7/08/2009

Riz 'kekasih' Alyah

OLEH: EMMA HASSAN
FOTO: MOHD. SHARIFUL HAFIZAL
LOKASI: RED BOX, THE GARDEN


ALYAH dan Riz ditemukan dalam lagu Kupinjam Satu Bintang. Orang yang bertanggungjawab menyatukan mereka ialah pencipta lagu tersebut, Ajai.

Tak kenal, maka tak cinta, begitu kata pepatah orang tua-tua. Kedua-duanya pertama kali bertemu sewaktu penggambaran klip-video di Jakarta, Indonesia, kerana rakaman lagu dijalankan berasingan.

Dalam beberapa kali pertemuan lain, memutikkan kemesraan di antara mereka. Tengok dari luaran, lagak macam ada sesuatu yang istimewa. Apatah lagi, mereka tampil mesra dan nampak serasi melantunkan lagu di atas pentas.

Malahan, Alyah tanpa berselindung kerap memanggil Riz sebagai kekasih sewaktu mengundangnya naik ke atas pentas. Kemesraan ditambah dengan gurau- senda serta tidak segan silu bertepuk-tampar di depan khalayak, menimbulkan pertanyaan apakah benar dalam hati mereka ada cinta?

“Semasa mula-mula tengok Riz di dalam AF6, Alyah kurang gemar. Sebab masa itu, ada satu kes kononnya dia bergaduh dengan Mama Rina. Dalam hati Alyah berbisik masa itu, eh Riz ini dengan orang yang lebih tua pun mahu diajak gaduh.

“Tetapi sekarang bila dah kenal, barulah tahu dia sama kepala dengan Alyah yang gila-gila.
“Semakin lagu itu mendapat sambutan, ramai pula yang fikir kononnya Alyah dan Riz ada hubungan istimewa.

“Ditambah dengan kemesraan kami yang adakalanya bertepuk-tampar di depan khalayak. Pergi manapun peminat akan tanya Alyah, mana Riz?

“Orang dah fikir lain. Padahal, kami sebenarnya berkawan baik sahaja. Tidak langsung melibatkan soal hati dan perasaan,” jelas Alyah yang semakin kencang menerusi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang.

Sakit

Tidak sahaja soal itu, perihal peribadi wanita berusia 28 tahun dari Gelang Patah, Johor ini juga menjadi tajuk utama.

Kisah lamanya yang sakit teruk gara-gara dikatakan terkena buatan orang kembali menjadi perbualan apabila Alyah khabarnya kembali diserang penyakit yang sama.

“Kenapa mahu dibangkitkan kembali cerita itu? Alyah tidak mahu bila keluar cerita-cerita negatif macam ini, membuatkan orang lain fikir Alyah adalah artis yang banyak masalah.

“Memang betul, semasa menyertai OIAM pertama dulu, Alyah sakit. Tetapi semangat juang Alyah tinggi.

“Alyah tahu, tidak semua orang suka Alyah, tetapi takkanlah Alyah nak puaskan hati semua orang atau paksa semua orang agar menyukai Alyah, betul tak?

“Kalau sakit-sakit sedikit itu biasalah disebabkan penat bekerja. Sekarang, semua benda Alyah uruskan sendiri dengan bantuan seorang pembantu peribadi.

“Cerita Alyah sakit kena buatan orang yang tersiar baru-baru ini sebenarnya bukan dari mulut Alyah sendiri.

“Alyah tak mahu orang lain anggap Alyah selalu sangat sakit, takut nanti boleh hilangkan kepercayaan terhadap kredibiliti Alyah.

“Jadi, tanyalah pada Alyah terlebih dahulu tentang kebenaran cerita itu. Selepas ini, Alyah perlu berhati-hati dengan pergaulan.

“Sekarang, Alyah bersyukur sangat sebab kewujudan di bidang seni ini disedari dan diterima baik. Sekarang, sudah banyak undangan mengadakan persembahan. Alyah dah tunggu sembilan tahun untuk capai pada tahap sekarang,” luahnya.

Riz akui selesa

Riz yang berada di sebelah Alyah suka sangat menyakat. Riz mengakui, ada kalangan peminat bertanyakan kepastian tentang gossip hubungan dengan pasangan duetnya itu.

“Alyah kepala gila-gila. Jadi, saya tak rasa risau mahu bergurau dengannya sebab dia boleh terima cara saya. Bukan sekali diundang menyanyi bersama dalam satu majlis, sebab itulah kami rapat.

“Ada jugalah peminat bertanya pasal saya dengan Alyah. Tapi saya jelaskan yang kami adalah pasangan duet untuk lagu Kupinjam Satu Bintang. Sebab itulah, adakalanya kami selalu bersama di dalam satu majlis.

“Saya senang berkawan dengan dia, sebab adakalanya dia ini lawak jugalah,” kata Riz.

Riz baru muncul dengan lagu single terbaru berjudul Harusku Yang Pergi, ciptaan sepenuhnya oleh Ajai. Lagu single pertamanya yang popular ialah Hanya Sandiwara.

Single itu diterbitkan oleh syarikatnya sendiri Riz Entertainment dan kerjasama dengan Casa Inovasi Sdn. Bhd. Dalam waktu yang sama, Riz sedang berurusan dengan beberapa pihak bagi mencapai kata sepakat memilih syarikat rakaman bagi mengedarkan albumnya nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan