7/13/2009

APA KHABAR : Joanna & Co.

Joanna & Co. (dari kiri) Joanna, Farid, Kusha dan Ijam


Aku Pelangi popularkan Joanna & Co.

oleh : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
foto : koleksi Joanna & Co.

KATA pendapat penggiat seni tempatan, kebangkitan sekian banyak band indie, mampu mengatasi produk muzik Indonesia yang sudah lama bermaharajalela.

Sebab itulah, kita menyokong penuh kewujudan band-band indie serta generasi muda dunia muzik. Macam sokongan yang diberikan kepada satu lagi band indie, bernama Joanna & Co.

Band yang sedang cuba mendaki tangga populariti ini dianggotai oleh Kusha (bes), Ijam (gitar), Farid (dram) dan sekuntum bunga bernama Joanna Renisa (vokal).

Menerusi lagu Aku Pelangi, dengan begitu pantas mereka dikenali, lantaran konsep muzik yang dianggap unik.

Malah, lagu itu telah dipilih untuk dimuatkan di dalam drama bersiri 3 Janda dan juga bakal digunakan sebagai lagu tema untuk sebuah drama baru tidak lama lagi.

Ditanyakan perasaan berada di ambang populariti, band yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu memberitahu HAI, mereka sendiri tidak pernah menyangka hasil karya Joanna & Co. berjaya meraih tumpuan khalayak.

“Lagu Aku Pelangi merupakan antara lagu terakhir yang kami hasilkan. Untuk lagu ini, saya bertindak sebagai komposer manakala Joanna adalah penulis liriknya.

“Sebenarnya, ada pihak yang tidak setuju dengan lagu Aku Pelangi. Mereka kata lagu ini pelik dan tiada siapa yang mendengar lagu pelik seperti ini.

“Ada juga yang kata kami kena belajar menghasilkan lagu seperti yang ada dalam industri muzik kita agar dapat diterima nanti.

“Tetapi, saya dan Joanna yakin dengan lagu ini dan kami membuat keputusan bersama untuk menjadikan lagu ini sebagai single pertama Joanna & Co.

“Alhamdulillah, kami rasa amat bersyukur, malah terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat yang dapat menerima konsep baru yang kami bawakan.

“Pasti pihak yang sebelum ini kata lagu ini pelik akan menyesal dengan apa yang terkeluar dari mulut mereka,” kata Ijam.

Sugarcoated pop rock

Berbicara tentang album, Joanna & Co. kini sedang merangka persediaan untuk merakamkan album penuh yang akan diterbitkan menerusi label rakaman mereka sendiri iaitu Lutsinar Records.

“Sekarang, kami sudah kembali ke studio rakaman untuk persiapan merakamkan album penuh. Album itu nanti bakal diisi dengan satu lagu Inggeris dan tujuh lagu Melayu.

“Kami juga akan mengetengahkan konsep muzik baru yang kami gelar sebagai sugarcoated pop rock yang menampilkan lagu-lagu daripada genre pop rock yang comel seperti lagu Aku Pelangi.

“Sama seperti sebuah kedai ais krim yang menjual ais krim yang berbeza dari segi warna, rasa dan sebagainya, album Joanna & Co. juga akan mempunyai banyak perisa.

“Setiap lagu mempunyai kelainan dan perasaan yang berbeza apabila mendengarnya dan ini membezakan produk Joanna & Co. dengan produk band yang lain,” ujar Joanna pula.

Penampilan dalam filem Indonesia

Melihat lambakan band indie yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, Joanna & Co. tidak menganggap ia sebagai satu trend.

“Sebenarnya, kewujudan band-band indie di Malaysia sudah lama. Cuma, orang ramai mungkin tidak sedar kewujudan kami sebelum ini.

“Band Hujan telah membuka peluang kepada kami dan juga band indie lain untuk berani tampil mengembangkan lagi pengaruh muzik di arena muzik tempatan.

“Jadi soal trend mungkin tidak timbul kerana khalayak kini berfikiran lebih terbuka untuk menerima muzik kami.

“Akan tetapi, band-band yang muncul ini tidak patut bermain muzik hanya kerana ingin mengejar nama dan popularity semata-mata.

“Perkara seperti inilah yang akan membuatkan industri kita jatuh nanti,” cerita Kusha tentang bandnya yang pernah membuat penampilan istimewa dalam filem Indonesia berjudul May pada tahun 2007.

Bagi pembaca HAI yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut tentang kumpulan ini, layari laman MySpace di http://www.myspace.com/joannaco.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan