8/07/2009

CLOSE UP : ANA DAHLIA


Ana Dahlia buah hati terbaru Rosyam
oleh : Ridzuan Abdul Rahman
foto: Noor Azlina Jaafar


MESKIPUN namanya tidak berada dalam senarai akhir peserta Pilih Kasih setelah diumumkan terkeluar oleh penerbit Rosyam Nor dari syarikat Suhan Movies & Trading sdn. Bhd. pada persembahan minggu ketiga, gadis bernama Ana Dahlia telah disunting oleh pengarah Bade Haji Azmi.


Dia memegang watak utama dalam drama Salam Terakhir terbitan Suhan Movies yang akan menemui peminat pada musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini di saluran TV3.


“Semasa tersingkir dari program itu, saya tak menangis sebab keliru sangat dengan apa yang berlaku. Hanya kawan-kawan yang menangis tanda simpati. Saya redha bila ditakdirkan dapat belajar ilmu lakonan sampai setakat itu.


“Selepas itu, saya begitu terkejut apabila ditawarkan berlakon oleh abang Rosyam. Kiranya saya dapat mendalami lebih banyak ilmu lakonan memandangkan pelakon senior lain juga hebat-hebat.


“Saya pegang watak Zairin yang bertunang dengan Mazman (Rosyam). Tapi sebenarnya, Zairin menaruh perasaan terhadap orang lain. Kenalah tengok sendiri drama ini kerana jalan ceritanya memang menyentuh perasaan,” ceritanya.


Ana pernah melakonkan watak kecil dalam sitkom Otai. Dia menggunakan nama Ana Dahlia atas cadangan Rosyam dan tenaga pengajar lain ketika menjadi peserta Pilih Kasih. Dia menganggap Pilih Kasih sebagai platform mengukir nama di bidang lakonan.


Berkorban


Bercerita tentang sejarah lampau, Ana memberitahu HAI, ketika zaman sekolah dia amat malu menonjolkan diri.


“Saya tak pernah menyertai sebarang pertandingan lakonan atau nyanyian lakonan. Selepas SPM, saya fokus pada keluarga kerana ayah tak sihat. Pada masa itu, saya bertugas sebagai pramugari syarikat penerbangan Air Asia.

“Apabila tengok keadaan ekonomi keluarga dah stabil, barulah saya tergerak hati mencuba nasib dalam lakonan. Ibu pula banyak mendorong dan bagi semangat sementara ayah pula suruh berfikir sebaiknya kerana bidang ini penuh cabaran.

“Semangat saya tambah berbunga apabila nampak iklan Pilih Kasih. Saya lebih tertarik untuk mencuba nasib dalam pertandingan ini kerana ada Rosyam Nor dan Erma Fatima yang merupakan idola saya sejak kecil. Malah ketika sesi uji bakat, saya dinilai oleh kak Erma Fatima.


“Uji bakat diadakan di Kuantan, Pahang. Sebaik sampai dari Gold Coast, Australia, dengan ditemani seorang kawan, saya terus memandu ke sana. Selesai uji bakat, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur kerana ada penerbangan ke Tawau, Sabah.


“Saya mahu cari ilmu baru dalam hidup. Saya bukan mahu ikut jejak sebilangan pramugari yang bertukar haluan menjadi anak seni. Saya buat semua ini kerana minat,” katanya yang mengambil cuti selama tiga bulan setengah hingga bulan ini kerana terlibat dalam Pilih Kasih.



Seiras Rita Rudaini

Ada yang mengaitkan Ana seiras wajah Rita Rudaini, menyebabkan dia mudah membina nama dalam seni.


“Saya rasa tak selesa disamakan dengan Rita. Mungkin itu pandangan orang lain. Kalau boleh, saya tak nak dibayangi atau dikaitkan dengan sesiapa.


“Saya juga tak bersandarkan kecantikan semata-mata kerana akhirnya bakat juga yang akan dinilai khalayak. Cuma, kecantikan ini dianggap bonus bagi membantu karier saya untuk lebih berkembang,” terang Ana.



Nama penuh: Diyana Mastura Jaafar

Tarikh Lahir: 21 Jun 1983
Asal: Taiping, Perak
Berat: 47 Kilogram

Tinggi: 160 Sentimeter

Zodiak: Gemini

Bilangan dalam keluarga: Anak kedua daripada enam adik-beradik
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia

1 ulasan:

  1. salam........sya hppy dpt jmpe akakm,mse dkat plih ksih

    BalasPadam