut dijual,” katanya yang bercadang buka cawangan di tempat lain pula.

Restu keluarga

Menjadi kelaziman buat Fazley apabila setiap perkara dirujuk kepada kedua-dua orang tuanya. Begitulah juga yang berlaku terhadap penubuhan Fazley’s @ Bangsar ini yang mendapat restu orang tua.

“Sebenarnya, ibu adalah pencetus idea untuk saya buka kedai ini. Memandangkan saya jual produk secara online, ibu cadangkan supaya jual sekali biskut raya. Saya pun bersetuju dengan ideanya.

“Ketika sedang memandu kereta bersama isteri, Azrene Soraya, di kawasan Bangsar, kami ternampak satu iklan kedai kosong yang terletak di kawasan strategik. Lalu, kami terlintas nak menyewa kedai tersebut.

“Segera saya telefon ibu dan bapa yang ketika itu sedang mengerjakan umrah di Mekah untuk minta pandangan serta nasihat. Mereka beri restu dan doakan yang terbaik buat kami.

“Akhirnya, kedai ini dibuka pada hari kedua kita berpuasa. Saya anggap sambutan baik yang diberikan ini adalah berkat Ramadan dan rezeki anak kami, Ahmad Fariedz Shah (10 bulan).

“Selain pekerja, isteri dan adik-adik saya bekerjasama menguruskan kedai itu sekarang,” jelasnya yang meraikan rakan media dalam majlis berbuka puasa di Restoran Riverside, PWTC pada minggu akhir Ramadan lalu.

Showcase

Mengenai albumnya, Fazley mensasarkan ia bakal menemui peminat sebelum hujung tahun ini. Apatah lagi lagu single Superhero sedang rancak diputar oleh stesen radio tempatan.

“Single ini ibarat teaser sebelum album penuh menemui peminat. Kalau mengikut format AIM sekarang, enam lagu dah dikira sebagai album penuh. Saya dah rakam sebelas lagu.

“Saya tak bimbang orang kata album susah dijual sekarang. Itulah sebabnya saya sasarkan jual lagu menerusi cara muat turun (download), nada dering (ring tone) dan online.

“Cara ini dah jadi kebiasaan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia memang satu kelebihan pada orang yang pandai mengambil peluang. Penggiat seni tempatan perlu memanfaatkan sebaik mungkin teknologi yang ada.

“Jika dihitung, saya sudah sepuluh tahun berada dalam industri hiburan. Ramai yang bertanya saya tentang konsert ataupun showcase. Mungkin saya akan buat showcase semasa pelancaran album agar peminat berpuas hati.

“Saya juga bercadang untuk jelajah Sabah dan Sarawak untuk promosi album dan bertemu peminat. Saya sedar mereka jarang ada peluang berjumpa saya.

“Di semenanjung saya kerap bertemu peminat kerana selain menyanyi, saya juga jadi pengacara untuk program Suara Siswa yang disiarkan di RTM. Ia mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar.

“Saya akan melawat setiap IPTA seluruh negara kerana program ini dirakam dari sana. Program yang disiarkan secara langsung menuntut saya berada di luar kawasan selama empat kali dalam sebulan.

“Jadi peluang yang ada itu saya gunakan untuk buat sekali promosi album,” ujar Fazley.

Aleya cemburui suami

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: MOHD. HATIM MAZLAN


SETELAH dua bulan bergelar ibu kepada si kembar Aza Ameena Muhd Ashraf dan Asha Ameena Muhd Ashraf, penyampai stesen radio popular Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, mengakui amat mencemburui suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin.

Walaupun kedengaran pelik, tetapi dia mempunyai alasan tersendiri.

“Sekarang ini, buat apa-apa sekali pun saya akan teringat pada anak-anak. Nak kerja pun asyik terfikir tentang mereka.

“Saya rasa susah nak tinggalkan mereka. Kadang kala, saya cemburu lihat suami yang tidur nyenyak dengan si kembar itu.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang rajin. Sepanjang bekerja di konti, dialah yang menjaga anak-anak kami dengan baik sekali.

“Dia juga nampak teruja dengan kelahiran kembar ini. Kerana terlalu sayang pada anak, dia sanggup memotong rambut dan mencukur misai agar anak-anak tidak menangis jika terkena rambut ataupun misainya.

“Pernah sekali dia selesema dan batuk, saya melarangnya mendekati Aza dan Asha. Terus sahaja dia makan ubat, walaupun sebenarnya dia memang tak suka makan ubat,” cerita Aleya yang kini bertambah bahagia setelah lengkap kehidupan sebagai seorang wanita.

Selesa jaga sendiri anak

Bertuah sungguh Aza dan Asha kerana memiliki ibu bapa yang sangat mengambil berat.

Malahan menurut Aleya, dia dan suaminya tidak akan menghantar bayi kembar mereka ke pusat asuhan kanak-kanak, biarpun sesibuk mana jadual kerja mereka.

“Saya dan Ashraf lebih selesa jaga anak sendiri. Jika tidak pun, saya akan minta tolong mama untuk tengok-tengokkan mereka sebab kami masih lagi tinggal di rumah keluarga saya.

“Saya memang selesa menjaga mereka sendiri. Sejak lahir, saya sendiri yang mandikan mereka. Mungkin ada orang yang tidak berani pegang bayi kerana terlalu kecil, tetapi demi kasih dan tanggungjawab pada anak-anak, saya beranikan diri.

“Saya juga suka pakaikan sendiri baju anak-anak. Jika Ashraf yang pakaikan, selalunya baju lain, seluar pula lain,” ujar Aleya sambil tergelak besar.

Sedih

Kata Aleya lagi, jika mengikut turutan Aza terlebih dahulu dilahirkan dengan berat sebanyak 1.71 kilogram dan Asha pula seberat 1.98 kilogram.

Nama Aza diambil sempena nama arwah nenek Aleya disebelah bapa, manakala Asha pula dipilih dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud harapan.

“Saya sedih sebab arwah nenek meninggal dunia sebelum sempat mendapat tahu saya hamil,” terangnya sambil memberitahu HAI, pada sebelah pipi kiri Asha kelihatan mempunyai tanda lahir dan dijangka akan hilang beberapa bulan lagi.

HOT GOSSIP : Maybelline simply fabulous

MAYBELLINE bersama 8TV akan menjadikan impian seseorang menjadi kenyataan dengan kehadiran sebuah rancangan realiti Simply Fabulous untuk mengubah imej dan penampilan seseorang. Program realiti ini disiarkan menerusi laman sesawang 8TV bermula 7 September lepas.

Simply Fabulous merupakan sebuah program realiti untuk mengubah penampilan diri yang dibawakan khas oleh Maybelline New York. Rancangan yang menarik ini merupakan sebuah rancangan realiti online yang juga dikenali sebagai dream maker.

Program ini disertai seramai sepuluh orang peserta perempuan yang dipilih melalui sesi uji bakat yang telah menarik perhatian lebih 1,200 orang.

Rancangan ini mempunyai 18 mini ‘webisodes’ selama lima minit yang akan berlangsung selama tiga minggu. Episod pengenalan peserta Top 10 disiarkan secara online daripada 7 – 11 September lepas.

Rakyat Malaysia perlu melayari laman sesawang www.8tv.com.my/simplyfabulous untuk mengikuti aktiviti harian kesemua peserta.

Sepuluh peserta yang terpilih ialah Calista Wei Fen Leah Liew (22), Kimberley Cham Siang Fen (24), Susilawati Mohd Ariff (23), Steffanie Vanessa Schubert (19), Nalinder Manoharan (27), Preeta Sharenia Nithianantham (21), Zhareen Anshary (18), Ng Bei Shan (22), Nik Syifa Unnur Nik Aziz (22) dan Nurdiana Ashraf Abu Bakar (25).

Peringkat akhir Simply Fabulous akan disiar secara langsung di saluran hip 8TV pada 18 Oktober ini pukul 10.00 malam dan juga di www.8tv.com.my/simplyfabulous. Pada peringkat akhir, pemenang akan dipilih menerusi 30 peratus undian secara online dan 70 peratus undian daripada juri.

Pemenang utama layak menerima hadiah lumayan wang tunai RM10, 000, tajaan percutian ke New York dan juga jemputan ke Minggu Fesyen New York. Bukan itu sahaja pemenang juga akan membawa pulang hadiah-hadiah yang lumayan lain berjumlah RM 50, 000.

Rakyat Malaysia boleh mengudi secara online bermula 28 September bermula pukul 12.00 pagi sehingga 13 Oktober pada pukul 12.00 pagi.

HOT GOSSIP : Artis tunjuk perangai buruk

TERDIAM Hai apabila satu sumber bercerita tentang perangai buruk seorang artis wanita yang terkenal juga. Maklumlah, selama ini pun dia baik dengan semua orang. Tambah pula ke mana-mana pergi ditemani ibunya.

Sumber ini kecewa kerana artis wanita yang sinonim dengan program terbitan RTM ini tunjuk lagak ketika menjayakan shooting klip- video untuk satu program TV di sebuah restoran .

“Tak sangka kerana masa berurusan, sikapnya baik. Tapi masa shooting barulah nampak warna sebenar dia apabila macam-macam hal menyakitkan hati dibuatnya.

“Kami dah siapkan segala peralatan sebab janji nak mula shooting pukul 2.00 petang, tapi dia masih tak nampak lagi batang hidung. Apabila kami telefon, langsung dia tak angkat telefon.

“Apalagi, pengarah pun mulalah bising sebab pukul 5.00 petang kami ada shooting dengan artis lain pula. Setelah banyak kali telefon tidak berjawab, barulah dia hantar SMS beritahu dalam perjalanan.

“Walaupun agak panas dengan jawapan dia, kami ingat bila sampai nanti semuanya akan okay, tapi rupanya dia buat ‘muka ketat’ macam tak puas hati dengan kami.

“Kami pun ada sediakan mekap artis tapi dia nak bawa sendiri. Lepas tu nak cajkan pada kami pula. Takkan kami nak layan? Selepas itu pula ketika dalam scene, adalah seekor dua nyamuk sesat kat situ.

“Apalagi dia bising kata nanti kulit merahlah…dan suruh kami beli ubat nyamuk. Melampaunya dia,” kata sumber tersebut.

Benarkah sikap artis ni diva sangat? Hai akan dapatkan penjelasan dia nanti ya.

HAI: Tak memihak dan akan cuba bersikap adil pada semua orang.

HOT GOSSIP : Apa kes Remy Ishak?

DAH acap kali ruangan gosip akhbar dan majalah mempersoalkan tentang sikap pelakon Remy Ishak yang susah memberikan komitmen apabila diperlukan. Hai sendiri dah lenguh tangan menulis perkara ini.
Biarpun Remy kerap memohon maaf, dia masih tidak belajar memperbaiki kesilapannya itu. Khabarnya, Remy masih sukar memberikan kerjasama kepada wartawan.

Baru-baru ini, teman Hai cuba mendapatkan Remy untuk mengaturkan sesi fotografi bersamanya. Ketika dihubungi dia berjanji akan memberikan jawapan sama ada boleh atau tidak untuk turut serta.

Tetapi, janji hanya tinggal janji kerana selepas itu Remy terus hilang tanpa berita. Malah, panggilan telefon dan SMS demi SMS yang dihantar tidak dibalas langsung. Jika difikirkan memang sakit hati dibuatnya.

Yang peliknya Remy kata dia ada pengurus. Tapi kenapa dia seperti masih tidak terurus?

Namun, yang buat Hai sekali lagi pelik, selang beberapa minggu kemudian dia dilihat memenuhi undangan fotografi dari sebuah akhbar. Yang menjadi persoalan, mengapa Remy seakan pilih kasih?

Nampak dia seperti hanya memilih beberapa media sahaja, sedangkan yang lain diketepikan. Adakah dia merasakan tarafnya sudah berubah dan hanya layak muncul di media cetak yang popular?

Hanya Remy yang ada jawapannya. Mungkin Remy hanya selesa bekerjasama dengan mereka yang popular. Hai menghormati pendiriannya dan tidak mempersoalkannya lagi selepas ini.

HAI: Letih nak melayan sikap artis sebegini yang ‘klise’ apabila diri sudah popular.

HOT GOSSIP : Penyanyi popular buat hal lagi...

TAK tahulah nak kata apa lagi fasal bekas penyanyi lelaki sebuah band yang kebelakangan ini cukup popular kerana kisah peribadinya. Baru-baru ini dia buat hal lagi hingga membangkitkan kemarahan teman Hai, Cik Sopan yang bekerja di sebuah akhbar terkemuka.

Cik Sopan ada mengaturkan sesi fotografi bersama penyanyi itu yang akan digandingkan dengan dua lagi penyanyi popular. Akan tetapi, tibanya hari dijanjikan, kelibat penyanyi itu tidak muncul.

Berjam-jam Cik Sopan menunggu. Bila dihubungi, pelbagai alasanlah diberikan kepada Cik Sopan.

“Menyampahnya aku dengan penyanyi tu. Bukan setakat menyampah, tapi dah sampai tahap geram dan meluat yang amat sangat. Macam-macam alasan dia bagi. Dia ingat aku budak-budak boleh termakan alasan yang tak logik tu.

“Dah la buat perangai, lepas tu boleh pula dia tuduh aku tak bagitau dia yang sesi fotografi tu ada libatkan artis lain. Padahal dia sendiri dah tanya sama ada dia seorang atau digandingkan dengan artis lain. Lalok betul la dia tu.

“Aku yang tengah naik angin masa tu terus batalkan fotografi dengan dia dan teruskan sesi fotografi hari itu dengan dua penyanyi popular yang lain saja,” cerita Cik Sopan.

Hai hanya mampu menggelengkan kepala sahaja mendengar kerenah penyanyi popular itu. Mana agaknya janji-janji dia yang nak berubah? Jika beginilah sikapnya patutlah orang terdekat dalam hidupnya serik nak teruskan hidup bersamanya.

HAI: Simpati dengan kes cerai yang menimpa diva popular Indonesia Kris Dayanti dan penyanyi Siti Nurdiana.

HOT GOSSIP : Red Box rai ibu tunggal

PUSAT karaoke terkemuka Red Box baru-baru ini mengadakan majlis khas bagi meraikan ibu-ibu tunggal sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Majlis serba meriah ini diadakan dengan kerjasama JS Pictures yang diwakili oleh pelakon Sheila Rusly dan Yayasan Nur telah menjemput seramai 30 ibu tunggal dari Rumah Amal Baitul Kasih bersama anak-anak mereka.

Untuk menjadikan program pada hari itu lebih bermakna, penyerahan sumbangan berupa cek telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Red Box Karaoke, Valerie Choo kepada Masliza Abu Bakar, wakil Rumah Amal Baitul Kasih.

Selain itu, hamper barangan harian turut diberikan kepada ibu-ibu tunggal dan telah disampaikan oleh wakil Unilever Food Solutions, Desonny Tuzan.

Sheila Rusly dan selebriti chef, Chef Zam juga tidak melepaskan peluang memberikan sumbangan kepada mereka yang diraikan pada hari itu. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Imran Ajmain, Wana dan Ahli Fiqir yang diundang untuk menghiburkan hadirin pada majlis tersebut.

HAI: Seronok tengok pihak korporat beramal serta bersedekah kepada golongan kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan lalu.

HOT GOSSIP : Artis kedekut keluar wang

KALAU melihat gaya artis lelaki yang lahir dari program realiti ini, memang nampak mewah dengan pakaian berjenama mahal dan up to date sesuai dengan konsep lagu yang dibawakannya.

Tambah lagi dia pun ada saudara yang terlebih dulu mencipta nama dan popular. Sudah tentulah bab wang ringgit tak menjadi masalah baginya.

Namun, Hai terdengar cerita tak elok tentang dia yang dikatakan kedekut untuk keluarkan wang dalam aktiviti yang dianjurkan oleh peminat fanatiknya menerusi fan club yang ditubuhkan.

Yang kasihannya, tujuan mereka nak support artis ni supaya terus popular, tapi artis itu sangat kedekut sehinggakan nak keluarkan RM1.00 pun susah.

Pendek kata, fungsi dia hadir macam jemputan khas pula sedangkan majlis itu adalah majlis anjuran kelab peminatnya. Kalau dah jadi artis top, tak tahulah macam mana lagaknya kan...

HAI: Tak lokek keluarkan duit untuk kerja kebaikan kerana besar ganjarannya menanti.

HOT GOSSIP : Pelakon baru harga mahal

TERKEJUT Hai bila dengar cerita seorang kawan tentang satu syarikat pengurusan artis yang meletakkan harga melampau untuk mendapatkan khidmat pelakon mereka.

Dia menghubungi seorang pelakon wanita yang masih baru untuk watak dalam sebuah drama. Walaupun berminat, pelakon baru itu tak berani buat keputusan dan minta dia merujuk kepada syarikat yang menguruskannya.

Kawan itu pun berurusanlah ikut cara betul dengan syarikat itu. Tapi alangkah terkejutnya apabila diberitahu harga yang perlu dibayar sangat tinggi.

Memang melampau kerana pelakon itu bukanlah popular sangat. Baru berlakon satu, dua filem dan beberapa drama saja. Pelakon itu bermula dengan teater.

Mahal sangat kawan itu pilihlah pelakon lain. Sekarang siapa yang rugi? Nak disalahkan pelakon baru itu tak patut pula. Tapi, pihak yang menguruskannya patut sedar di tahap mana pelakon itu berada.

Kalau begitulah sikap mereka, tak mustahil banyak produksi tak berani ambil dia berlakon. Nampaknya dia akan jadi jaguh kandang kerana hanya berlakon dengan produk terbitan syarikat itu sajalah.

HAI: Kalau harga barangan mahal sangat, takkan beli kerana amalkan sikap pengguna bijak.

10/26/2009

HOT GOSSIP : Dah tua pun buat perangai...

TAK habis-habis pelakon wanita serba boleh yang dah berumur ni buat perangai. Ingatkan bila umur makin meningkat, perangai dia berubah. Tapi rupanya semakin teruk jadinya.

Ada sumber bercerita tentang perangai pelakon berumur itu ketika berlakon dengan satu produksi di luar Kuala Lumpur. Mulanya dia diberi cuti kerana babak yang melibatkannya belum bermula.

Tapi dia berkeras nak pergi, membuatkan pihak produksi pinda jadual dengan percepatkan babak lakonannya. Apabila berada di sana, lain pula yang berlaku kerana rupanya dia ada agenda sendiri.

Tanpa segan silu, pada sebelah malamnya dia pergi berkaraoke di sebuah kelab dengan berpakaian yang agak seksi.

Apabila dipanggil untuk shooting oleh pihak produksi keesokan harinya, mulalah dia bagi pelbagai alasan konon tak sihatlah, sakit kepalalah dan macam-macam lagi.

Nak tak nak, kenalah mereka akur kerana nak marah dia pun faham-fahamlah tak sesuai pula. Nanti dikata kurang ajar pulakan. Pihak produksi makan hati dan terpaksa pendam rasa dengan sikapnya.

Jika benarlah cerita yang disampaikan, Hai hanya mampu geleng kepala sambil berdoa agar dibukakan pintu hatinya supaya berubah.

HAI: Semakin mengingati hari depan dan mula berubah untuk jadi lebih baik.

10/04/2009

HAI edisi bumper Raya kini di pasaran!!!


Majalah HAI edisi bumper raya kini sudahpun menemui pembaca setia HAI di pasaran....Macam-macam cerita tentang sambutan Hari Raya artis-artis popular tempatan dan dari seberang yang menampilkan empat bintang remaja popular, Liyana Jasmay, Tomok, Aizat dan Scha sebagai cover HAI bumper raya 2009.....

Jangan berlengah lagi...dapatkan ISU BUMPER RAYA HAI hanya RM3.00...berdekatan anda sebelum kehabisan!!!