7/08/2009

Ella takut kahwin?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: BAIZURA HARUN


MUNGKIN ada segelintir pihak tidak kisah jika wanita berusia 43 tahun masih lagi bersendirian tanpa lelaki bergelar suami dan tanggungjawab sebagai ibu.

Namun, kalau wanita itu artis popular seperti Ratu Rock, Ella, tentunya perkara tersebut tidak lepas daripada dibicarakan.

Apatah lagi, teman-teman sebayanya sudah ramai membilang anak. Namun, sehingga kini, belum nampak sebarang khabar mengenai rumah tangga yang mahu dibina oleh pemilik nama penuh, Norzila Aminuddin itu.

Biarpun agak lama menyepikan diri, Ella tidak terlepas daripada ‘diserang’ mengenai hal kahwin ketika ditemui semasa majlis pelancaran album terbarunya di Bangkok Jazz, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya sedang menyayangi seseorang, dan saya gembira dengan kehidupan sekarang.

“Dia bukan orang dalam industri ini. Dia hanya orang biasa yang sukakan muzik. Insya-Allah, bila masanya tiba, saya akan umumkan. Sekarang masanya belum sesuai untuk membicarakan soal ini.

“Saya perlu hormati keluarganya dan juga keluarga saya. Lagipun, rezeki, ajal dan maut semuanya ditentukan Tuhan. Jika ada, nanti adalah,”luah Ella yang kini popular menerusi lagu barunya, Puisi Hamba.

Putus asa

Mungkin juga, ramai beranggapan wanita secantik Ella, mempunyai masalah tersendiri yang menjadi alasan dia lewat berkahwin.

“Ya, mungkin dah terlalu lewat, tapi itu semua pemberian daripada Allah. Tuhan marah jika kita berputus asa.

“Saya tak takut untuk berkahwin, tapi sekarang ini saya selesa hidup solo... kerana saya dapat berdikari. Insya-Allah, selepas selesai semua kerja, saya akan fikirkan tentang perkahwinan pula,” ujar Ella.

Saingan

Lambakan program realiti nyanyian, semakin menambahkan lagi saingan di kalangan penyanyi baru dan lama.

Namun, Ella sedikit pun tidak gentar dengan kehadiran generasi bakat baru yang jauh lebih muda. Malah, secara jujur dia mengakui gembira dengan persaingan sihat itu.

“Saya melihat kehadiran bakat-bakat baru sekarang ini, ada yang baik, tetapi ada juga yang tidak berapa baik.

“Yang baiknya, ada di antara mereka yang betul-betul berbakat dan mampu memberikan hasil yang baik pada industri muzik.

“Siapa yang layak menggantikan saya, itu susah saya nak cakap, sebab ramai yang berbakat. Jika saya sebutkan nanti, ada pula yang berkecil hati.

“Tak dinafikan, ada di antara artis baru yang datang berjumpa saya dan mengundang untuk berkolaborasi. Tapi, semua itu masih lagi di dalam perancangan,” ujar Ella yang kagum dengan kulit album terbarunya.

Album baru

Ella kini hadir dengan bingkisan baru untuk menyemarakkan lagi dunia seni tanah air. Walaupun hanya menampilkan album kompilasi, buah tangan barunya ini diyakini mampu mengubat kerinduan di hati para peminatnya.

“Album kompilasi ini saya anggap sebagai ‘teaser’ buat peminat sebelum muncul dengan album penuh terbaru tidak lama lagi.

“Kali ini saya minta khidmat Amir untuk membantu dari segi proses pembikinan album baru. Mungkin, satu atau dua lagu adalah ciptaan saya sendiri,”terang Ella yang mengakui kekuatan keserasian dengan komposer Amir.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan