7/14/2009

“Dia memang kekasih saya, so what?”- Juliana Evans

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: NOOR AZLINA JAAFAR


MAJALAH HAI keluaran 7 Julai ada menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan seorang lelaki mencium seorang wanita.

Pasangan di dalam gambar itu dilihat menyerupai pelakon Juliana Evans dan vokalis Bunkface, Sam. Mereka pula dikatakan sedang hangat bercinta.

Ikuti penjelasan Juliana Evans:

“Itu gambar lama. Sebenarnya, tiada apa-apa berlaku cuma acah-acah (gurau-gurau) sahaja. Gambar itu sebenarnya adalah gambar peribadi saya.

“Tetapi, bila ada orang lain yang terjumpa, mereka cuba sebarkannya dengan niat untuk mengheboh-hebohkan pada pihak media.

“Mula-mula, saya terkejut juga bila ada yang bertanya tentang gambar itu. Pada saya, benda itu bukanlah perkara besar, tak ada apa yang perlu dikecohkan. Dia memang kekasih saya, so what?

“Saya sebenarnya tak suka bercerita tentang hal peribadi. Siapa yang menyebarkannya, dialah yang berdosa kerana mereka yang memulakan fitnah,” tegas Juliana yang mengakui sedang bercinta dengan Sam.

Ikut ke Jakarta

Kembara Bunkface ke Jakarta untuk sesi pembikinan klip-video, baru-baru ini turut disertai oleh Juliana.

“Memang saya ke sana pada hari yang sama dengan mereka, tetapi bukan di dalam penerbangan yang sama.

“Mereka ke Jakarta untuk pembikinan klip-video, sedangkan saya pula ke sana untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya. Saya ke sana bersama keluarga.

“Saya akui saya ada berjumpa Sam di sana, tapi bukanlah mengikuti keseluruhan aktiviti mereka. Hari pertama di sana, saya sibuk di rumah sepupu.

“Keluarga saya tahu, dan mereka tak kisah. Perkara yang betul, jadi mengapa perlu mereka bimbang. Hubungan kami baru tiga bulan terjalin. Jadi kami belum berfikir ke arah hubungan yang lebih jauh,” luah Juliana.

Tak kenal

Pelakon drama bersiri Ghost 2 yang sedang meneruskan pengajian dalam jurusan Komunikasi Massa di Kolej Sunway, Kuala Lumpur, mengakui tidak mempunyai masalah ketika bergaul bersama rakan-rakan di kolej.

“Kebanyakan penuntut di kolej itu adalah pelajar dari luar negara, jadi mereka tidak begitu mengenali saya.

“Hanya ada seorang dua saja yang mengenali saya sebagai artis, kerana mereka sudah lama tinggal di Malaysia.

“Mungkin kerana itu, saya suka berkawan dengan mereka, kerana mereka benar-benar jujur mahu berkawan dengan saya,” ujar Juliana yang sedang berada di lokasi penggambaran filem Adik Manja Return.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan