7/08/2009

Wangi cinta Fizo?

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : JEFFRI IRAN


PATUTLAH mekar mewangi kehidupan Fizo Omar sekarang, sebab sudah ada teman istimewa yang Wangi namanya…

Mungkin itu kata-kata orang sekeliling pelakon muda yang sedang meningkat naik itu. Sebab, mereka sudah sedia maklum yang Fizo ketika ini sedang intim dengan bunga mekar yang mewangikan kumpulan The Fabulous Cats (TFC) iaitu Wangi Julianda.

Tidak mahu terus berteka-teki, HAI menggandingkan dua anak muda berbakat ini di dalam satu sesi fotografi khas untuk pembaca setia HAI.

Lihat sajalah aksi mesra dan manja mereka. Nampak romantik sekali. Yang lucunya sepanjang fotografi, gadis cantik ini asyik kena sakat dengan jejaka nakal itu. Bising jugalah mulut mereka dengan gaduh-gaduh manja. Wah! Bunga-bunga cinta sedang mekar ya…

“Saya mula mengenali Wangi semasa mengikuti siri jelajah Anugerah Bintang Popular, kebetulan TFC turut serta. Kami berkawan baik. Hubungan kami sekadar teman biasa dan tidak lebih daripada itu.

“Kami tidak pernah terfikir nak bercinta. Jadi, memang tak betul cerita yang mengatakan saya sudah meluahkan perasaan dan cuba memikat hati Wangi.

“Saya sendiri terkejut dan pelik bagaimana cerita itu boleh timbul. Saya tidak kisah bila nama saya dikaitkan dengan Wangi kerana perkara seperti ini sudah menjadi lumrah apabila bergelar seorang artis,” kata jejaka yang bakal menginjak usia 24 tahun pada 19 Julai depan.

Tidak merancang

Ketika diajukan soalan tentang wanita bernama Wangi Julianda, Fizo tersenyum dan kataya, dia seronok berkawan dengan gadis dari Bandung, Indonesia itu.

“Pertama kali berjumpa Wangi, saya lihat dia seorang yang sopan dan pendiam. Tetapi selepas mengenalinya, ternyata dia seorang yang gila-gila.

“Wangi tidak seperti gadis lain yang sering control ayu. Dia seorang yang selamba dan sedikit keanak-anakan. Saya suka menyakat Wangi.

“Soal jodoh, saya serah saja kepada takdir. Saya akan terima saja apa yang tertulis untuk diri saya.

“Saya tidak mahu meletakkan ciri gadis idaman yang akan saya kahwini kerana sukar untuk kita dapat apa yang diinginkan,” terang Fizo yang merancang menamatkan zaman bujang sebelum usia mencecah 30 tahun.

Wangi akui keluar dengan Fizo

Saat menyebut tentang hubungannya dengan Fizo, satu jawapan yang begitu klise juga terkeluar dari mulut gadis berbintang Capricon ini.

Sama seperti Fizo, Wangi menjelaskan hubungan mereka hanya sekadar teman biasa sahaja.

“Cerita tentang Fizo meluahkan perasaan pada saya itu tidak benar. Kami berdua hanya berkawan biasa dan tidak sedikitpun melibatkan soal hati dan perasaan.

“Memang benar kami pernah keluar bersama. Tetapi, bukannya kami keluar berdua-duaan. Selalunya kami akan keluar bersama anggota TFC yang lain.

“Saya masih baru di sini. Oleh itu, saya akan berkawan dengan sesiapa saja yang saya rasa sesuai dan serasi,” ujar anak sulung daripada dua adik-beradik ini.

Jejaka idaman

Ditanyakan pula pendapatnya tentang Fizo, gadis manis ini memberitahu HAI bahawa Fizo mempunyai sedikit ciri-ciri lelaki idamannya.

“Saya mengidamkan lelaki yang lebih dewasa dan matang. Dia juga perlu mempunyai sikap yang lucu serta memahami dan menerima saya seadanya.

“Fizo memiliki sedikit kriteria lelaki idaman dan saya rasa selesa berkawan dengannya. Dia seorang teman yang baik dan penyayang.

“Namun, hubungan saya dan Fizo hanya sekadar teman sahaja. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bercinta dengannya.

“Namun, saya tidak akan menolak andai Tuhan telah menentukan jodoh saya dengan Fizo. Saya akan terima saja,” luah Wangi yang lahir pada tanggal 22 Disember 1989.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan