10/27/2009

MAWI langgar kontrak?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: MOHD. SHARIFUL HAFIZAL


MACAM baru saja melihat kemesraan jalinan kerjasama di antara Mawi dengan Datuk Stapa Haji Omar dan isteri, Datuk Azlina Haji Che Abdullah dari DCL (De Classic Life (M) Sdn. Bhd.)

Namun, sejak kebelakangan ini ada cerita yang kurang enak didengar, khabarnya Mawi dikatakan melanggar kontrak dan tidak menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai duta produk DCL, sedangkan bayaran lumayan sudah pun diterimanya.

Bertemu Raja SMS itu baru-baru ini, dia enggan mengulas secara terperinci. Kata Mawi, perkara itu dikendalikan oleh pihak pengurusannya dengan syarikat DCL.

“Kontrak saya dengan DCL dah tamat pada April lalu. Sepanjang tempoh setahun itu, saya tak pernah langgar apa-apa kontrak bersama mereka.

“Semua urusan tentang kontrak saya dengan DCL di uruskan oleh pihak Maestro, jadi saya tak banyak tahu tentang perkara ini.

“Saya pun tak berani nak cakap tentang kontrak dengan DCL, kerana ini bukan tanggungjawab saya. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tidak lagi bersama DCL, mereka boleh bertanya pada pihak Astro Entertainment, selepas pembubaran Maestro,” jelas Mawi.

Sering ‘terkena’

Diheret dengan pelbagai kontroversi, banyak pihak menganggap situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan pada popularitinya.

Namun, sebagai artis yang pernah merangkul anugerah Bintang Paling Popular selama dua tahun berturut-turut, Mawi yakin dengan kredibilitinya untuk terus mengekalkan populariti di samping kebahagiaan yang dinikmati.

“Mula-mula menjadi artis kira-kira empat tahun lalu, pelbagai jenis perniagaan datang pada saya. Malah, ada di antaranya saya sendiri tidak pernah kenal.

“Saya sudah sering ‘terkena’, dan dari situ saya belajar banyak perkara. Alhamdulillah, saya bahagia dengan keadaan sekarang.
“Walaupun ramai yang kata saya semakin kurang popular, tapi saya tidak tertekan. Saya senang dengan keadaan sekarang.

“Sebenarnya, ramai yang meletakkan populariti seseorang artis itu pada tahap tinggi apabila mereka kerap keluar di majalah dan akhbar.

“Tetapi, pada saya tidak. Saya senyap dan kurang terdedah dengan media, bukan bermakna saya tak buat apa-apa. Cuma, saya lebih suka sekiranya publisiti mengenai saya seiring dengan produk yang saya hasilkan.

“Saya senyap, tapi dalam masa yang sama, saya masih dapat projek-projek yang besar,” terang Mawi.

Tumpu pada lakonan

Kemunculan Mawi dalam filem Jin Notti membuktikan dia tidak mahu hanya statik pada nyanyian.

“Sekarang ini, memang nampak saya lebih beri perhatian pada lakonan. Selepas Jin Notti, saya bakal muncul dalam filem Majika.

“Manakala, projek album terbaru pula berjudul Idola, yang merupakan hasil duet di antara saya dengan idola-idola dalam industri muzik seperti, M.Nasir, Jamal Abdilah, dan ramai lagi,”ujarnya.

Rancang anak

Dalam perkembangan lain, Mawi yang sudah setahun hidup bersama isteri tercinta, Ekin, masih belum nampak tanda-tanda bakal bergelar bapa.

“Belum ada rezeki lagi. Saya dan isteri tak merancang. Sebelum ini dah ada rezeki, tapi keguguran pula. Yang seterusnya masih belum nampak lagi. Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti, adalah,” luah Mawi.

Tiada ulasan:

Catat Komen