8/07/2009

APA KES : Aishah demanding?

OLEH: WAHIDA OTHMAN


BAGUS sangat ke? Belum sampai setahun jadi artis dah pandai demand.

Kedengaran marah komen segelintir pihak apabila timbul cerita kononnya Aishah, produk AF7, dikatakan bersikap demanding ketika meminta bayaran mengadakan persembahan.

Namun, benarkah gadis genit bernama Aishah ini sudah mula buat perangai? Ikuti temu bual HAI bersamanya.

Apa kes sebenarnya?


Saya sendiri tak pasti apa sebenarnya yang mereka maksudkan. Sejak di dalam akademi lagi, setiap pelajar AF7 sudah dinasihati supaya tidak meletakkan harga yang tinggi jika ditawarkan membuat persembahan.

Malah, kami juga sering diingatkan supaya tidak mudah lupa diri bila sudah bergelar artis popular nanti.

Saya sentiasa ingat pesan dan nasihat cikgu-cikgu sewaktu di akademi, malah mereka juga banyak mengajar saya cara bagaimana mahu menerima tawaran.

Saya tak tahu bagaimana boleh timbul cerita sebegini kerana saya tak pernah meletakkan harga untuk setiap undangan persembahan.

Kebiasaannya, sebelum menerima sebarang tawaran, saya bertanya bajet mereka dahulu dan setelah negosiasi, barulah saya bersetuju.

Setakat ini, saya tak pernah menolak pelawaan sesiapa hanya kerana jumlah bayaran mereka sedikit. Saya hanya menolak jika persembahan itu bertembung dengan jadual aktiviti lain.

Bagaimana boleh timbul cerita begini?


Saya juga tak pasti, kenapa ada pihak yang bercerita sebegini tentang saya, sedangkan saya tak pernah bersikap demanding.

Mungkin ada salah faham ataupun kesilapan dari segi komunikasi di antara kami. Tetapi saya sebenarnya memang tidak ada sebarang masalah dengan sesiapa.

Siapa yang uruskan karier sekarang?

Ada juga yang telefon pihak astro untuk mengambil saya buat persembahan. Tetapi kebanyakannya saya uruskan sendiri. Saya tidak terikat dengan Astro.

Bagaimana tanggapan keluarga?


Awal cerita ini keluar memang mereka terkejut. Adik saya adalah orang pertama yang telefon memaklumkan perkara ini. Kemudian, seluruh keluarga bertanya tentang kesahihan cerita tersebut.

Saya terangkan pada mereka perkara sebenar, dan akhirya mereka faham. Keluarga banyak membantu dan menyokong saya bila berlaku masalah seperti ini.

Masalah seperti ini saya anggap sebagai cabaran awal bergelar anak seni.

Mengaku bercinta?

Tak adalah. Saya tak pernah mengaku sedang bercinta. Memang realitinya, saya belum pernah bercinta dengan sesiapa pun. Cuma, saya tak nafikan memang ramai kawan lelaki. Tetapi, tiada teman lelaki istimewa.

Karier seni saya baru bermula. Kalau boleh, saya mahu tumpukan pada kerja terlebih dahulu sebelum fikir tentang cinta.


Susah bergaul?


Saya memang tak banyak cakap, susah nak mulakan perbualan. Tapi bila dah mula berkawan baik dan sudah kenal cara masing-masing, saya boleh ikut rentak mereka.

Saya masih baru dan masih banyak perlu dipelajari. Jadi, apa saja kritikan dan komen daripada orang ramai, saya terima dari sudut positif.

Perancangan masa depan?

Buat masa ini, saya ada terima pelawaan sebuah syarikat untuk membantu menguruskan karier saya.

Terlalu awal untuk bercerita tentang hal ini kerana saya masih belum lagi menandatangani apa-apa perjanjian dengan mereka.

Saya akan tumpukan dahulu soal nyanyian dan insya-Allah tahun depan, barulah saya fikirkan soal menyambung pelajaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan