10/27/2009

Azlan yakin tanpa Meet Uncle Hussain

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: JEFFRI IRAN


DULU dia dikenali sebagai Lan, vokalis band indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH). Tetapi, kini dia mahu dikenali dengan nama Azlan & The Typewiter (ATT).

Tidak mahu berpaling ke belakang lagi, Azlan yakin mampu dengan jentera pemuzik undangan itu yang akan mengiringnya dalam setiap persembahan.

Masih bernaung di bawah label yang sama, Satu Entertainment Sdn. Bhd., Azlan ingin menampilkan sisi lain dirinya dalam bidang muzik yang amat dicintai.

“MUH adalah satu nama yang cukup besar. Untuk apa saya mahu turun semula bermula dari awal? Konklusinya adalah kerana ideologi yang sangat berbeza.

“Sekarang, saya berpeluang menonjolkan diri saya yang sebenar menerusi ATT. Kelainan daripada saya ialah dari segi lirik yang mendalam (metafora) dan tidak mengandungi unsur-unsur sarkastik (satirah).

“Susunan muzik ATT juga sangat istimewa kerana saya banyak bereksperimen dengan muzik yang pelik-pelik.

“Soal saya akan diterima atau tidak semuanya bergantung pada pendengar. Dalam dunia ini ada macam-macam jenis pendengar.

“Ada yang mendengar kerana minat pada muzik dan ada juga kerana personaliti sesebuah band atau penyanyi.

“Tetapi, kelompok pendengar dan peminat ATT adalah golongan yang meminati muzik dan bukannya personaliti,” kata empunya nama sebenar Nor Azlan Rosle.

Kelibat Si Penyair

Bercerita tentang album, jejaka kelahiran Kangar, Perlis itu sedang sibuk menyiapkan album sulung ATT berjudul Peta Minda yang dijangka berada di pasaran pada November depan.

Single pertama ATT, Kelibat Si Penyair sedang rancak diputarkan di corong radio dan ternyata mendapat sambutan baik.

“Kelibat Si Penyair adalah sebuah lagu yang unik di mata saya. Ia mengisahkan pengembaraan seseorang yang sedang mencari semangat baru dengan bantuan orang lain.

“Saya tak rasa keputusan mengeluarkan single ini terlalu terburu-buru kerana kita harus bergerak pantas untuk bersaing dengan artis dari luar negara.

“Alhamdulillah, setakat ini peminat dapat menerima konsep baru yang saya bawakan. Saya rasa amat bersyukur, malah terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat,” cerita Lan.

Tak mahu buang masa

Bercerita soal peribadi, Azlan yang telah bergelar tunangan gadis seusianya, Normala Hassan pada 11 Julai lalu memberitahu HAI bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk merahsiakan pertunangan.

“Bukannya sengaja mahu merahsiakan pertunangan saya dengan Mala, cuma kami lebih selesa begini. Ini cuma majlis pertunangan saja dan kami rasa tidak perlulah dihebahkan kepada khalayak.

“Insya-Allah, kalau tiada sebarang halangan, saya tidak mahu buang masa dan ingin bernikah dengan Mala secepat mungkin. Kami merancang untuk mengadakan majlis yang sederhana dan ikut kemampuan,” ujar penyanyi berbintang Aries ini.

Tiada ulasan:

Catat Komen