7/08/2009

APA KHABAR : FARLYANA


Farlyana ‘buah hati’ baru Julfekar


GADIS ini diperkenalkan oleh komposer popular, Julfekar sebagai anak didik terbarunya, semasa pertandingan Suara Karaoke HAI-Red Box ’09 di Plaza Pelangi pada 30 Mei lalu.

Namanya, Farlyana Mohamad, baru berusia 17 tahun. Farlyana boleh dianggap bertuah kerana langkah awalnya bergelar penyanyi agak mudah dan tidak sesulit sesetengah penyanyi lain.

Dengan kelebihan pada kekuatan vokal, gadis dari Johor Bahru ini bakal hadir di persada seni tanah air sebagai penyanyi pelapis.

Pertemuannya dengan Julfekar telah membuka peluang untuk bergelar artis rakaman Milleniuem Art Sdn. Bhd., milik komposer tersebut. HAI bertanya khabar Farlyana yang mengakui serba-serbi mentah tentang industri muzik.

“Saya bertemu dengan Julfekar ketika berusia 12 tahun semasa mengadakan persembahan di RTM. Ketika itu, dia minta saya menyanyi kerana katanya tertarik dengan vocal saya.

“Disebabkan faktor usia yang terlampau muda pada ketika itu, Julfekar minta saya berjumpanya setelah usia dewasa sedikit.

“Tetapi, selepas itu kami telah terputus hubungan sehinggalah saya menyertai pertandingan Bintang Idola ABP, baru-baru ini.

“Kebetulan, Julfekar adalah orang penting dalam pertandingan itu. Selepas pertandingan itu selesai, dia terus ‘melamar’ saya menjadi artis rakaman syarikat miliknya.

“Alhamdulillah. Saya rasa amat gembira dan seronok apabila impian untuk bergelar penyanyi akhirnya tercapai,” cerita anak bongsu daripada tiga adik-beradik perempuan ini.

Berani mencuba

Bergelar artis pada usia yang begitu muda, Farlyana tidak melihat tindakannya itu sebagai terlalu awal, tambahan pula bukan mudah untuk bergelar anak seni yang berjaya.

“Saya tidak pernah menjangkakan peluang datang secepat ini. Saya memang menyimpan impian jadi penyanyi sejak kecil.

“Kebetulan tawaran datang daripada komposer berpengalaman dan tidak mungkin saya tolak.

“Saya percaya dengan bakat yang Tuhan kurniakan. Apa salahnya saya mencuba. Kalau tidak berani mencuba, kita tidak akan tahu.

“Saya masih baru di dalam seni. Tidak banyak yang saya tahu tentang selok-belok dunia hiburan.

“Sekurang-kurangnya, dengan adanya bimbingan komposer berpengalaman seperti Julfekar, saya lebih yakin untuk mengatur langkah sebagai penyanyi,” kata Farlyana yang petah berbicara.

Berbakat besar

Pada saat ini, Farlyana hanya menunggu masa dan membilang hari untuk merasai sepenuhnya dunia penuh glamor apabila single pertamanya, Setulus Hati yang dihasilkan sepenuhnya oleh Julfekar bakal diputarkan di semua stesen radio tidak lama lagi.

Biarpun tidak sabar-sabar untuk merasai nikmat bergelar seorang penyanyi, jauh di sudut hati, Farlyana mengharapkan kemunculannya diterima baik oleh khalayak.

Bakat seninya sebelum ini pernah dilihat semasa mengganggotai kumpulan South Trio dalam pertandingan Gangstarz musim lalu.

Selain Farlyana, kumpulan itu turut diisi oleh kakaknya, Farhana yang merupakan salah seorang finalis Suara Karaoke HAI- Red Box ’09, bersama kakak sulung mereka, Farlina, juara lokasi pertama di Plaza Pelangi, Johor Bahru. Mereka tiga beradik memang berbakat besar dalam nyanyian.

“Saya sudah pun mengikat kontrak dengan Julfekar dan setakat ini, saya sudah merakamkan sebanyak tiga lagu.

“Insya-Allah, album sulung saya dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” ujar pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Johor Bahru, yang lahir pada tanggal 10 Februari 1993.

3 ulasan:

  1. good luck to lya..,
    hope dia dapat capai cita2x dia..
    :)

    BalasPadam
  2. HAi lya..,
    Gud luck ye.,
    dengan suare lya yg lantang tu confirm lya bole capai cite2x lya..,
    teruskan cite2x yaw~
    ..Zhyrenata DelRio..

    BalasPadam
  3. lya memang cantik gorgeous :)

    BalasPadam