7/06/2009

Ada orang masuk meminang Scha?

OLEH: WAHIDA OTHMAN

PELAKON yang sedang naik daun, Scha Alyahya, awalnya begitu berat mulut berterus-terang mengenai percintaan dengan pelakon, Fahrin Ahmad.

Namun, sejak kebelakangan ini, heroin drama bersiri popular Awan Dania itu sudah tidak mahu berselindung.

Mungkin penat dengan tebakan demi tebakan orang sekeliling mohon kepastian, akhirnya gadis daripada keturunan Syed dan Sharifah ini akur.

Pengakuan cinta daripada mulut Scha, melegakan semua pihak. Sudah tentu sang kekasih yang khabarnya berdiri teguh di belakang memberi sokongan untuk terus menuju puncak di dalam seni.

Bagaimanapun, khabarnya juga keluarga pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya itu menghalang percintaan tersebut.
Kononnya, keluarga mahu menjodohkan si gadis dengan insan yang sama kufu.

Scha pula tidak terus melatah apabila diminta penjelasan. Scha menjelaskan pada HAI, memang ada perbincangan dengan ibunya mengenai soal pertunangan.

“Emak beritahu, ada orang mahu datang meminang saya. Tapi, tapi waktunya tidak kena, sebab saya baru saja mengenali Fahrin.

“Saya terangkan pada keluarga, yang saya sedang mengenali seseorang. Maka, pinangan itu tak dapat kami terima.

“Keluarga saya tidak pernah menghalang dengan siapa saya ingin bercinta. Mereka akan bertanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Seperti perkara tersebut, emak tak terus mendesak, tetapi kami sama-sama berbincang. Tidak timbul soal keluarga yang menentukan siapa jodoh saya.

“Ayah saya pula memang tegas sedikit. Tapi, dia tak halang dengan siapa saya mahu berkawan, asalkan orang itu pandai menjaga saya.

“Memang waktu itu, saya baru nak kenal Fahrin, jadi tak eloklah jika saya terus menerima pinangan lelaki lain,” ujar Scha yang sedang menjalani penggambaran filem Libas.

Restu keluarga

Meneruskan perbualan mengenai keluarga dan kekasihnya, Fahrin, Scha tanpa berselindung mengakui sudah menemui keluarga kekasihnya itu dan begitu juga sebaliknya.

“Walaupun pertemuan kami bukan dalam keadaan yang serius, tapi kami sudah pun saling mengenali.

“Saya jumpa keluarga Fahrin semasa hari perkahwinan adiknya, sementara dia pula hadir di majlis perkahwinan abang saya.

“Emak dia baik dengan saya, begitu juga dengan ahli keluarganya yang lain.

“Keluarga saya pun tak ada masalah dengan Fahrin. Saya tengok mereka seronok berbual. Dari situlah, saya dapat merasakan yang keluarga saya dapat menerima Fahrin,” jelas Scha lagi.

Rancang kahwin

Meskipun ketika ini banyak pihak sudah sedia maklum tentang ikatan istimewa Scha dan Fahrin, namun belum ada sebarang tanda untuk bersatu secara sah.

“Saya pernah berjanji yang saya akan beritahu kepada semua pihak jika saya benar-benar bercinta. Sekarang ini, saya baru mulakan episod percintaan dengan Fahrin.

“Soal kahwin masih jauh. Kami belum bincang. Mungkin Fahrin ada alasan sendiri, ataupun ada faktor yang membuatkan dia belum berfikir lagi tentang soal itu. Maka, dia tak pernah berbicang mengenainya.

“Sebelum ini, saya pernah merancang untuk berkahwin pada usia 27 ataupun 28 tahun, tapi nampaknya belum ada rezeki lagi. Sekarang ini, saya cuma merancang untuk berkahwin pada usia 28 ataupun 29 tahun.

“Tapi, itu semua hanya rancangan. Kadang-kadang, tak semua yang kita rancang akan mengikut masa seperti yang kita mahukan,”luah Scha yang akan kembali beraksi di dalam drama Awan Dania tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan