7/08/2009

Kereta kena pecah punca gosip cinta


OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN


PELAKON Hafiz Nafiah dan penyanyi Heliza sebelum ini bersungguh-sungguh menafikan gosip cinta, sehingga khabar itu senyap seketika.

Gosip tersebut kembali hangat diperkatakan setelah berlaku penyebaran gambar mereka di Internet. Kemesraan di dalam gambar tersebut membuatkan beberapa pihak mengandaikan mereka sengaja menyembunyikan hakikat sebenar percintaan.

Ketika dihubungi HAI, pelakon filem Dunia Baru The Movie itu tidak melatah. Sambil mengaku semuanya berpunca kerana kesilapan sendiri, Hafiz menjelaskan perkara sebenar kepada HAI.

“Cermin kereta saya di tempat duduk belakang kena pecah pada pukul 12.30 malam pada 6 Jun lalu. Akibatnya, saya hilang dompet, kamera digital, wang tunai, telefon bimbit dan pelbagai barang penting lain.

“Kejadian itu berlaku di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah restoran popular di Wangsa Maju. Ketika itu saya berjumpa dengan seorang kawan untuk berbincang fasal album saya.

“Saya sudah pun buat laporan polis tentang kejadian itu dan terpaksa membuat semula semua dokumen penting,” jelas Hafiz yang mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

Minta maaf pada Heliza

Hafiz sedar kejadian tersebut beri kesan hebat kerana sudah tentu gambar-gambar peribadi di dalam kamera digital itu, dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah fikir dan pasrah dengan apa yang akan berlaku. Kalau saya sengaja nak buat kontroversi, takkan pula saya buat laporan polis.

“Tak tahulah nak cakap macam mana lagi sebab semuanya sudah berlaku. Memanglah kami rapat sebagai kawan dan hobi masing-masing suka bergambar. Saya anggap Heliza sebagai adik, tak lebih daripada itu.

“Kebetulan pula kami serasi, itulah punca kami boleh berkawan rapat. Saya hairan juga kerana apabila keluar dengan perempuan saja, terus saya dikaitkan bercinta. Memang kadangkala gosip begini membuatkan saya tertekan.

“Perkara (kejadian pecah kereta) itu pun saya dah maklumkan awal-awal pada Heliza. Saya minta maaf pada dia dan Heliza faham.

“Kalau difikirkan, bergambar itu tak salah pun. Takkanlah kerana itu orang nak buat gosip kononnya kami sengaja sembunyikan cinta,” jelas Hafiz sambil tidak menafikan dia menyukai gadis bertudung.

Heliza enggan sentuh soal gambar

Bertanyakan hal yang sama, Heliza tidak mahu mengulas panjang. Dia kini menjalani latihan praktikal dengan mengajar selama tiga bulan sebelum menyambung semula semester akhir jurusan Pendidikan Sains Major Bio Minor Kimia, Universiti Malaysia Sabah.

“Saya lebih suka berdiam diri. Kalau ulas lebih-lebih nanti akan jadi tajuk utama dan sensasi pula. Hubungan saya dengan Hafiz samalah macam saya berkawan dengan Awal, Jehan dan ramai lagi.

“Kami kenal disebabkan ada kerjasama dalam kerja. Soal perasaan tak pernah timbul pun. Tak ada apa-apa yang disembunyikan. Noktah! Tak tahulah siapa yang sanggup sebarkan gambar itu kepada semua orang.

“Gambar itu bukan apa sangat, tapi saya bimbang kalau dilihat oleh pelajar-pelajar di sini. Nanti, apa pula yang mereka fikirkan terhadap saya. Itulah yang saya mahu elakkan. Seingat saya, gambar itu diambil oleh segelintir ahli kelab peminat saya.

“Saya dan Hafiz tidaklah begitu rapat. Tak seronoklah pergi ke mana-mana, orang akan cakap perkara ini. Saya memang tak selesa,” terang Heliza.

Jelaskan pada keluarga

Menangani masalah tersebut, Heliza beruntung kerana mendapat sokongan keluarga.

“Keluarga saya tahu semuanya kerana saya selalu berkongsi dengan mereka. Tambah pula mereka tahu saya tak pernah keluar seorang diri bersama lelaki.

“Itulah sebabnya saya tidak gentar berdepan gosip sebegini. Saya berani bersumpah, tak ada apa-apa perasaan terhadap Hafiz. Saya pun tak tahu bila masanya mahu bercinta.

“Kalau ada pihak yang menggembar- gemburkan cerita, itu memang karut. Setakat ini tak pernah langsung saya jatuh hati atau tangkap cinta dengan dia.

“Jadual pengajian saya sangat ketat. Masa yang ada pun sangat terhad. Di dalam seni, saya perlu pandai bawa diri. Apabila kawan artis ajak bergambar, takkan saya nak tolak. Kalau tak nak nanti, timbul macam-macam andaian.

“Kalau orang nak pertikai aksi kami bergambar, itu perkara kecil. Takkanlah dalam gambar nak buat pose biasa saja. Kadangkala perlu juga buat kelainan untuk suka-suka,” ujar gadis berusia 23 tahun ini yang mengaku tidak larat lagi memberi komen terhadap isu ini.

Memandangkan komitmen yang tinggi terhadap latihan praktikalnya sebagai guru, anak kedua daripada empat beradik ini mahu melupakan seketika bidang seni. Dia juga terpaksa menolak tawaran untuk mengacara sebuah rancangan berkonsep perubatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan