10/27/2009

APA KHABAR : YOUVIE & NONO

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: IZZAT AIMAN (PELATIH LIM KOK WING)


Yovie & Nuno tak jaga hati peminat Malaysia?

LAGU Menjaga Hati daripada album The Special One ternyata memberi impak yang cukup besar di Malaysia buat band dari Indonesia, Yovie & Nuno.

Band yang dianggotai oleh Yovie Widianto atau Yovie (piano dan keyboard), 41, Dudi Oris atau Dudi (vokalis), 33, Pradikta Wicaksono atau Dikta (vokalis), 23, dan Muchamad Ahadiyat atau Diat (gitar), 35 mula dikenali di sini gara-gara lagu tersebut.

Namun, di sebalik populariti yang diraih, ada cakap-cakap nakal yang mengatakan band itu khabarnya sombong lantaran lewat bertemu peminat di Malaysia.

“Bukannya kami sombong dan tidak mahu menemui peminat di Malaysia. Jadual kerja kami amat padat. Ada saja undangan persembahan yang harus kami hadiri.

“Kami cuba memenuhi undangan pihak Malaysia yang ingin membawa kami ke sini, cuma masa yang diberikan tidak sesuai dengan jadual kami di Indonesia.

“Akhirnya, setelah sekian lama menanti, kami berpeluang juga ke Malaysia untuk berada dekat dengan para peminat.

“Dalam kunjungan kedua ke sini, barulah kami berpeluang membuat persembahan. Sebelum ini, kami pernah ke sini untuk menghadiri MTV Asia Award di Genting Highlands pada tahun 2008.

“Kami berharap selepas ini akan kerap ke Malaysia bagi mengeratkan lagi hubungan dengan peminat,” kata Yovie mewakili teman-temannya dalam band tersebut.

Kurang komersial

Selain dilabel sombong dan tidak pandai menjaga hati peminat di Malaysia, ramai yang mengatakan bahawa nama band itu juga dianggap kurang komersial berbanding band-band lain dari seberang seperti Ungu, Kerispatih, Sheila On 7, Padi dan Dewa 19.

“Kami tidak kisah jika nama Yovie & Nuno dikatakan tidak komersial, asalkan jualan album kami komersial.

“Kami tidak pernah mengejar populariti. Kami wujud dalam industri muzik adalah untuk komersilkan lagu-lagu kami.

“Apa yang paling penting adalah kualiti dan bagaimana kami berkarya agar terus kekal dalam ingatan peminat sebagai pemuzik yang hebat,” ujar Yovie.

Antara terbaik

Yovie & Nuno telah mencapai tahap yang cukup membanggakan dalam perjalanan karier mereka tahun ini.

Band ini telah menerima pengiktirafan di peringkat Asia apabila memenangi kategori Duo/Kumpulan Baru Terbaik dan Artis Indonesia Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 pada 18 Julai lalu, sekaligus membuktikan kehebatan jenama muzik mereka.

“Itu merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan muzik Yovie & Nuno. Kami sebenarnya tidak menyangka akan menang.

“Kemenangan di APM juga merupakan peluang dan kesempatan untuk kami memperkenalkan muzik dan jenama Yovie & Nuno di Malaysia, juga Singapura.

“Saya rasa pemuzik dari Malaysia dan Singapura tidak mempunyai masalah untuk dikenali di Indonesia asalkan karya yang ingin disampaikan adalah berkualiti dan bagus,” terang Yovie mengakhiri perbualan bersama HAI.

Bagi pembaca HAI yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang band ini, layari laman web www.yovienuno.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan