7/15/2009

Jamal Abdillah dicintai penyanyi baru?

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:FATAH SULAIMAN

SEJAK memulakan karier nyanyian pada tahun 1979 sehinggalah sekarang, Jamal Abdillah sinonim dengan kontroversi. Pujian dan kutukan bagaikan menjadi asam garam dan sebati dengan lelaki berusia 50 tahun ini.

Justeru, saat bertemunya pada sidang media konsert Jamal...Kembara Seniman di Istana Budaya pada 30 Jun lalu, sudah tentulah soalan panas tidak lekang ditanya oleh wakil media.

Maklumlah, di kala sedang sibuk dengan persiapan konsert yang bakal dipentaskan daripada 5 hingga 9 Ogos depan, pelantun lagu malar segar Kekasih Awal dan Akhir ini masih dibelenggu dengan kes mahkamah yang belum berkesudahan.

Jamal masih perlu berdepan dengan kes pengesahan cerai yang disebut semula pada 3 Julai di Mahkamah Rendah Shah Alam sementara kes mengugut isterinya, Fatimatuzahra Samat (Ima) akan disebut pada 28 Julai ini di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Walaupun banyak perkara negatif saya lakukan, tapi bersyukur kepada Allah kerana beri saya peluang untuk berada di IB. Kes mahkamah tidak mengganggu tumpuan saya terhadap konsert ini kerana saya sentiasa redha dengan apa yang berlaku.

“Apa saja yang berlaku saya bersedia terima akibatnya. Saya buat kesilapan dengan mengambil dadah dan pernah bercerai, jadi terima sajalah hakikat itu. Bila redha, tekanan ini pasti akan berkurangan.

“Konsert saya ini memang tiada penaja. Memanglah rasa terkilan tapi nak buat macam mana kerana saya pernah lakukan perkara yang orang tak suka. Saya faham kenapa orang tak ambil saya jadi duta produk.

“Saya sedar, pernah buat perkara kontroversi. Saya kena terima semua ini dengan hati terbuka,” luahnya secara jujur kepada pihak media.

Hangat bercinta

Walaupun di mata umum seperti ternampak ada kekeruhan hubungan dengan Ima, Jamal menegaskan segala-galanya berjalan lancar. Malah, Jamal akui tetap berbaik dengan Ima demi masa depan anak mereka Ahmad Zaki Yamani, 2.

“Saya tak bergaduh dengan Ima. Tak perlulah nak bergaduh kerana kami ada anak yang perlu dibesarkan bersama-sama. Kami baik demi masa depan anak. Apabila bercerita tentang anak, semuanya akan okey,” jelasnya yang cuba mengelak perkara itu diperkatakan lagi.

Melihatkan moodnya yang agak ceria pada petang itu, HAI cuba mengusik dengan pertanyaan, benarkah dia sedang hangat bercinta dengan seorang penyanyi wanita yang baru bertapak di dalam seni?

Apatah lagi, penyanyi baru itu sendiri yang menghebohkan perkara tersebut ketika bertemu wakil media.

“Saya memang kenal dia dan biasa jumpa ibu bapanya. Tapi tak adalah pula kami nak bercinta. Dia bukan cita rasa saya. Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri,” tegasnya berterus terang.

Jumpa peminat

Bercerita tentang album terbarunya Tak Hilang Cinta yang dikatakan kurang menyengat berbanding album terdahulu, Jamal tidak pula melenting.

“Saya dah buat yang terbaik, terpulanglah pada peminat untuk menerimanya. Saya tak boleh paksa orang dengar kerana cita rasa semua berbeza. Tapi saya mengakulah keadaan pasaran kurang baik sekarang. Saya akan sentiasa turun padang buat promosi album bertemu para peminat di seluruh negeri.

“Sejak jadi artis rakaman, inilah pertama kalinya saya turun padang jumpa peminat. Lagipun selama ini saya hanya buat persembahan di tempat yang eksklusif. Jadi orang kampung dan peminat di luar ibu kota, jarang dapat berjumpa saya secara dekat,” katanya.

Kembara Seniman


Jamal beruntung kerana konsert Jamal...Kembara Seniman yang diterbitkan oleh syarikatnya Bintang Channel Sdn. Bhd. mendapat sokongan Kumpulan Utusan sebagai media rasmi dan Istana Budaya.

“Terima kasih kepada Kumpulan Utusan yang tak jemu-jemu menyokong dan beri ruang selama 30 tahun saya berada di dalam seni. Sebagai artis saya perlukan media untuk membantu perjalanan karier.

“Saya percaya dan yakin dengan kemampuan akhbar Utusan Malaysia yang mampu membantu dari segi promosi untuk melancarkan lagi perjalanan konsert ini.

“Bantuan daripada Kumpulan Utusan adalah rezeki kerana apabila ada pihak yang ingin membantu, tak ada sebab untuk saya menolaknya,” ujarnya.

Jamal memberitahu anggaran kos untuk konsert muzikal ini mencecah RM200 ribu.

Pelbagai segmen menarik akan ditampilkan menerusi lagu-lagu popularnya dan lakonan semula perjalanan hidupnya sejak kecil sehingga bergelar anak seni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan