7/08/2009

Marsha ratu gosip?

OLEH: WAHIDA OTHMAN

BUKAN karier nyanyian atau lakonannya, tetapi gosip dengan cerita sensasi yang sering menjadi tajuk utama akhbar dan majalah mengenai Marsha Milan Londoh.

Bermula dengan kisah percintaannya dengan bintang AF3, Kefli yang tidak kesampaian, sehinggalah dikaitkan sebagai punca naib juara AF7, Aril tersingkir pada konsert minggu ketujuh.

Gosip yang lebih dahsyat, dia dituduh pernah menggugurkan kandungan.

Gosip terkini, gadis dari Tamparuli, Sabah ini digosipkan pula dengan dua nama popular dalam industri seni iaitu Andy, pemain dram kumpulan Estranged dan aktor kacak, Hans Isaac.

Gosip yang melambak, membuatkan segelintir pihak menuding jari kepadanya sebagai ‘ratu gosip’.

“Semua ini kebetulan saja. Saya sendiri tak faham macam mana boleh timbul gosip ini. Saya tak pernah keluar berdua dengan mereka. Kami berjumpa kalau berada dalam satu majlis yang sama.

“Gosip dengan Andy timbul sewaktu kami sama-sama di post party Anugerah Bintang Popular. Waktu itu, saya duduk berbual dengan kawan baik saya, Rich (vokalis Estranged).

“Kebetulan, Andy duduk di sebelah saya. Jadi, bila ada orang yang nampak, terus buat spekulasi kononnya kami bercinta.

“Tentang Hans Isaac, memang saya tak bercinta dengan dia. Seperti Andy, saya hanya jumpa Hans jika berada dalam majlis yang sama. Kelakar juga, sebab dalam cerita gosip itu, kononnya disampaikan oleh kawan baik saya.

“Nampak sangat sumber itu menipu, sebab kalau yang tukang sampaikan cerita itu adalah kawan baik saya, dia mesti tahu hal sebenar bahawa saya memang tiada apa-apa hubungan dengan Hans.

“Saya pening nak jelaskan pada orang ramai bahawa semua gosip itu tidak berlaku. Bila saya diam, orang ingat gosip itu betul,” terang Marsha.

Kecewa

Marsha mengakui tidak senang apabila lebih popular dengan gosip berbanding karier.

“Saya kecewa dan tertekan sebab orang ramai asyik tanya hal peribadi. Banyak hal peribadi saya mahu diselongkar.

“Seolah-olah orang hanya nak tahu tentang kehidupan peribadi berbanding apa yang saya sumbangkan dalam industri ini.

“Sampai satu tahap, saya semakin tertekan dan rasa malas nak komen tentang gosip-gosip tersebut kerana khuatir ia berpanjangan.

“Orang hanya melihat dengan mata kasar dan menilai dari segi luaran,” luah Marsha.

Serik

Walaupun banyak kali digosipkan bercinta, namun Marsha mengakui masih belum bersedia untuk kembali mempunyai kekasih.

“Serik itu memanglah ada. Siapa yang tak kecewa bila hubungan cinta putus di tengah jalan.

“Sekarang saya solo. Saya bukan jenis suka berahsia... apabila saya cakap tiada kekasih, itu bukan cerita tipu.

“Saya tidak memilih, tapi mungkin belum sampai masanya untuk kembali bercinta. Saya mahu tumpukan perhatian pada pembangunan karier,” ujarnya.

Madu

Bertahun sudah dia menamatkan sesi pembelajarannya di Akademi Fantasia musim ketiga, namun sehingga kini dia belum tampil dengan album sendiri.

“Sekarang saya sudah pun merakamkan single terbaru berjudul Yang Terbaik.

“Untuk album sulung itu, saya dah siapkan sebanyak empat buah lagu, dan ia dijangka berada di pasaran dalam tahun ini juga. Inilah album yang sudah lama saya nantikan,” luah Marsha yang sibuk berada di lokasi penggambaran filem 4 Madu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan