7/08/2009

Liyana Jasmay tak patut menyanyi?

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : JEFFRI IRAN


GADIS berusia 21 tahun ini ternyata belum puas menyumbangkan bakatnya di dalam industri seni tempatan.

Bukan saja handal sebagai pelakon remaja popular, pemilik nama Liyana Jasmay ini juga mahu membuktikan dirinya boleh menghiburkan peminat dari sisi lain iaitu sebagai penyanyi.

Namun, percubaannya menerusi album single hasil karya komposer Ajai, menerima pelbagai tindak balas di kalangan peminat.

Ada yang suka, tidak kurang juga yang tidak suka mendengar lantunan vokalnya yang dikatakan tiada kredibiliti yang sesuai sebagai penyanyi.

Lebih sinis dengan cakap-cakap belakang yang mengatakan dia mampu mempunyai album kerana lahir daripada keluarga berada.

HAI bertemu Liyana Jasmay yang dikenali sebagai LJ oleh teman-teman rapat, semasa membuat liputan rakaman klip video single pertamanya, Aku Tak Percaya Cinta di Background Studio, Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia Malaysia, Cyberjaya, baru-baru ini.

“Saya tak kisah apa orang nak kata. Saya tak boleh nak paksa mereka terima dan terus suka pada lagu-lagu saya.

“Tapi, adakalanya saya pelik dengan mentaliti orang kita. Mereka susah nak terima apabila seorang pelakon terjun ke bidang nyanyian. Ada saja kritikan dan tohmahan yang dilemparkan.

“Walau bagaimanapun, saya tidak mahu cepat melatah. Segala kritikan dan cemuhan saya terima sebagai satu cabaran.

“Sebagai seorang penghibur, saya perlu perbetulkan diri agar menjadi lebih baik dan berusaha memberikan yang terbaik buat peminat.

“Album sulung ini dihasilkan atas sebab minat yang mendalam pada muzik.

“Bukan kerana keluarga saya berada, lalu saya menggunakan kesempatan itu untuk bergelar penyanyi. Itu semua hanya kebetulan dan ini mungkin sudah rezeki saya untuk lebih aktif dalam bidang ini,” jelas Liyana.

Seronok

Klip video single pertamanya, terbitan The Media Hustler Sdn. Bhd. dibawah arahan Ghaz Abu Bakar, merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Ini adalah pengalaman pertama saya merakamkan klip video. Dalam filem atau drama, kita perlu membawa karakter yang berbeza daripada diri sendiri.

“Tetapi, dalam klip video ini, saya harus membawakan watak diri saya sendiri. Rasa seronok sangat dan tidak sabar untuk membuat klip video lagu yang kedua nanti.

“Saya memilih Ghaz sebagai pengarah klip video ini kerana dia merupakan seorang pengarah yang berbakat. Dia mempunyai idea yang sangat bagus dan segar.

“Bagi saya, seorang pengarah yang bagus bermula dengan mengarah klip video seperti Ghaz. Mengarah klip video memerlukan kreativiti dan idea yang tinggi kerana perlu memuatkan semua jalan cerita dalam sebuah video berdurasi selama empat minit saja,” cerita Liyana tentang klip video yang menalan belanja sekitar RM17,000.

Band iringan

Uniknya gadis ceria ini berbanding penyanyi remaja lain, kerana dia akan tampil diiringi oleh sebuah band setiap kali mengadakan persembahan.

Pemuzik-pemuzik yang sentiasa bersama memantapkan persembahan Liyana ialah AG (Hujan), Dugong, Kudut, Ully dan Ari.

“Lagu-lagu saya memerlukan banyak bunyi alat muzik dan rasa tidak enak jika saya membuat persembahan tanpa iringan band.

“Saya memilih konsep teen pop rock dan saya mahu dilihat sebagai seorang penyanyi yang punya band sendiri.

“Sebab itu, saya memilih pemuzik-pemuzik berbakat besar ini untuk mengiringi setiap persembahan saya agar peminat dapat menghayati muzik saya secara live.

“Tetapi, semuanya bergantung kepada show. Jika keadaan tidak mengizinkan, saya akan menggunakan khidmat seorang gitaris saja,” ujar Liyana yang sentiasa ceria sewaktu penggambaran klip video dijalankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan