7/08/2009

Mejar Faiz belum temui tarikh kahwin

OLEH: WAHIDA OTHMAN

ADA sumber mengatakan Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed sudah pun merangka persiapan perkahwinan dengan personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zain.

Namun, selagi tidak dinyatakan sendiri dari mulut empunya badan, maka segala sumber itu sukar dipercayai.

Walau bagaimanapun, ketika bertemunya, idola anak-anak muda ini masih lagi mengelak untuk bercerita perkara sebenar. Walaupun diasak dengan pelbagai soalan, dia tetap tidak mahu bercerita tentang gosip yang tersebar.

“Bila tiba masa yang sesuai, saya akan beritahu. Sekarang, saya masih belum boleh beritahu kerana ia melibatkan banyak pihak.

“Banyak faktor perlu diambil kira. Saya ada komitmen yang perlu difikirkan, begitu juga dia.

“Saya tak mahu ada masalah lain akan timbul, kerana kami terpaksa melalui banyak peringkat untuk sampai ke satu tahap yang selesa.

“Kami masih belum ada tarikh kahwin, jadi saya tak mahu cerita apa-apa dahulu.

“Sebab itulah, saya belum terfikir tentang impian perkahwinan. Bagi saya, cukuplah dengan mengadakan majlis yang sederhana dan menepati kehendak kedua-dua belah keluarga,” jelasnya.

Keserasian

Mengenai hubungan dengan Nurul Syuhada, Mejar Faiz mengakui ada keserasian.

“Serasi itu tidak bermakna kami banyak persamaan. Tapi kami bersedia untuk saling memahami.

“Dalam erti kata lain, kami dah boleh terima kekurangan dan kelebihan diri masing-masing. Kita perlu mengenali hati budi seseorang terlebih dahulu, dan tidak boleh hanya menilai dari sudut luaran sahaja,” terang angkasawan kacak ini.

Nasihat melalui puisi


Mejar Faiz ditemui HAI sewaktu majlis Malam Puisi Kumpulan Utusan di Istana Budaya pada 12 Jun lalu. Katanya kini sedang mendalami bidang seni.

“Ini kali ketiga saya membaca puisi di hadapan orang ramai. Sejak kali pertama membaca puisi di majlis Yayasan Nur Yatim, terus berputik minat untuk mendalaminya.

“Semasa zaman persekolahan, saya langsung tak terlibat dengan aktiviti kesenian, kerana hanya meminati sains.

“Sekarang, baru saya sedar yang kita boleh menasihati seseorang hanya melalui sebuah puisi,” luah Mejar Faiz yang sentiasa murah dengan senyuman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan