7/08/2009

Mulan jaga anak-anak Ahmad Dhani

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : BAIZURA HARUN
LOKASI : HOTEL GRAND MILLENIUM, JALAN BUKIT BINTANG, KUALA LUMPUR


NAMA Raden Terry Tantri Wulansari atau lebih dikenali sebagai Mulan Jameela menjadi hangat sekitar tahun 2008.


Kisahnya yang dikatakan menjalin hubungan intim dengan Ahmad Dhani, sebagai punca perpisahan vokalis kumpulan Dewa 19 itu dengan isterinya Maia Estianty menjadi tajuk berita utama di setiap dada akhbar dan majalah Indonesia.

Selepas satu gosip, timbul pula gosip lain terhadap janda beranak dua ini yang mengukuhkan lagi hubungannya dengan Ahmad Dhani.

Terbaru, HAI terdengar khabar bahawa kehadiran Mulan ke Kuala Lumpur, baru-baru ini sebenarnya memikul tugas menjaga anak-anak Ahmad Dhani, iaitu Ahmad Al Ghazali, El Jalaluddin Rumi dan Ahmad Abdul Qodir Jaelani yang dibawa bersama ke Malaysia untuk acara Pesta Malam Indonesia 3.

“Saya memang rapat dengan anak-anak Ahmad Dhani kerana mereka juga bernaung dibawah pengurusan syarikat milik Ahmad Dhani. Band mereka diberi nama The Lucky Laki. Saya melayan mereka sama seperti artis-artis lain di dalam syarikat tersebut.

“Tetapi, tujuan utama saya ke sini adalah mengikuti rangka promosi bersama media Malaysia yang telah diatur oleh pihak syarikat rakaman Metadome. Bukannya, menjaga tiga anak teruna Ahmad Dhani itu.

“Setelah setahun album saya berada di pasaran, baru sekarang saya mempunyai peluang untuk mempromosikan album ini di Malaysia.

“Walaupun agak ketinggalan, saya rasa masih belum terlewat untuk mempromosikan album ini kerana lagu-lagu saya masih didengar oleh peminat di Malaysia,” kata Mulan.

Suka


Ditanyakan pula tentang status sebenar hubungannya dengan Ahmad, pelantun lagu Makhluk Tuhan Paling Sexy ini menafikan kontroversi yang melanda dirinya bersama pemimpin kumpulan Dewa 19 itu.

“Gosip hangat di antara saya dengan Ahmad Dhani sudah dianggap basi. Saya sudah kebal dan lali dengan gosip liar sebegitu.

“Dulu, saya selalu mengehadkan hubungan kami. Sekarang, saya cuba menjadi senormal yang mungkin dan melayan dia seperti kawan-kawan lelaki yang lain.

“Saya menyukainya kerana dia seorang bapa serta ketua yang sangat baik dan saya amat menghormatinya.

“Tetapi, hubungan saya dengan Ahmad Dhani hanya sekadar teman baik sahaja dan tidak lebih daripada itu,” jelas Mulan.

Kahwin

Sibuk dengan kerjaya, bekas ahli kumpulan Ratu ini tidak pernah menjadikan isu itu sebagai alasan untuk melepaskan tanggungjawab terhadap dua orang anaknya, Tyarani Savitri, 9, dan Muhammad Rafly Aziz, 6.

Disebabkan dua anaknya itu jugalah, penyanyi kelahiran Garut, Jawa Barat, Indonesia ini masih bersendirian selepas perkahwinannya bersama Harry Indra Nugraha terkandas pada tahun 2005.

“Secara jujurnya, saya memang teringin untuk berkahwin semula. Tetapi ada perkara yang perlu saya utamakan terlebih dahulu.

“Saya mempunyai 24 jam setiap hari untuk digunakan sepenuhnya untuk kerja dan keluarga.

“Jika saya bercinta, masa yang ada itu perlu dibahagikan pula kepada kekasih dan masa untuk anak-anak serta kerja terpaksa dikurangkan.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku. Sekarang, saya mahu fokus pada kerjaya dan juga keperluan anak-anak.

“Masih banyak impian untuk anak-anak yang ingin saya lakukan. Bila semuanya sudah selesai, barulah saya akan fikirkan soal kahwin.,” kata Mulan yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 23 Ogos depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan