10/27/2009

Selamat Bertunang Umie Aida!

Seronok main game di Disneyland Hollywood, Los Angeles.

Bersama Betty dan Awal di depan Rumah Disneyland.

Bersama Betty dan Awal di depan Rumah Disneyland.

Mewah dan bergaya! Menaiki limousin sepanjang berada di Los Angeles.

Di Hollywood Boulevard.

Teruja jumpa pelakon dan pelawak popular Eddie Murphy. Tapi, patung lilinnya sajalah yang ditempatkan di Madame Tussauds Hollywood.

Dapat jumpa patung lilin Angelina Jolie dan Brad Pitt pun jadilah…

Di depan deretan butik.

Cuba merasa sesi uji bakat dalam program realiti American Idol.

Macam real patung lilin Simon Cowell, pengkritik paling pedas American Idol.

Terkejut melihat kedai yang menyediakan pelbagai jenis kek dan biskut untuk anjing iaitu The Bakery For Dogs. Jangan cuba nak makan di sini sebab kedai ini khas untuk anjing sahaja ya...

Umie puas melawat Universal Studios Hollywood.

Di Madame Tussauds Hollywood.

Seronoknya dapat peluk Will Smith. Cuba tengok gaya Betty

Puas makan cokelat di kedai cokelat terbesar M&M.


OLEH: EMMA HASSAN
FOTO: ALBUM UMIE AIDA


TIDAK kisahlah apa yang dilakukan oleh Umie Aida sekarang dalam drama atau filem terbarunya kerana perkara paling utama jadi tumpuan ramai ialah berita gembira mengenai perkahwinannya.

Semasa aktres berkaliber ini memberikan foto-foto menarik percutiannya ke Los Angeles, Amerika Syarikat sebelum bulan Ramadan lalu, topik kahwin tidak lepas dibincangkan.

Sebagai bukti kesungguhannya mengakhiri zaman bujang, Umie Aida telah selamat melangsungkan ikatan pertunangan dengan Datuk Paduka Khairudin, 44, pada 29 September lalu. Majlis pertunangan dilakukan di kediaman barunya di Mont Kiara.

Lelaki bertuah itu merupakan duda kepada dua orang anak lelaki. Sama seperti Umie Aida yang turut memiliki dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel Firdaus, 16 dan Mohd. Dzulhelmy,15.

“Tarikh kahwin masih dalam perbincangan. Semasa majlis pertunangan, tidak menetapkan sebarang tempoh. Saya sedar, ramai tertanya-tanya tentang tarikh keramat itu.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya tidak akan berahsia tentang benda yang elok. Saya akan umumkan. Cuma buat masa ini kami sedang dalam proses mencari tarikh yang benar-benar sesuai.

“Lagipun, sekarang ini saya banyak komitmen. Saya tak mahu terburu-buru. Memanglah kalau boleh mahu buat secepat mungkin,” jelas Umie yang diakui ramai sekarang ini semakin terserlah kejelitaannya. Mungkin benar kata orang, seri pengantin agaknya.

Pintu hati pernah tertutup

Berkongsi dengan HAI mengenai lelaki dalam hidupnya itu, kata Umie bakal suaminya itu seorang yang sangat pemalu dan low profile.

“Wajah bakal suami saya itu hanya akan dapat dilihat semasa majlis perkahwinan kami nanti. Dia sangat pemalu.

“Kenapa pilih dia? Kalau sudah jodoh Tuhan tetapkan antara Umi Khalsum Rahmad dengan Khairudin, saya terima dengan hati yang terbuka dan ikhlas.

“Dalam tempoh perkenalan yang sangat singkat, saya bersyukur kerana inilah jodoh saya. Dialah lelaki terbaik dan tepat menjadi pemimpin dalam hidup saya.

“Tiada siapa yang kenalkan. Dia sendiri yang mengenalkan dirinya pada saya. Mula-mula berkawan saja sebab saya bukan mudah untuk terus jatuh cinta.
“Saya cakap pada dia, saya susah jatuh cinta, jadi jangan buang masa sebab perasaan saya hanya tumpu pada anak-anak. Saya katakan yang saya selesa dengan kehidupan sekarang.

“Lantas dia pula jawab, tidak mengapalah… dia akan berdoa agar pintu hati saya terbuka menerima kehadirannya. Ternyata, dia tidak putus asa. Nampak dia jujur dan ikhlas.

“Dia cakap pada saya, izinkan dirinya menjadi suami dan bapa kepada anak-anak saya. Lama-lama rasa cinta itu hadir… saya fikir yang saya harus hidup normal dan beri peluang pada diri sendiri melalui alam rumah tangga. Kalau berkata tidak, saya takkan tahu macam mana pengalamannnya.

“Saya beri peluang pada diri sendiri. Sebelum ini, pintu hati saya telah tertutup untuk berkahwin selepas pulang mengerjakan umrah,” cerita Umie.

Tarikh kahwin

Di samping itu, teka-teki orang sekeliling kononnya adik pengarah popular Erma Fatima ini bakal berkahwin pada hujung bulan ini, disangkal dengan tenang.

“Yalah, saya ada dengar juga orang tertanya-tanya. Tapi, jawapannya tak mungkinlah dalam bulan ini sebab masa terlalu singkat.

“Lagipun, banyak benda harus dilakukan. Dia pula sangat sibuk dengan pelbagai urusan kerja. Jadi, kami perlu mencari tarikh yang sesuai buat kedua-dua belah pihak.

“Lagipun, selepas bertunang, saya masih sibuk dengan urusan lakonan. Malahan, selepas berkahwin nanti, saya tetap berlakon kerana sudah menjadi sebahagian darah daging.

“Cuma, saya mahu lebih tumpukan perhatian pada syarikat penerbitan filem dan drama. Apatah lagi, saya harus fokus pada pementasan teater Natrah di Istana Budaya pada November ini.

10 hari di Los Angeles

Sebelum Ramadan lepas, Umie bersama adiknya, Betty serta pengacara dan pelakon Awal Ashaari telah bercuti selama sepuluh hari di Los Angeles (LA). Sudah tentu, ramai yang fikir Umie ke sana bagi mencari barang-barang persiapan perkahwinan.

“Mengapa harus di LA mencari barang persiapan kahwin? Di Malaysia ini banyak barang yang lebih bagus.

“Sebenarnya, memang sudah lama saya rancang bercuti ke sana sebab mahu melawat Universal Studios Hollywood. Bolehlah lepaskan tekanan kerja di samping bermain banyak game yang disediakan di sana.

“Hanya dua hari terakhir di sana barulah saya membeli-belah di beberapa buah butik antaranya Rodeo Drive dan Premium.

“Tak banyaklah shopping sebab tujuan ke sana untuk bercuti makan angin,” terang Umie Aida yang tentunya sedang diulit bahagia, malahan mungkin juga gementar menempuh fasa baru kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Komen