8/07/2009

Aizat besar kepala, berlagak dan sombong?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: NOOR AZLINA JAAFAR


ANAK muda bernama Muhammad Aizat Amdan, semakin menunjukkan taring sebagai karyawan muzik yang punya masa depan cerah.

Aizat merupakan antara produk AF5 yang menyerlah, selain Mila dan Dafi. Muziknya diterima baik dan semakin berpengaruh.

Kejayaan terbarunya di pentas berprestij ialah melalui anugerah Artis Baru Lelaki Terbaik dan Lagu Paling Popular Malaysia (muat turun) dalam Anugerah Planet Muzik 2009 di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Terdahulu, dia mengecap kejayaan untuk Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di dalam Lagu semasa Anugerah Industri Muzik Ke-16 serta tempat ketiga dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-18 di Varna, Bulgaria.

Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya memang patut di banggakan. Tetapi dari sisi lain, ada cerita kurang sedap mengenainya.

Khabar angin bertiup kencang kononnya, Aizat sudah mula besar kepala dan berlagak di hadapan peminat. Mulutnya juga dikatakan sukar untuk menyapa orang lain, terutamanya wartawan. Benarkah semua itu?

“Saya tak pernah rasa besar diri kerana saya tidak dididik untuk bersikap sebegitu. Malah, ke mana-mana sekalipun saya pergi, pastinya saya akan merendah diri pada sesiapa saja.

“Saya ada keluarga yang akan menegur untuk kebaikan saya. Saya sentiasa ingat nasihat ibu bapa.

“Mereka akan menegur sekiranya ada tindak-tanduk saya yang kurang disenangi, bahkan saya sendiri sering meminta pandangan serta nasihat daripada mereka.

“Saya tak pernah berlagak ataupun sombong. Mungkin khabar ini timbul bila ada orang yang tidak senang dengan saya ataupun ada yang salah faham dengan cara saya.

“Pada saya, peminat adalah tulang belakang yang banyak menyokong perjuangan seni saya selama ini.

“Tanpa mereka, tak mungkin saya berada sampai tahap sekarang. Mungkin ada mengatakan kata-kata sebegini klise, yang sering dikatakan oleh artis, namun inilah hakikat.

“Seseorang artis itu tidak akan berjaya jika tiada sokongan peminat, juga media massa,” ujar Aizat yang muncul dengan album bungkus semula Percubaan Pertama.

Jac tolak lagu?

Sebelum ini, Aizat pernah memberitahu HAI, ada mencipta sebuah lagu untuk Jaclyn Victor. Namun, hasratnya untuk menjadi salah seorang komposer di dalam album penyanyi itu tidak kesampaian apabila lagu ciptaannya ditolak.

“Saya tak kecewa. Mungkin, lagu itu tidak sesuai dengan vokalnya. Bila saya menulis lagu untuk album sendiri, ramai pihak fikir, saya seorang komposer yang arif tentang lagu, maka mereka mintalah lagu daripada saya.

“Tapi sebaliknya, saya seorang yang baru saja hendak belajar tentang lagu dan irama. Jadi, lagu-lagu yang diberi itu adalah mengikut apa yang saya suka.

“Sebenarnya, saya rasa masih belum layak dipanggil komposer kerana saya bukan seorang komposer profesional. Terlalu banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi,” terang Aizat yang diingati khalayak menerusi lagu Hanya Engkau Yang Mampu, Lagu Kita, Fikirkan dan terbaru, Kau Aku.

Tamak


Album pertama sudah diterima baik, album kedua bakal menyusul, yang secara total adalah sentuhannya sendiri.

“Saya bukan tamak untuk bolot cipta semua lagu dalam album kedua. Cuma, saya mahu tampilkan kelainan dan kepuasan sendiri.

“Album kedua itu nanti adalah satu projek khas. Saya mahu lihat sejauh mana penerimaan peminat terhadap lagu-lagu ciptaan saya.

“Selain itu, saya juga ingin tonjolkan imej sebagai ‘singer-songwriter’. Tidak ramai penyanyi tempatan yang berbuat sedemikian,” jelas Aizat yang mengekalkan konsep pop rock di dalam album terbarunya itu.

1 ulasan:

  1. Ada jumpa aizat AF ni kat Bentley Music kat IKEA aritu. Bila tegur mintak mainkan lagu, disuruhnya aku bayar?? Terus aku tak minat dia dah skrang ni..

    BalasPadam