7/14/2009

APA KES : YUNA


Yuna dah ‘besar kepala?’

SEHANGAT lagu Dan Sebenarnya, sehangat itulah juga nama pelantunnya Yunalis Zarai atau Yuna. Di sana sini orang bercakap tentang gadis berusia 23 tahun ini.

Baru popular, dah tunjuk besar kepala? Mungkin begitulah rungutan segelintir pihak yang tidak tahu hujung pangkal kes membabitkan bakal peguam muda itu.
Penyanyi wanita indie bertudung yang menjadi idola peminat dikatakan kononnya mula bersikap besar kepala dan tidak berdisiplin.

Anak tunggal ini juga dikhabarkan sukar bekerjasama dengan pihak media serta pernah mungkir janji di dalam beberapa sesi fotografi yang telah diaturkan.

Malah, lebih perit lagi ada kes timbul kononnya dia sanggup menipu mengatakan bapa saudaranya meninggal dunia untuk mengelak daripada fotografi kerana mahu menghadiri program di tempat lain.

Sudah tentulah khabar semacam ini amat mengejutkan kerana boleh merosakkan imej dan menjejaskan namanya yang sedang menuju puncak. Untuk lebih adil, HAI menghubungi Yuna bagi memberikannya peluang menjelaskan perkara sebenar.

Sewaktu dihubungi, Yuna sibuk di kedai dan berjanji mahu menghubungi penulis semula. Namun, terasa cuak juga kerana janji itu berlalu tanpa sebarang susulan. Namun pada keesokan harinya, Yuna melunaskan janji menghubungi HAI. Baca kenyataannya kepada RIDZUAN ABDUL RAHMAN:

Benarkah susah sangat mahu interview Yuna?


Sebenarnya saya bukan sengaja buat begitu. Saya dan sepupu dalam persiapan akhir membuka kedai pakaian. Itulah sebabnya saya tak dapat layan panggilan wartawan kerana terlalu fokus pada perkara ini.

Kedai yang diberi nama, IAMJETFUELshop, menjual semua jenis pakaian untuk remaja lelaki dan wanita. Boleh dikatakan ia pencapaian kedua saya selepas album. Itulah sebabnya saya mahu buat bersungguh-sungguh.

Bukan mahu mengelak daripada wartawan?


Tak adalah! Saya akan beri kerjasama sebaik mungkin kepada pihak wartawan kerana kita saling memerlukan di antara satu sama lain.

Kalau masa dan tarikh tidak sesuai untuk fotografi atau temu bual, saya akan cakap sejujur mungkin.

Saya sangat-sangat senang bekerja dengan semua orang tanpa mengira status dan kedudukan. Semua orang adalah kawan yang membantu populariti saya dalam seni.

Apa kes tentang tuduhan yang dilemparkan?

Saya bukanlah seperti yang disangkakan. Kalau saya tak boleh buat sesuatu perkara itu, saya akan cakap tak boleh buat. Kenapa pula saya nak berjanji kalau dah tahu dari awal yang saya tak boleh buat?

Terus-terang dikatakan, saya tak pernah buat perkara seperti yang dikatakan itu. Ada benda lain yang ditokok tambah oleh penyampai cerita kepada pihak media. Isu kematian bapa saudara yang ditulis itu, tidak betul.

Saya tak pernah bagi alasan pakcik meninggal dunia. Sebagai muslim, takkanlah saya nak cakap yang bukan-bukan. Saya digandingkan dengan Stacy dalam fotografi itu. Salah faham berlaku kerana yang meninggal ialah pakcik Stacy.

Ada dua cerita berbeza mengenai diri saya daripada dua akhbar yang dikeluarkan pada hari yang sama. Bagi saya, berlaku masalah komunikasi di antara mereka dan tidak melibatkan saya kerana saya sendiri tak tahu hujung pangkalnya.

Kesannya?

Keluarga pun terkejut dan bertanya, apa sebenarnya yang telah berlaku? Mereka turut terkena tempias dan dipandang serong.

Sanak saudara lain pun ada bertanya, siapa pula yang meninggal dan kenapa tak beritahu mereka. Saya kena terima semua itu walaupun perkara itu menjejaskan nama saya.

Bagaimana pula kes tak layan wartawan?

Saya sesekali tidak mahu kecilkan hati sesiapa. Saya memang sibuk sangat. Dua bulan lalu, saya perlu beri tumpuan pada peperiksaan di UiTM. Saya juga ada bisnes yang perlu dikendalikan.

Waktu wartawan itu hantar SMS, saya berada dalam dewan peperiksaan dan telefon bimbit dipegang oleh pengurus saya, Pa’an. Belum sempat saya balas SMS itu setelah selesai peperiksaan, wartawan itu dah hantar SMS marah-marah.

Pada saya, itu bukan perkara yang kelakar. Kalau nak tahu, SMS sentiasa masuk hingga kadangkala saya tak sempat balas. Apa pun, saya minta maaf pada wartawan itu dan anggap isu itu dah berlalu.

Saya juga terikat dengan proses rakaman album. Ia sangat penting kerana saya ini pemuzik. Saya perlu bersungguh-sungguh kerana mahu hasilkan karya yang berkualiti buat peminat.

Terguris hati dengan cerita-cerita negatif ini?

Adalah sedikit... Tapi normallah. Kerana sedari awal lagi, saya dah sedar isu begini pasti akan timbul. Tak ada artis yang tidak melaluinya. Walaupun baru, tapi saya sudah bersedia dari awal untuk mengharungi cabaran seperti ini.
Saya banyak belajar daripada kawan-kawan seperjuangan yang pernah melalui pengalaman seperti ini. Semuanya saya jadikan panduan untuk melayari dunia seni.

Kalau masih ada peminat yang pandang serong?

Saya akan lebih berhati-hati selepas ini. Tak dinafikan perkara seperti ini tidak dapat dielakkan. Saya rasa tak buat apa-apa kesalahan dan ia hanya salah faham sahaja. Apabila orang bertanya, saya jelaskan perkara sebenar untuk pertahankan diri.

Selama ini, saya tahu diri saya orang yang sangat simple. Orang suka ataupun tidak, okeylah. Kita ada banyak pilihan penyanyi. Lagipun saya tak boleh paksa semua orang untuk menyukai saya.

Walau apa pun yang berlaku, tumpuan saya tetap pada muzik. Saya faham senario dunia seni di negara kita yang sentiasa dilingkari gosip. Apa pun sekali lagi saya minta maaf kalau sesiapa terguris hati. Yang berlalu biarlah berlalu, jangan simpan di dalam hati.

Saya tak pernah rendahkan orang lain dan tetap menghormati walau siapa pun dia. Itu prinsip saja sejak dulu.

Kenapa tidak bernaung di bawah syarikat rakaman besar?

Memang banyak tawaran datang tapi saya tolak kerana belum bersedia. Saya selesa dengan muzik sekarang. Saya suka kebebasan berkarya. Saya takut tidak dapat penuhi harapan tinggi yang diletakkan oleh pemilik syarikat rakaman itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan