7/08/2009

Dira teruk dipukul suami?


OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:ZAKARIA IDRIS


RUMAH TANGGA Dira Abu Zahar, 25, pelakon drama popular Rona Roni Makaroni, Merah Putih dan 100 Hari Jadi, yang dilihat harmoni kini khabarnya goyah gara-gara sikap cemburu suaminya, Ash, vokalis kumpulan BAU.

Pelakon yang sedang meningkat naik itu khabarnya dikongkong oleh sang suami. Lebih perit lagi apabila ada sumber mengatakan tubuhnya penuh dengan kesan deraan fizikal.

Benarkah Dira yang dilihat happy go lucky itu menyembunyikan derita hati akibat teruk dipukul suami?

“Suami saya pukul dan mengongkong? Mana ada! Memanglah dalam setiap rumah tangga, suami isteri ada masalah sendiri. Tapi itu tidaklah bermaksud saya tak boleh bekerja untuk mencari duit sendiri.

“Suami beri kebebasan sepenuhnya kerana kami saling mempercayai. Tak pernah pun ada masalah besar tentang itu. Janganlah diperbesarkan isu yang tiada. Kalau dia cemburu sangat, tentulah dia sekat saya daripada terlibat dalam seni sejak awal lagi.

“Ketika kenal dia pun, saya memang berada dalam seni kerana uruskan syarikat pengurusan acara milik keluarga, Irah Arts & Events Management. Isu yang ditimbulkan ini terlalu remeh buat saya.

“Dia juga seorang artis, jadi sudah faham. Kalau ada sebarang rasa tak puas hati, kami akan duduk berbincang.

“Tipulah kalau saya katakan kami tak pernah bergaduh. Bergaduh macam mana sekalipun, kami cuba selesaikan masalah itu dengan baik... Tidaklah sampai buat benda mengarut,” jelas Dira.

Dera

Dira tergelak besar apabila mendengar pertanyaan HAI apakah benar dia kena dera?.

“Perkara itu tak betul sama sekali. Badan saya calar-balar kerana saya seorang yang lasak. Saya suka menunggang motosikal berkuasa besar dan saya memiliki motosikal Sportster jenama Harley Davidson.

“Kalau ada kelapangan, saya dan abang akan berkonvoi ke mana-mana. Cuma sekarang ini hobi tersebut dihentikan seketika kerana sibuk dengan aktiviti berlakon. Masa banyak dihabiskan di lokasi penggambaran.

“Kalau betullah saya kena dera, takkanlah saya bodoh sangat nak biarkan saja tanpa mengambil sebarang tindakan.

“Sebelum ini, saya hanya baca dan dengar cerita orang tentang artis yang kena tempias gosip. Sekarang, dah kena pada diri sendiri, barulah saya tahu bagaimana rasanya menjadi artis yang dikenali ramai.

“Sama macam orang politik yang sering berhadapan dengan masalah besar, saya dah sedia terimanya dengan bekalan mental yang kuat. Saya terima semuanya dengan hati terbuka dan tidak marah pada pihak yang menyebarkannya. Tak perlu pun nak melatah,” luahnya.

Keluar dengan lelaki lain

Mendengar cara Dira menangani situasi itu, memang mengagumkan. Dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan oleh khalayak. Malah dia menghargai pihak yang cuba membawa kisahnya kepada media.

“Apabila ada orang sibuk korek rahsia saya, itu tandanya mereka minat saya. Sama ada perkara itu positif atau negatif, saya kagum dengan kesungguhan mereka mencari dari mana datangnya sumber itu.

“Secara tak langsung saya harus selalu beringat dan pandai bawa diri serta tidak terlibat dengan benda-benda merepek. Saya tak perlu takut pun kerana perkara itu tak betul.

“Sebenarnya, boleh dikatakan hidup saya bosan juga kerana terikat dengan kerja. Kalau tak berlakon, saya akan uruskan syarikat sendiri dengan berjumpa pelanggan atau rakan kongsi.

“Jangan pula ada yang buat gosip kalau nampak saya makan atau keluar berdua dengan lelaki lain kerana semuanya itu adalah untuk urusan kerja.

“Saya sedar yang saya masih muda. Tapi saya sudah matang dengan pengalaman hidup,” terang Dira.

Dira juga merancang menganjurkan gig kumpulan indie yang dinamakan Ara Music Festival Volume 2, tidak lama lagi. Projek yang sama telah dilaksanakan pada tahun lalu dan mendapat sambutan yang hangat.

Mereka yang ingin mengetahui keterangan lanjut atau berinteraksi dengan Dira boleh melayari laman blognya di www.blogdira.blogspot.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan