8/07/2009

“Bukan Datuk, Tan Sri ataupun orang asing,”- Nurul

OLEH: WAHIDA OTHMAN


CUBA katakan, artis janda manakah yang tidak terkena tempias gosip panas?

Sebab itulah, sejak dulu sampai sekarang, kebanyakan wanita cukup bimbang jika suami mereka berkawan dengan janda, kerana anggapan mereka, janda suka merampas suami orang lain.

Sukar untuk mengubah persepsi negatif itu, biarpun manusia menduduki dunia yang berteknologi canggih.

Ibu tunggal bernama Nurul Wahab ini juga, tidak terlepas daripada dikaitkan dengan beberapa golongan tertentu, apatah lagi dia khabarnya pernah dikatakan mengadakan persembahan di luar negara, di samping memandu kereta mewah serta semakin aktif dengan sukan berkuda yang kebanyakannya disertai golongan berada.

“Ya, memang benar saya sedang berkawan dengan seseorang. Tapi, hubungan kami masih terlalu awal untuk dilabelkan bercinta.

“Dia hanyalah orang biasa... bukan seorang yang berpangkat Datuk ataupun Tan Sri, dan dia juga bukan lelaki asing dari luar negara.

“Dalam banyak-banyak lelaki yang cuba mendekati saya, hanya dia saja yang mampu memahami karier saya.

“Tentang perkahwinan, ia masih jauh. Saya belum mahu memikirkannya. Kalau sudah sampai jodoh nanti, saya akan beritahu pada semua orang,” ujar Nurul.


Penjenamaan semula


Melihat penampilannya sekarang, jelas sekali wanita berkulit hitam manis ini kelihatan lebih seksi berbanding imejnya sebelum ini.

Ramai yang bilang seksi, malahan Nurul tidak menyangkal bahawa anak perempuannya, Ayu Nazirah turut sudah memahami kerjaya seninya.

“Ayu dah jadi anak dara sunti sekarang, jadi dia sudah faham kerja saya. Yang penting, kita pandai menjaga nama dan tidak keterlaluan.

“Penampilan terbaru ini adalah kerana penjenamaan semula diri saya. Saya mahu dikenali sebagai Nurul Wahab. Saya mahu khalayak buang jauh nama Nurul Ajai itu.

“Sebelum ini pun, saya pernah tampil seksi. Cuma, orang tak nampak sebab waktu itu saya masih isteri orang. Saya harap penampilan ini tidak menimbulkan cakap-cakap yang tidak enak didengar.

“Peminat sekarang bijak menilai, saya bukan sentiasa tampil begini. Ia bergantung pada mood dan situasi majlis,” ujar Nurul.


Tika cinta


Kemunculan album terbarunya, Tika Cinta membuktikan Nurul masih bersemangat dan mampu meneruskan kerjaya seni walaupun kini bersendirian.

“Berbelas lagu diberikan kepada saya, sehingga sukar untuk saya buat pilihan kerana semuanya bagus dan berkualiti. Akhirnya saya minta pengurus kanan Metadome Sdn. Bhd., KC Ismail untuk membuat pilihan bagi pihak saya.

“Tak sangka lagu-lagu yang dia pilih sangat bersesuaian dengan saya dari segi vokal dan jiwa. Maka, terbinalah album Tika Cinta ini buat peminat,”luahnya.

Album terbarunya itu memuatkan tujuh lagu, antaranya Tika Cinta, Kala Hati, Sepenuh Jiwa, Jadikan Aku Bintang, Tertutup Hati, Tangis Syukur, dan Bukan Cermin Di Hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan