8/07/2009

5 Anak Wayang sedia bersaing dengan Pilih Kasih

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : NOOR AZLINA JAAFAR


BUAT julung kalinya, dua program realiti lakonan, Anak Wayang dan Pilih Kasih mendapat sambutan hangat.

Banyak pihak cuba membezakan kredibiliti dan kualiti yang ditonjolkan oleh para peserta daripada kedua-dua program tersebut.

Ada yang kata, Pilih Kasih lebih berkualiti, sedangkan Anak Wayang lebih pada glamor. Itu pendapat sesetengah pihak.

Namun, tujuan adalah sama iaitu mencari bakat pelapis di dalam dunia lakonan, baik untuk filem mahupun drama. Kewujudan program realiti lakonan telah membuka ruang kepada mereka di luar sana untuk mencuba nasib serta memberi platform bagi mengembangkan lagi bakat masing-masing.

Mungkin secara kebetulan, Anak Wayang terbitan Astro dan Pilih Kasih kendalian Rosyam Nor dari Suhan Movies & Trading di saluran TV2, muncul pada masa yang sama di samping mengetengahkan konsep hampir serupa, untuk mencari pelapis baru industri lakonan.

Dalam Anak Wayang, peserta paling menyerlah ialah Dayana, Afzan, Hairi, Hafiz dan Ruby, yang tidak pernah mengecewakan penonton dengan bakat serta kualiti lakonan yang diuji menerusi drama Kecuali Cintamu.

Namun, lima bintang baru ini bukan sahaja bakal bersaing dengan lambakan kemunculan pelakon baru, malah dengan pelakon baru kelahiran Pilih Kasih yang dikatakan jauh lebih berkualiti berbanding mereka.

Mampukah mereka bersaing dengan bintang Pilih Kasih? Ke mana arah tuju mereka selepas ini?

Jom, ikuti apa kata mereka:


Dayana sering dipuji

PELAKON cantik yang membawakan watak jururawat ini sering mendapat pujian khalayak yang begitu mengagumi lakonannya yang sungguh berkesan.

Empunya nama sebenar, Nur Dayana Kamsun Baharin,18, hanya berserah pada rezeki serta bakat yang ada bagi mengatasi peserta Pilih Kasih yang menjadi pencabar terbesarnya nanti.

“Sebenarnya, saya tidak mempunyai sebarang strategi untuk memastikan saya dapat kekal dan bersaing dengan bakat-bakat baru yang lain.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah menggunakan segala ilmu yang diperolehi.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti, saya mahu kekal lama dalam bidang ini bagi memeriahkan lagi industri lakonan tanah air,”terang anak tunggal ini.


Hafiz rasa tergugat

MENERUSI Anak Wayang, pria tampan bernama Hafiz Halim, 21, memegang watak konco samseng dalam drama Kecuali Cintamu.

“Memang saya rasa tergugat juga apabila khalayak mengatakan Pilih Kasih lebih bermutu. Mungkin khalayak masih tidak memahami konsep drama yang kami tonjolkan.

“Masing-masing mempunyai matlamat tersendiri. Anak Wayang mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam medium drama berbanding Pilih Kasih yang lebih kepada filem.

“Apa yang penting, kami ikhlas mengaplikasikan segala ilmu dan pengalaman yang ada bagi menonjolkan bakat dalam industri lakonan. Bila kita ikhlas, penonton akan dapat merasai apa yang kita sampaikan,”cerita anak kelahiran Kajang, Selangor ini.


Hairi lebih berpengalaman

PENGALAMAN bergelar pelajar dalam jurusan Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) banyak membantu empunya nama, Mohd Hairi Safwan Aznan, 21, dalam merealisasikan watak pengurus acara.

Bagi pelakon kelahiran Slim River, Perak ini, berlakon dalam teater dan drama tidak mempunyai perbezaan kerana kedua-duanya mencabar dirinya dari segi lakonan.

“Dalam teater, saya banyak belajar asas untuk menonjolkan emosi ke dalam watak. Ilmu yang saya perolehi sewaktu di Aswara itu saya praktikkan dalam lakonan drama.

“Tidak dinafikan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang teater memberi kelebihan kepada saya untuk menghidupkan watak dalam drama Kecuali Cintamu.

“Bagi saya, Anak Wayang merupakan program yang jauh lebih baik walaupun ada pihak mengatakan peserta Pilih Kasih lebih bermutu daripada kami.

“Selepas ini, saya ingin meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon dan gunakan segala ilmu serta pengalaman untuk mengubah mutu lakonan di Malaysia agar dapat bersaing dengan negara luar,” kata jejaka berbintang Capricon ini.


Ruby tidak gentar

MENJADI satu-satunya peserta berbangsa Cina tidak pernah melemahkan semangat Ooi Nor Wen atau Ruby, 22, untuk melakukan yang terbaik dalam bidang yang dicintai.

Ruby yang memegang watak pembantu peribadi begitu meminati dunia lakonan sejak kecil, tidak menganggap dirinya sukar untuk bersaing dengan pelakon-pelakon baru yang lain terutamanya daripada program Pilih Kasih.

“Soal persaingan dengan pelakon lain tidak pernah saya fikirkan. Jika kita mempunyai bakat dan aura tersendiri, pasti kita akan berjaya.

“Saya percaya dengan bakat yang dimiliki serta ilmu yang saya peroleh dalam Anak Wayang, pasti akan membantu saya mengejar cita-cita bergelar seorang pelakon yang berjaya suatu hari nanti.

“Saya lebih berminat untuk berlakon dalam drama dan filem. Tetapi, kalau diberi peluang berlakon teater, pasti saya akan terima,” ujar Ruby yang ingin kekal dalam industri lakonan Melayu.


Afzan tonjolkan bakat

BAGI jejaka tinggi lampai bernama Afzan A. Rahman, 27, yang memegang watak mekanik, berharap agar peluangnya sebagai seorang pelakon akan lebih cerah selepas memasuki Anak Wayang.

Walaupun perlu bersaing dengan peserta program Pilih Kasih, Afzan tidak pernah menganggap itu sebagai satu halangan untuk berjaya.

“Pengalaman dalam lakonan selama setahun sebelum ini banyak membantu. Walaupun hanya membawa watak sampingan, banyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi.

“Penyertaan dalam Anak Wayang merupakan satu platform yang bagus untuk memperkenalkan bakat dan diri saya kepada orang ramai.

“Tidak dinafikan, saya bukan saja perlu bersaing dengan peserta Anak Wayang lain, malah peserta Pilih Kasih.

“Namun, saya percaya bakat dan cara yang kami tonjolkan pada khalayak, pasti akan memberi kelebihan sebagai pelakon pelapis berbanding mereka,” kata Afzan yang lahir pada tanggal 22 Oktober, 1982.

2 ulasan:

  1. same ada anak wayang or pilih kasih,due2 ade kelebihan masing2..anak wayng mlhirkan pelakon seperti hairi, hafiz,afzan yg mmpunyai bakat dan keistimewaan tsendiri..yg pntg x perlulh terlalu sbk utk membandgkan yg mane lbh bkualiti..seharusnya kite sambut baek usaha pihak2 tertentu yg susah payah ingin mncari bakat terpendam di luar sane..tdk dnafikan ank wyg lbh bsifat komersil n populariti lbh terselah..namun pilih kasih juga dlihat dpt mlahirkn pelakon yg tdk krg hebatnya juga..oleh itu,kite harus mmbuang persepsi n anggapan buruk yg ade..bersikap lbh terbuka harus kite amalkan..

    BalasPadam
  2. Dalam byk2 anak wayang, amar bahrain shj paling popular

    BalasPadam