8/07/2009

Dr. Fazley ‘Superhero’ Alyah

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: JEFFRI IRAN
LOKASI: MINES WELLNESS HOTEL



PERTAMA kali Alyah Abu Hasan bertemu Dr.Fazley Yaakob, sewaktu berada di studio rakaman milik komposer terkenal, Ajai di Taman Tun Dr Ismail.

Ketika itu, Ajai meminta pertolongan Alyah menyumbangkan suaranya untuk lagu terbaru Fazley berjudul Superhero.

Lama tidak bertemu, Alyah kembali bertemu Fazley dalam satu fotografi yang diaturkan oleh pihak pengurusan Wake The Baby untuk majalah HAI.

Alyah kelihatan malu-malu bergandingan dengan Fazley. Katanya segan kerana Fazley lebih senior dalam industri seni.

“Kali pertama jumpa Fazley ketika dia sedang merakamkan lagu di studio abang Ajai. Kebetulan saya berada di sana, jadi abang Ajai minta saya menyumbangkan sedikit suara untuk lagu berjudul Superhero.

“Ini bukan lagu duet. Saya menyanyi sedikit sahaja di dalam lagu itu. Dan bila lagu itu keluar nanti, nama saya tidak akan disebutkan,” ujar Alyah.

Celah Fazley,”Selain Alyah, lagu itu turut menyelitkan suara seorang VJ dari Indonesia pada permulaan lagu. Lagu ini merupakan single pertama sebelum mengeluarkan album penuh pada hujung tahun ini,” kata Fazley.

Permintaan peminat

Dalam kelembapan ekonomi sekarang, ramai artis terpaksa menangguhkan niat mengeluarkan album.

Berlainan pula situasinya dengan Fazley, yang tidak sekali-kali menggunakan alasan kemerosotan ekonomi sebagai penghalang untuk terus berkarya.

“Ke mana-mana saya pergi, semua orang bertanyakan tentang album terbaru. Jadi, saya tak rasa dalam keadaan sekarang, wajar melupakan hasrat mengeluarkan album.

“Album ini lahir atas permintaan peminat. Saya tak boleh abaikan jejak pertama saya dalam industri ini. Saya bermula dengan nyanyian. Walau bermacam-macam bidang lain yang saya ceburi, nyanyian tetap menjadi pilihan utama ,” jelas Fazley yang turut menghasilkan beberapa lirik lagu di dalam album terbarunya.

Diekori isteri

Sudah menjadi pandangan biasa, apabila setiap langkah Fazley diekori isteri tercinta, Azrene Soraya.

Namun, bagi penyanyi, pelakon dan pakar motivasi ini, perkara tersebut bukan satu masalah. Malah, dia bersyukur kerana sang isteri sanggup menemani walau ke mana sahaja dia melangkah.

“Saya mahu dia sentiasa di samping saya, dan berkongsi setiap emosi yang saya alami setiap hari. Jika dulu, hanya isteri yang menemani, sekarang kami merancang untuk membawa sekali anak sulung, Payish.

“Saya bawa mereka ke mana saja jika ada persembahan. Jika mereka tidak ikut, saya pasti akan pulang ke rumah pada hari itu juga, tidak kiralah lokasinya jauh atau tidak,” terang Fazley.


Alyah buat laporan polis

Melalui lagu Tak Mungkin Kerna Sayang, nama penyanyi wanita kelahiran Gelang Patah, Johor ini sedang menuju puncak.

Bertitik-tolak daripada populariti yang semakin menyinar, mengakibatkan Alyah menjadi salah seorang mangsa hasad dengki. Dia sering diganggu, diugut dan dikecam oleh seseorang yang tidak dikenali sehingga memaksanya membuat laporan polis.

“Mereka menyebarkan banyak fitnah tentang saya, sehingga menuduh saya menggunakan khidmat ‘along’ untuk menghasilkan album.

“Tak cukup dengan itu, mereka juga hantar e-mel mengugut untuk menyimbah muka saya dengan asid.

“Saya pernah minta mereka jumpa saya untuk berbincang baik-baik, tapi dengan syarat perbincangan itu dilakukan di balai polis. Namun, mereka menolak.

“Jalan terbaik, adalah melaporkan perkara tersebut pada pihak polis. Lebih baik saya bertindak awal sebelum perkara lebih buruk akan berlaku,”luah Alyah yang bakal muncul dalam telefilem Hari Raya berjudul Meriam Buluh. Lagu single keduanya yang sedang popular ialah Kupinjam Satu Bintang, gandingan bersama Riz AF6.

1 ulasan: