8/07/2009

Pilih Kasih makin dikasihi peminat

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:SHAHRIL AZMAN ZAIN


SEMAKIN tiba ke kemuncak, semakin hebat dan mengujakan. Malah, semakin ramai yang bercakap tentangnya dan menunggu di depan TV2 pada setiap hari Sabtu, pukul 8.30 malam.

Begitulah yang dapat dikatakan tentang program realiti lakonan Pilih Kasih cetusan idea Rosyam Nor yang diterbitkan oleh syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Biarpun bersaing hebat dengan Anak Wayang, Pilih Kasih dikatakan telah mencipta fenomenanya sendiri kerana bersiaran langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan.

Sudah ramai yang memuji lakonan cemerlang pesertanya menerusi drama pendek yang diarahkan oleh Amy Maziah menerusi judul Pemburu dan Along Kamaluddin menerusi judul Mangsa.

Ini tidak menghairankan kerana tenaga pengajar mereka bukanlah calang-calang orang yang terdiri daripada Rohani Yusoff, Rosminah Tahir, Erma Fatima dan ramai lagi.

HAI turun padang menyaksikan sendiri kegigihan peserta menjalani penggambaran drama pendek ini yang dilakukan di pusat rekreasi Ulu Yam, Selangor.


Kuat mental

Selaku pengarah, Amy Maziah mengatakan setiap peserta harus mempunyai mental yang kuat biarpun drama pendek yang ditayangkan hanya berdurasi 10 minit.

“Biarpun hanya 10 minit, mereka kena bertahan kerana mutu lakonan akan dinilai oleh penonton. Lagipun, peluang tunjukkan lakonan individu hanya seminit.

“Awal-awal dulu memang sukar nak bentuk mereka. Masuk minggu ketiga barulah nampak perubahan. Ada juga yang buat perangai, tapi setelah ‘dibasuh’ oleh tenaga pengajar, barulah mereka sedar diri.

“Sekarang masuk lokasi, semuanya dah bersedia. Mereka dah tahu macam mana pergerakan kamera dan tahu posisi masing-masing. Saya hanya tegur apa yang perlu,”ujarnya.

Amy secara jujur mengaku awalnya dia dan Along seperti mahu membuktikan siapa lebih bagus. Bagaimanapun, mereka akhirnya sedar matlamat untuk lahirkan pelakon pelapis.

Hanya 10 orang peserta terbaik akan ke final dan lima yang terbaik akan terpilih menerima hadiah. Amy berasa lega kerana sehingga artikel ini ditulis, pelakon-pelakonnya masih bertahan sebanyak lapan orang.


Along kecewa


Memang perit buat Along apabila menyaksikan satu demi satu pelakon kendaliannya tersingkir. Sekarang hanya tinggal lima orang yang meneruskan cabaran.

“Saya tak rasa tercabar kerana ini program realiti dan berpandukan kepada undian penonton. Cuma kecewa juga kerana ada di antara pelakon yang tersingkir sangat berbakat besar dan boleh pergi jauh dalam lakonan.

“Saya dah bagi semua ilmu. Malah apabila dapat pujian dari pengkritik jemputan saya bangga kerana bermula dari kosong mereka akhirnya berjaya buktikan bakat dalam diri masing-masing.

“Setiap hari saya nampak kesungguhan mereka untuk buat yang terbaik. Saya yakin, sebahagian mereka ini akan berada dalam kelompok lima teratas semasa final nanti.

“Harap Rosyam gunakan kuasa veto dia untuk menyingkir peserta dengan bijak kerana jika diikutkan, komen pengkritik juga memuji pelakon saya,” jelasnya yang tidak patah semangat.

Jom, ikuti komen dua peserta yang bersaing mengungguli undian teratas iaitu Indera Hafiz dan Diwan Nawi serta Nabila Dally yang mendapat sokongan kuat daripada peminatnya di Sabah.


Indera tak suka berada di atas


Ketika ditemui di lokasi, Indera atau Abdul Hafiz Abdul Halim, 25, dari Pulau Pinang, berada di tangga teratas. Namun ketika artikel ini ditulis, kedudukannya dirampas oleh Diwan Nawi.

“Saya sebenarnya tak suka berada di atas kerana belum lagi menyerlah dalam segmen teater. Rasa kekurangan kerana belum pernah diberi watak utama.

“Apabila dapat apa yang diinginkan, barulah saya rasa ia berbaloi dengan undian yang diberikan peminat,” katanya.

Indera tidak pernah berlakon sebaliknya aktif menyanyi bersama kumpulannya Sapphire yang berkonsepkan R&B.


Diwan tak selesa dengan pujian


Diwan yang nama sebenarnya Mohamad Redzuan Rosli, 19, mengakui tidak selesa dengan pujian.

“Untuk belajar, kita tak boleh cepat berpuas hati. Saya tak pernah anggap kami seperti bersaing. Memanglah kalau tengok pada undian saya seperti ada peluang untuk berada dalam lima terbaik.

“Saya tak mahu ia melalaikan saya. Yang penting saya akan buat yang terbaik agar penonton akan terus mengundi,” ujarnya.


Nabila impi ke final

Gadis bernama Nabilah Ali Dally, 18, cantik orangnya kerana berdarah campuran Filipina (sebelah ibu) dan Pakistan (bapa).

“Di Kota Kinabalu, saya aktif sebagai model peragaan pentas dan iklan. Mungkinlah peminat kenal saya dan mengundi.

“Kedudukan saya agak selamat tapi kita tak tahu kemungkinan yang berlaku apabila semakin ke kemuncak. Malah, kemungkinan untuk saya berada di bottom 3 (tiga terbawah) juga ada.

“Dulu saya tak yakin untuk berlakon, tapi dengan tunjuk ajar tenaga pengajar, saya dah semakin maju. Saya suka segmen drama dan teater, tapi tak gemar segmen monolog kerana susah nak lahirkan perasaan.

“Malah, saya pernah kena marah dengan pengajar kerana masalah dalam segmen ini. Saya berjanji akan tingkatkan lagi mutu persembahan kerana ada sasaran beraksi di final,” jelas Nabila.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan