7/08/2009

APA KES? - Ayu minum arak, lupa diri?

Foto : Mohd. Shariful Hafizal

APALAGI yang tak kena pada gadis genit kelahiran Putatan, Sabah ini? Saban hari ada saja cerita-cerita kurang enak tentang dirinya.

Lupa diri, terkena kejutan budaya, minum arak sampai mabuk dan mengganggu orang ramai, berpeleseran di kelab malam, tak pandai berkomunikasi, salah guna wang kemenangan, dan macam-macam lagilah keburukan dilemparkan pada pemilik nama Norayu Damit,18.

Namun, gadis itu jarang benar bersuara untuk membela diri. Tak pasti, adakah segala tuduhan itu benar, atau sengaja direka oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan namanya.

Ikuti penjelasan Ayu kepada WAHIDA OTHMAN:

Kedengaran teruk sangat kes itu...

Bila baca gosip itu, saya tahu ia tentang diri saya. Saya akui, ada masanya keluar bersama kawan-kawan, dan saya juga mengaku pernah mengunjungi kelab-kelab malam.

Kami ke sana hanya untuk berhibur, dan sehingga ke saat ini, saya tak pernah mabuk dan mengganggu orang lain. Saya tahu, selain nama saya dan keluarga, saya juga kena menjaga nama baik syarikat rakaman, Monkey Bone.

Macam terkena kejutan budaya?

Semua orang tuduh saya begitu. Tapi, jika mereka kenal saya sebelum ini, mereka tahu inilah diri saya sebelum dan selepas menjadi artis.

Bila saya ke kelab malam, orang kata saya liar. Padahal, sebelum menjadi artis rakaman lagi, saya memang sudah pun bekerja di kelab malam. Bezanya dulu saya di Sabah, sekarang saya di Kuala Lumpur.

Saya masih Ayu yang dulu. Jika saya pulang ke Sabah, saya tak pernah menyombong. Bila kawan-kawan ajak keluar, sekiranya ada masa saya tidak menolak. Saya bukan diva... saya hanya penyanyi biasa. Jadi, mana mungkin saya terkena kejutan budaya.

Lambat keluar album?

Saya masih baru. Ada banyak perkara yang perlu saya pelajari, sebab bukan mudah nak merakam lagu. Untuk album Inspirasi ini pun, satu lagu saya ambil masa hampir dua minggu untuk merakamkannya. Itu yang membuatkan album ini lambat keluar.

Benarkah salah gunakan wang kemenangan OIAM2 hingga album lambat keluar?

Duit RM1 juta dulu telah pun diasingkan. Separuh untuk album saya dan separuh lagi untuk kegunaan saya sendiri.

Saya tak mungkin gunakan duit itu untuk pembikinan album ini sebab semuanya diuruskan oleh syarikat rakaman.

Berfoya-foya dengan wang kemenangan?

Setiap duit yang saya keluarkan adalah atas persetujuan emak saya. Apa yang saya lakukan dan bagaimana saya gunakan duit itu, semuanya di atas pemantauan emak. Saya tak boleh keluarkan duit itu sesuka hati sebab duit itu atas dua nama, iaitu nama saya dan emak.

Saya tahu ramai yang kata saya telah salah gunakan duit itu. Macam-macam orang kata, tapi saya tak pernah ambil peduli. Kalau saya terangkan pun, orang takkan faham, jadi lebih baik diamkan saja.

Tak suka layan wartawan?

Bukan saya tak layan, tapi mungkin saya ada masalah komunikasi sedikit. Sekarang, saya ikuti semula kelas komunikasi yang disediakan oleh pihak Monkey Bone, bagi membolehkan saya berkomunikasi dengan baik di depan wartawan dan orang ramai.

Dulu, kenapa hentikan kelas komunikasi?

Sebelum ini, saya fikir ia sudah mencukupi. Tapi bila ada yang cakap saya tidak tahu menghormati wartawan dan tidak pandai menjawab soalan, barulah saya sedar ia masih belum berkesan lagi.

Saya juga berterima kasih pada wartawan yang banyak menegur demi kebaikan saya.

Ada pihak tak suka Ayu?

Tak tahulah. Biarlah apa orang nak kata tentang saya, itu mulut mereka. Susah nak halang orang daripada berhenti memburukkan orang lain. Kalau saya layan, pasti makin menjadi-jadi. Jadi biarlah mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan