8/07/2009

Saiful Apek tunggu lapan tahun jadi penyanyi

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : SHAIFUDIN MOHD. NOR


BERBEKALKAN wajah selamba dan perwatakan yang sentiasa mencuit hati, empunya nama Mohd. Saiful Azam Mohamed Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek, cukup popular sebagai seorang pelawak dan pelakon terkenal tanah air.

Dia pernah diangkat sebagai pelawak No.1 Malaysia sebelum kemunculan Nabil Ahmad.

Namun, bakat yang dimilikinya tidak terbatas dalam bidang itu saja. Malah, Saiful Apek juga berbakat dalam nyanyian.

Terbaru, jejaka berusia 40 tahun ini kembali memeriahkan industri dengan kemunculan album kompilasi berjudul Saiful Apek dan Famili yang turut menampilkan Yassin, Bob Kuman, CD Naz, Diarra dan kumpulan D'Adza serta Along, Angah dan Mie daripada program realiti, Raja Lawak yang bernaung di bawah syarikatnya, Gitu-Gitu Production Sdn. Bhd.

Single pertama yang dipetik daripada album tersebut, Hua...Hua...Hua…, kini sedang hangat diputarkan di semua stesen radio tempatan.
“Sebenarnya, album ini dirancang sejak tahun 2001 lagi. Tetapi impian itu terpaksa ditangguhkan dulu kerana terlalu sibuk dengan lakonan.

“Kebanyakan lagu dalam album ini bukanlah lagu baru kerana sudah disiarkan dalam rancangan TV. Dari situ, saya melihat respon peminat dan ternyata mereka suka dengan apa yang mereka dengar,” katanya.

Akademi lawak

Bergelar pelawak popular, pastinya menjadi idola bagi bakat-bakat generasi baru yang menyimpan impian mengikut jejak langkahnya. Namun, kata Saiful Apek, bukan sesuatu yang mudah untuk mengajar orang lain cara-cara berlawak.

“Saya sendiri tidak pernah diajar untuk membuat lawak. Bagaimana pula saya mahu mengajar dengan menubuhkan akademi lawak jika saya sendiri tidak melalui proses tersebut?

“Semuanya bergantung atas pendedahan dan pengalaman kita terhadap persekitaran.

“Apa yang penting adalah daya kretiviti seseorang untuk menghasilkan lawak. Bukannya senang untuk membuat orang ketawa.

“Kita juga perlu peka dengan isu semasa dan tidak semua perkara kita boleh gunakan sebagai modal untuk membuat lawak.

“Dari segi etika juga kita perlu jaga kerana ada jenis lawak yang tidak sesuai dengan usia penonton,” cerita anak kelahiran Gombak, Selangor ini.

Filem pertama arahannya, Shhh…Dia Datang dijangka ditayangkan pada hujung tahun ini sempena musim cuti sekolah.

“Apa yang pasti, penonton akan berpuas hati dengan filem yang menampilkan barisan pelawak lama dan baru,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan