7/08/2009

Jodoh Jehan dan Fouziah


OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: ZAKARIA IDRIS


SAAT merakam gambar dua pelakon popular, Jehan Miskin dan Fouziah Gous, memang menghiburkan.

Sejak awal berada di lokasi fotografi, tidak henti-henti Jehan menyakat Fouziah.

Kata Jehan, kemungkinan besar jodohnya dengan Fouziah, kerana sejak akhir-akhir ini mereka kerap terserempak atau pun disatukan dalam fotografi.

Fouziah pula hanya memberi jawapan manja. Tapi siapa tahu, gurauan biasanya menjadi kenyataan. Tambahan pula, kedua-duanya hidup solo.

Mengusik nakal Jehan, adakah dia sudah bersedia untuk memulakan kembali percintaan sesama artis, jawabnya:

“Saya masih sendiri. Masih tidak mencari dan masih juga tidak menolak sekiranya ada cinta yang datang. Kalau suatu hari nanti ada cinta, adalah. Jika tidak, apa boleh saya katakan.

“Saya tak serik untuk bercinta, tapi saya tidak memandang itu sebagai satu benda serius yang perlu sentiasa difikirkan.

“Keluarga pula tidak pernah mendesak, malah abang saya baru saja berkahwin di usia 38 tahun. Sekarang, kahwin lambat dah tak jadi isu macam zaman dulu lagi,” ujar Jehan.

Serik


Adik kepada bekas Ratu Gimnastik negara, Faiznur Miskin ini jujur memberitahu HAI, dia selesa dengan apa yang dilaluinya sekarang.

“Sekarang, saya semakin sibuk dengan lakonan, tak sempat nak bercinta. Jadual kerja yang bertambah padat sejak Februari lalu, menjadi punca cerita-cerita gosip tentang cinta saya semakin berkurangan.

“Alhamdulillah, dari segi kerja, perkembangan sebegini memang memberi kesan yang baik pada saya dan rezeki pula tidak putus-putus, biarpun nama agak tidak menonjol ketika ini.

“Tanpa kontroversi ataupun gosip yang melampau juga sebenarnya mampu membuatkan kita berjaya di dalam kerjaya, asalkan bersungguh-sungguh,”terang Jehan yang tersenarai sebagai pelakon filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa.

“Nak cari orang yang berduit memanglah senang,”- Fouziah

Memiliki rumah, kereta dan beberapa aset penting yang lain di usia yang muda, memang sesuatu yang boleh di banggakan.

Dari sisi lain, kelengkapan aset tersebut menjadi buah mulut orang sekeliling yang mungkin beranggapan serong.

“Semua aset yang saya miliki sekarang adalah atas usaha dan titik peluh sendiri, sejak berkhidmat sebagai pramugari lagi.

“Saya memang tak suka membazir dengan membeli benda-benda yang tak penting, jadi saya beli aset yang saya akan guna sampai bila-bila.

“Bila kita dah banyak kumpul aset di usia muda, maka ramai pula yang buat cerita yang bukan-bukan.

“Tapi pada saya, tak kisahlah apa orang nak kata, kerana fitnah itu hak mereka. Mereka tak tahu bagaimana saya bersusah payah bekerja. Mereka hanya tahu bercakap saja,”luah Fouziah.

Lelaki takut

Seperti manusia biasa, sudah tentu Fouziah juga tidak terlepas daripada perasaan ingin dicintai.

“Nak cari orang yang berduit memanglah senang. Tapi, kalau nak cari orang yang benar-benar ikhlas mahu berkawan, itu yang susah.

“Saya ini jenis yang suka lepak di rumah. Sebab itulah susah nak jumpa dan berkenalan dengan lelaki. Sampai sekarang saya belum ada teman istimewa.

“Emak memang dah bising, sebab dalam keluarga hanya saya seorang saja perempuan, yang lain ialah abang-abang.

“Tapi emak tak terlalu mendesak, sebab dia faham saya sibuk dengan kerjaya hingga tak sempat fikir soal cinta dan kahwin,” kata Fouziah yang turut membintangi sebuah drama lagenda, Ibu Ampunkan Aku, yang diadaptasi daripada cerita dongeng Si Tanggang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan