7/08/2009

CLOSE UP : PASHA


SEWAKTU nama Pasha Abdul Rahim disebut oleh Rosyam Nor untuk menggalas tanggungjawab mengendalikan segmen Kisah Pilih Kasih, ramai tertanya-tanya siapakah gadis itu?


Biarpun baru mengacara, namun kredibilitinya dilihat tidak kekok, malah bagaikan sudah biasa beraksi di depan kamera.

Pasha menjadi pilihan penerbit dari syarikat Suhan Movies & Trading itu untuk memberi informasi kepada khalayak di dalam salah satu segmen program realiti lakonan, Pilih Kasih.

Wajah manis Pasha dapat dilihat di TV2 pada setiap hari Isnin hingga Khamis. Siapakah Pasha?

“Walaupun menimba ilmu di dalam jurusan pengurusan maklumat, minat saya cenderung pada dunia pengacaraan. Di UiTM, saya kerap jadi pengacara untuk majlis penyampaian anugerah, majlis jamuan makan malam, festival dan macam-macam lagi.

“Saya juga aktif menyertai pertandingan debat di dalam Bahasa Inggeris. Setelah selesai pengajian, saya selalu cari peluang untuk cuba nasib sebagai pengacara.

“Sudah rezeki saya di dalam bidang pengacaraan. Keluarga pula tidak menghalang,” kata Pasha.

Berhenti kerja

Pasha mengakui rajin mengintai peluang dengan menghantar profil untuk uji bakat.

“Saya akhirnya dipanggil oleh Adi Shamsul untuk uji bakat pengacara program baru menerusi syarikatnya White Wizart yang bekerjasama dengan Rosyam, menerbitkan Pilih Kasih.

“Walaupun ramai yang hadir semasa sesi uji bakat itu, saya tak takut kerana sekadar mencuba nasib. Ada di kalangan mereka sudah dikenali dan dilihat berpotensi untuk dipilih.

“Nasib menyebelahi saya. Pihak penerbitan meminta saya memberikan komitmen sepenuhnya sebagai pengacara untuk program ini dan saya harus berhenti kerja.

“Peluang ini sudah lama dinantikan dan susah untuk ditolak begitu saja. Saya sedar akan risiko yang dihadapi jikalau tiada tawaran lain selepas tamat program ini.

“Jadi, kalau habis setakat ini saja karier sebagai pengacara, saya terima dengan hati terbuka. Tapi kalau boleh, saya memang mahu teruskan karier di dalam seni.

“Sebab itulah, saya sentiasa berikan yang terbaik untuk tatapan penonton semasa mengendalikan program Kisah Pilih Kasih,”jelas Pasha yang mahu fokus pada pengacaraan sebelum mencuba bidang lain.

Penyampai radio

Gadis lincah ini mendedahkan rahsia yang dipendamnya. Kerana terlalu meminati karier yang memerlukannya banyak bercakap, Pasha pernah mencuba nasib sebagai penyampai radio dengan sebuah stesen radio popular.

“Hampir sebulan jugalah saya berada di stesen itu untuk menjalani latihan. Bagaimanapun, latihan saya terhenti separuh jalan kerana berlaku pertukaran pengurusan di stesen radio itu.

“Saya tak kecewa kerana anggap belum ada rezeki dan masanya belum sampai. Ilmu yang diperolehi itu saya simpan dan jika dipanggil untuk bekerja dengan stesen radio pada bila-bila masa, saya boleh gunakannya.

“Buat masa ini, saya tak fikirkan tentang tawaran lain selain daripada Kisah Pilih Kasih. Semakin lama kendalikan program ini, saya semakin serasi dan faham apa yang perlu dilakukan.

“Saya lebih suka kalau produser atau pengarah menegur kelemahan saya kerana dari situlah saya belajar memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri.

“Apa yang anda saksikan dalam program itu adalah diri saya sebenar, biarpun ada yang mengatakan kononnya, saya cuba tiru gaya pengacaraan Sarimah Ibrahim.

“Perbandingan memang tak dapat dielakkan. Saya ambil positif setiap teguran yang dilemparkan,” ujar Pasha.

Nama penuh: Pasha Abdul Rahim
Tarikh Lahir:1 Disember 1987
Asal:Kuala Lumpur
Berat:53 Kilogram
Tinggi: 5 Kaki 4 Inci
Zodiak: Sagitarius
Bilangan dalam keluarga: Anak bongsu daripada dua adik- beradik
Pendidikan: Diploma Pengurusan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. (UiTM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan