10/27/2009

Hafiz rasa tersisih?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: HAFIZ KHOSMAT


BELUM sampai setahun bergelar juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Mohd. Hafiz Mohd. Suip semakin menyepi. Namanya kurang disebut, malahan populariti rakan-rakannya yang lain pula mengatasinya.

Hafiz juga dilihat tidak tersenarai sebagai pelakon utama menjayakan drama muzikal Kau dan Aku, hasil kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia. Sedangkan pada masa yang sama dua rakannya, Aril dan Akim terlibat dalam penggambaran drama tersebut.

Bertanyakan perkara itu, penyanyi remaja yang juga ikon anak muda dari Sarawak ini tidak merasakan dirinya tersisih.

“Sebenarnya, perkara ini sudah pun dirancang semasa dalam AF7 lagi. Pihak produksi memang sudah memilih Aril dan Akim untuk menyertai drama muzikal itu.

“Mungkin pihak produksi dan pengurusan ada perancangan sendiri. Mungkin mereka mahu Aril dan Akim ke Indonesia, dan saya pula perlu memenuhi jadual di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, saya ada terlibat sedikit dalam drama itu, tapi sekadar cameo saja.

“Memanglah saya juara, tapi tidak bermakna setiap aktiviti seni produk AF perlu ada saya. Saya pun tak cemburu dengan mereka.

“Itu rezeki mereka. Mungkin rezeki saya di ruang yang lain. Walaupun ada yang menganggap nama saya sedikit tenggelam, tetapi pihak pengurusan sebenarnya sedang merangka beberapa aktiviti seni saya,” jelas Hafiz.

Cuba berlakon

Mahu bergelar anak seni sejati, Hafiz tidak mengehadkan pada aktiviti nyanyian semata-mata.

Walaupun terasa janggal pada awalnya, Hafiz mengakui semakin meminati dunia lakonan.

“Sejak berada dalam AF7, saya bertekad untuk cuba menceburi semua cabang seni. Saya mahu menjadi seorang artis yang serba boleh, bukan sekadar boleh menyanyi malah saya mahu jadi penghibur yang baik.

“Mula-mula berlakon memang susah. Tapi apabila bekerjasama dengan kawan-kawan dan pihak produksi yang baik, maka perkara yang susah itu menjadi senang.

“Saya juga mengharap maklum balas daripada para peminat mengenai lakonan pertama saya itu,” ujar Hafiz yang akan muncul dengan lagu single kedua berjudul Noktah Cinta.

Terlalu sayang

Berpegang pada prinsip, ‘tanpa peminat siapalah dirinya’, penyanyi remaja ini tidak akan pernah melupai jasa para peminatnya.

“Saya terlalu sayang pada semua peminat kerana merekalah yang memberi rezeki pada saya. Peminat sangat penting dalam kerjaya saya. Sejak dalam AF7, merekalah yang paling banyak menaikkan saya sehingga menjadi juara.

“Pada saya, melayan peminat bukan sekadar mendengarkan mereka dengan lagu-lagu terbaru sahaja, mereka juga perlu diajak berbual dan dilayan mesra.

“Saya tak kisah penat, asalkan mereka gembira. Sebab itu kami di Hafiz Frenz Club sering menganjurkan aktiviti bersama peminat kerana pada saya mereka adalah nadi dalam kerjaya saya,” terang Hafiz yang akan menyambung pelajarannya pada awal tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan