8/07/2009

Hafiz ditegur M.Nasir

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : AZLI AHAD


JIKA dibandingkan dengan juara-juara Akademi Fantasia musim terdahulu, juara AF7, Mohd. Hafiz Mohd. Suip, boleh dianggap cukup bertuah.

Masakan tidak, dalam tempoh dua bulan bergelar juara, Hafiz kini boleh tersenyum lebar apabila album sulungnya, Masih Jelas terbitan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), sudah pun menemui peminat sejak 14 Julai lalu.

Bercerita tentang album sulungnya itu, lelaki berambut kerinting ini ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dan gembira ketika ditemui HAI di majlis pelancaran albumnya di restoran Delucca, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Seronok tidak terhingga kerana akhirnya tercapai juga cita-cita saya memiliki sebuah album.

“Album ini adalah sebagai tanda permulaan karier saya sebagai penyanyi dan ia juga merupakan satu fantasi yang telah menjadi realiti.

“Saya amat berpuas hati dengan album ini kerana bukan saja menampilkan komposer-komposer ternama tanah air, malah genre lagu dalam album ini merupakan pilihan saya sendiri.

“Dalam banyak-banyak lagu, lagu ciptaan M.Nasir paling mencabar. Dia seorang yang tegas dan begitu teliti dengan kerjanya.

“Tetapi, saya tidaklah teruk kena marah semasa dalam studio rakaman. Cuma saya ditegur agar memberikan yang terbaik.

“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bagi kepada saya. Album ini merupakan hadiah buat semua peminat,” luah jejaka berbintang Pisces ini.

Menyesal

Sejak bergelar bintang pada 16 Mei lalu, anak sulung daripada tiga-beradik ini begitu sibuk dengan aktiviti seni yang padat.

“Saya tidak pernah menyesal menjejakkan ke dalam bidang nyanyian. Kalau dah minat, soal penat ditolak ke tepi.

“Soal penat itu hilang kerana saya begitu seronok dengan apa yang saya lakukan. Bidang ini merupakan cinta pertama saya,” kata Hafiz.

Berlakon dan mengacara

Andai disuluh dari sisi lain, selain menyanyi, jejaka comel ini turut menanam impian untuk mencuba bidang lakonan dan pengacaraan.

Sebelum ini, peminat pernah melihat aksi Hafiz di kaca televisyen sebagai hos program Menuju Puncak yang menceritakan kisah perjalanannya dan teman-teman AF7 yang lain mengharungi pahit manis untuk bergelar bintang.

“Sekarang, saya ingin memberi tumpuan pada nyanyian dahulu. Tetapi, kalau diberi peluang untuk mencuba bidang seni yang lain, saya takkan tolak.

“Sebagai seorang hos, kita perlu pandai bercakap dan berinteraksi dengan penonton. Itu merupakan satu cabaran yang begitu besar buat saya yang masih baru dalam industri ini,” cerita Hafiz yang bercadang menyambung semula pengajiannya pada tahun depan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan