10/27/2009

Iqbal mohon diberi peluang

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: MOHD. SHARIFUL HAFIZAL


MACAM-MACAM hal dibangkitkan mengenai juara pertama program Pilih Kasih, Muhamad Iqbal Mazlan.

Di sebalik kejayaannya menjadi pilihan Rosyam Nor meraih gelaran pertama itu, namun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan mengatakan anak muda itu sebenarnya tidak layak menang.

“Mungkin penonton belum berpeluang sepenuhnya melihat bakat lakonan saya. Tempoh sebelas minggu dalam Pilih Kasih sebenarnya tidak cukup untuk saya tonjolkan bakat.

“Mungkin, abang Rosyam dapat melihat bakat saya dan sebab itulah dia buat keputusan yang berpihak pada saya.

“Sehingga hari ini saya masih terkejut bergelar juara. Saya menyertai Pilih Kasih hanya sebagai platform untuk dikenali sebagai pelakon.

“Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bergelar juara atau meraih hadiah lumayan. Saya masih bertatih untuk menjadi seorang pelakon pelapis dalam industri ini. Saya harap, peminat di luar sana akan memberikan peluang bagi saya membuktikan bakat lakonan,” pinta Iqbal yang sebelum ini pernah mencuba bidang nyanyian. Wajahnya juga dikatakan persis Dafi.

Kurang popular

Selain mencari bakat-bakat baru dunia lakonan, tujuan program Pilih Kasih diadakan juga adalah untuk mencari pelakon yang akan ditonjolkan dalam projek terbaru Rosyam Nor bersama pengarah, Bade Hj Azmi menerusi filem, Kekasih.

Ditanyakan tentang hal tersebut, Iqbal memberitahu HAI bahawa penggambaran filem itu dijangka berlangsung pada tahun depan.

“Filem itu terpaksa ditangguh dahulu kerana abang Rosyam mahu top 5 Pilih Kasih membina nama dan populariti terlebih dahulu sebelum memulakan projek tersebut.

“Yalah, kami masih baru dan kurang popular. Oleh itu, kami diberi masa untuk meningkatkan lagi populariti dan mutu lakonan sebelum beralih ke layar perak.

“Sekarang, saya sedang sibuk dengan pengambaran telefilem arahan Along Kamaludin berjudul Terima Kasih Cikgu yang dijangka disiarkan di RTM pada akhir tahun ini.

“Selain itu, lakonan saya dalam telefilem Celupar terbitan Nuad Production bakal ditayangkan tidak lama lagi,” katanya.

Nyanyian

Iqbal terlebih dahulu pernah mencuba nasib dalam pertandingan realiti Akademi Fantasia, Mystarz LG dan One In A Million.

“Awalnya, minat utama saya pada nyanyian. Tetapi, minat dalam lakonan mula dipupuk selepas menyertai pementasan teater Lorong Blues bersama sepupu saya, Haziq AF4 di bawah arahan Fauziah Nawi, pada tahun 2007.

“Untuk menghayati lakonan, saya sering berlatih dengan bercakap seorang diri di depan cermin.

“Namun, saya takkan lupakan nyanyian. Abang Rosyam sendiri ada memberitahu, untuk bergelar anak seni yang berjaya, tidak semestinya kena berlakon saja. Saya juga perlu ada minat kedua dan mencuba bidang seni yang lain,” ujar Iqbal.

Tiada ulasan:

Catat Komen