8/07/2009

“Kahwin awal elak maksiat”- Puteri Sarah

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:SHAHRIL AZMAN ZAIN


SELAIN filem Aduh Saleha yang masih terbengkalai dan beberapa iklan komersial yang pernah dibintanginya, apa lagi yang membuat peminat mengingati Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin atau mesra di sapa Sarah?

Ya! Sudah tentulah aksi panas gadis cantik ini bersama kekasihnya, model dan pelakon Ammar Alfian menerusi gambar yang pernah tersebar secara meluas dalam Internet.

Ammar mengakui hubungan cinta mereka berterusan sehingga kini. Bagaimana pula komen Sarah?

“Seperti dia, saya akui kami bercinta dan saling menyayangi. Selalunya, artis akan nafi jika bercinta tapi saya bersikap terbuka.

“Kalau nak sembunyi pun, nanti terserempak dengan khalayak, pasti i jadi bahan dalam blog di Internet. Lebih baik mengaku sajalah. Tak perlulah saya nak bimbang fasal populariti.

“Usia Ammar 24 tahun, dua tahun muda daripada saya. Dulu, saya pernah bercinta dengan lelaki yang lebih tua dan sering elak bercinta dengan lelaki lebih muda kerana anggap mereka belum matang.

“Semasa mula-mula kenal Ammar dan mengetahui usianya, saya kecewa juga. Setelah lama berkawan, saya tengok dia matang.

“Kes gambar yang tersebar dalam Internet itu memang menguji hubungan kami. Bapa saya marah dengan apa yang telah berlaku. Tapi Ammar gentleman, berani bersemuka dengan bapa dan meminta maaf.

“Alhamdulillah, bapa boleh terima alasan yang diberikan dan hubungan kami berjalan seperti biasa. Kes itu jadi pengajaran buat kami. Sekarang, kami dah tutup buku lama,” jelas Sarah yang mengenali Ammar sebelum pemuda itu bergelar model dan pelakon.


Jarang jumpa kekasih


Bercerita tentang perancangan kahwin, Sarah mengakui keluarga kedua-dua belah pihak ada berbincang dan mendesak agar mereka segera disatukan secara sah bagi mengelakkan perkara tidak elok berlaku.

Bagaimanapun, mereka belum bersedia kerana banyak faktor perlu diambil kira, terutamanya usia yang masih muda dan faktor kewangan.

“Ammar masih sibuk cari duit. Dia pun nak cari tapak untuk betul-betul kukuh dalam bidang yang diceburi. Kalau nak kahwin pun dia kena betul-betul bersedia.

“Saya pun masih belajar. Selepas tamat pengajian dalam pengurusan perhotelan UiTM Pulau Pinang, saya sambung pula dalam Bachelor Of Hospitality And Tourism Management di sebuah kolej swasta. Pengajian saya ada lagi setahun.

“Saya tahu niat keluarga suruh kahwin awal untuk elakkan maksiat. Tapi sebenarnya kami jarang berjumpa sekarang kerana masing-masing sibuk dengan kerja.

“Biarlah kami berjaya dalam karier dulu sebelum ambil keputusan berkahwin. Kalau boleh saya nak kahwin pada usia 28 tahun,” kata Sarah ikhlas.


Gagal jadi pengacara


Popular kerana sensasi atau kualiti? Mungkin inilah situasi yang dialami oleh Sarah kerana tidak banyak wataknya yang melekat di kotak hati peminat.

Namun, gadis ini tidak kecewa. Dia mahu membuktikan tanggapan itu salah dan berhasrat menebusnya menerusi filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie yang bakal ditayangkan pada Oktober depan.

“Saya bermula sebagai model iklan komersial sebelum jadi pelakon. Drama lakonan saya, antaranya Dunia Anita, Kawan, Puteri, Yusuff, Dendam, Renjis dan terbaru, Anugerah Sebuah Cinta.

“Banyak tawaran berlakon saya terpaksa tolak kerana sibuk dengan pelajaran. Mungkin peminat tak boleh menilai kerana belum ada watak saya yang benar-benar menonjol. Dulu, saya letakkan harapan pada filem Aduh Saleha, tapi tak menjadi apabila terbengkalai separuh jalan.

“Saya dah lupakan kekecewaan itu dan harapkan filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie dapat tonjolkan bakat saya kepada peminat,” terang Sarah.

Sarah pernah disuruh oleh ibunya agar mempelbagaikan cabang seni dengan mencuba profesi sebagai pengacara di TV3. Namun, tanpa persediaan rapi, dia gagal dalam uji bakat.

“Saya memang tak ada pengalaman mengacara. Sampai saja ke sana, saya terus kena mekap dan jalani sesi uji bakat. Mereka berikan pelbagai soalan dan suruh saya jawab secara spontan.

“Memang tak boleh jawab sebab saya keliru. Saya tak pandai nak cakap spontan depan kamera. Rasa nak menangis kerana marahkan diri sendiri dan kecewa kerana tak buat persediaan,” ceritanya yang tidak putus asa dan akan mencuba lagi di masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan