8/10/2009

Peserta wanita ungguli Suara Karaoke HAI-Red Box Pulau Pinang

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN

(dari kiri) Nurul Asiah (tempat ke-4), Tan Pei Qi (tempat ke-3), Hasfareza (naib juara) dan Norsyefa (juara)


PERTANDINGAN Suara Karaoke HAI-Red Box semakin hebat, hangat dan menarik untuk diikuti oleh mereka yang berminat mencipta nama dalam dunia seni tanahair.

Hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 untuk juara hingga tempat ketiga terus menggamit para pembaca setia majalah HAI untuk menyertai pertandingan ini.

Justeru, selepas Johor Bahru, Klang dan Seremban, pertandingan yang diadakan di Red Box Plaza Gurney, Pulau Pinang pada 25 Julai lalu turut mendapat sambutan hangat.

Bukan saja pembaca dari negeri itu yang mencuba nasib, malah ada juga yang datang dari negeri Perlis, Kedah dan Perak.

Tidak terkecuali juga, peserta yang pernah masuk bertanding di lokasi lain dan gagal mendapat tempat, turut sama hadir untuk mencuba nasib sekali lagi tanpa kenal erti putus asa.

Ini kerana selain hadiah wang tunai, sasaran utama mereka ialah peluang menjadi artis rakaman syarikat Millenium Arts Sdn. Bhd. milik Julfekar Ahmad Shah yang juga merupakan ketua juri di setiap lokasi pertandingan.

Siapa yang tidak ingin mempunyai lagu sendiri serta menjadi artis rakaman, kan?

Jadi, tidak hairanlah majoriti peserta pertandingan yang dibawa khas oleh Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. serta pusat karaoke keluarga Red Box, Green Box dan Red Box Ria itu hadir dengan ditemani oleh keluarga masing-masing sebagai tanda sokongan.

Mohamad Basri Adnan dan Mohamad Jaafar Mohd Anuar yang masing-masing berusia 15 tahun, menjadi peserta lelaki paling termuda manakala Syaza Farhana Shahrul Ridhwan dan Siti Nur Lyana Abdul Hamid yang masing-masing berusia 13 tahun, menjadi peserta wanita paling termuda pada hari tersebut.

Seperti biasa, barisan juri terdiri daripada Penolong Pengarang HAI, Emma Hassan, Julfekar dan Penasihat Cherry Talent and Management, Along Bakar.

Mereka memilih 21 peserta untuk bersaing ke peringkat suku akhir yang berlangsung pada pukul 3.30 petang dan akhirnya memilih Siti Norsyefa Mohamad Philip Lim sebagai juara, Hasfareza Harun (kedua),Tan Pei Qi (ketiga) dan Nurul Asiah Zaidi (keempat).

Mereka membawa cabaran di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur pada 16 Ogos.

Petugas dari Jamu Mak Dara, Mohd. Rushdi dan Mohd. Ishar turut sama melicinkan perjalanan pertandingan Suara Karaoke HAI-Red Box di Pulau Pinang itu.

Tuah saat akhir


Kemantapan suara Siti Norsyefa, 21, yang menyanyikan lagu Because Of You dendangan Kelly Clarkson menyaksikannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 dan baucer Red Box bernilai RM50.

“Memang tak sangka kerana saya ialah peserta paling akhir menyanyi di peringkat saringan kerana baru habis bekerja di sebuah hospital swasta. Sebaik tamat bekerja pukul 2.00 petang saya terus bergegas ke sini.

“Semasa menyanyi saya buat bersungguh-sungguh kerana timbul rasa yakin boleh menang salah satu tempat terbaik,” kata anak keempat daripada lima adik-beradik yang pernah menang tempat pertama dalam beberapa pertandingan nyanyian yang disertainya.

Hasfareza,21,menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu yang dipopularkan oleh Ning Baizura dan membawa pulang wang tunai RM150 dan baucer Red Box bernilai RM50.00.

“Saya pernah masuk pertandingan Bintang RTM tahun ini, mewakili negeri Kedah untuk Bintang P. Ramlee-Saloma Zon Utara, Bintang Klasik Nasional serta banyak pertandingan karaoke.

“Saya terkejut apabila diumumkan menang tempat kedua kerana saingan memang hebat. Saya akan buat yang terbaik dan pilih lagu yang sesuai untuk separuh akhir nanti,” janji anak ketiga daripada lima adik-beradik ini.

Tan Pei Qi,16, mencuri tumpuan kerana satu-satunya peserta bukan Melayu yang layak ke separuh akhir. Dia menyanyikan lagu I Will Always Love You dendangan Whitney Houston dan menerima hadiah wang tunai RM100 dan baucer Red Box bernilai RM50.00.

“Saya jarang masuk pertandingan menyanyi. Keluarga pun tak yakin sangat apabila saya masuk pertandingan anjuran HAI dan Red Box ini. Sudah pastilah saya akan buat yang terbaik pada peringkat separuh akhir nanti dan mungkin akan nyanyikan lagu Gemilang,” kata anak sulung daripada lima adik-beradik ini.

Ayat-ayat Cinta


Sementara itu, Nurul Asiah, 24, pula menyanyikan lagu Ayat-Ayat Cinta nyanyian sal Rossa dan menerima hadiah wang tunai RM50.00 dan baucer Red Box bernilai RM50.00.

Dia beruntung kerana pakej lengkap yang ada padanya membuatkan dia jadi pilihan juri dan diberi peluang beraksi pada separuh akhir.

“Saya sebenarnya suka menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza. Tapi hari ini, juri suruh saya menyanyikan lagu Rossa dan saya sahut cabaran itu.

“Terkejut jugalah apabila dipilih kerana semua peserta hebat-hebat belaka,” ujar anak keempat daripada sembilan adik-beradik ini yang diusik dengan julukan Rossa Penang.

Kesemua hadiah wang tunai untuk peringkat suku akhir ini adalah tajaan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan