7/15/2009

Suami nafi dera Dira


DESAS-DESUS kononnya pelakon Dira Abu Zahar dicemburui dan didera oleh suaminya sendiri, Ash pemain keyboard kumpulan BAU, dinafikan oleh pelakon tersebut dalam HAI keluaran 7 Julai lalu.

Rentetan itu, HAI mendapatkan pula komen Ash, 26, atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid, bagi memberinya peluang menjelaskan keadaan sebenar.

“Cerita itu langsung tak berasas. Apabila orang kenal Dira, sebagai suami saya sangat berbangga. Tapi bila terlalu kerap soal kami disiarkan, nampak seperti saya menumpang populariti dia.

“Asalnya, Dira bukanlah orang seni. Dia belajar undang-undang tapi ceburi seni semata-mata nak rasa bagaimana indahnya dunia seni.

“Saya harap dia taklah hanyut apabila namanya semakin dikenali. Dan, tak ada sebab juga saya nak cemburukan dia setelah berjaya dikenali ramai. Kalau nak kongkong lebih baik saya larang dia daripada terus berlakon,” kata Ash.

Gaduh


Adatlah dalam sesebuah rumah tangga jika berlaku pergaduhan. Namun kata Ash, ia hanya riak-riak kecil, bukannya taufan yang melanda.

“Bergaduh itu biasalah. Setiap suami kena tegas dan tegur jika isteri buat silap. Kalau tidak nanti kepala suami kena pijak. Dira hak milik saya. Buat apa orang lain nak tentukan hidup kami.

“Dia pun tahu batas-batas sebagai isteri. Dia sudah jelaskan pada saya niatnya menceburi bidang seni.

“Dira berasal daripada keluarga berada, tapi ceburi seni sebab nak memahami kepayahan saya sebagai pemuzik. Saya pun faham kepayahan yang dia lalui. Jadi buat apa nak cemburu.

“Walaupun berlakon, dia tetap akan balik ke rumah apabila selesai di lokasi. Saya lagi cemburu kalau dia jadi peguam dan tak balik rumah kerana terlalu sibuk dengan kariernya.

“Saya sangat hairan dengan apa yang dihebohkan. Siapa orang itu yang nak cakap tentang hal-hal kami suami isteri,” tegas Ash tenang.

Seksi

Tuduhan tentang dera juga dijawab tanpa selindung. Ash mengakui Dira seorang yang lasak. Sifat kasar itulah yang menambat hati Ash.

“Dia lasak macam lelaki serta lebih kenal dan mahir tentang motosikal berkuasa besar berbanding saya. Kalaulah dia kena dera, takkanlah dia nak tunjukkan pada orang lain pula apabila pakai baju yang mendedahkan kesan parut itu. Sebenarnya, setelah kami kahwin, saya yang femininkan Dira.

“Saya tak anggap pakaiannya terlalu seksi. Lainlah kalau dia mendedahkan apa yang tak sepatutnya, memanglah saya marah,” kata Ash.

Kahwin muda


Ash mengakui berkahwin dalam usia muda banyak dugaan. Bukan meminta, namun jika ditakdirkan berlaku sesuatu dalam rumah tangga, kepentingan anak mereka, Tengku Anggun Deandra yang berumur setahun setengah perlu diutamakan.

“Apa jua masalah, kami ada anak yang sedang membesar. Saya tak cemburu tapi bengang juga kalau dia lepak lama-lama dengan kawan-kawan selepas penggambaran kerana sebagai isteri perlulah fikirkan anak di rumah.

“Setakat ini alhamdulillah, rumah tangga kami aman damai. Kalau dia sibuk, saya pun sibuk juga dengan karier sendiri. Biarlah dia berlakon demi minatnya.

“Walaupun Dira sibuk, keperluan zahir dan batin saya tetap dijaga. Sikit pun tak kurang. Sementara tenaga masih muda, inilah masa untuk stabilkan ekonomi keluarga,” ujarnya lagi.

BAU masih wujud


Sementara itu kumpulan BAU masih aktif berkarya. Jika dulu berlima, BAU kini tampil dengan enam anggota iaitu Ash, An Jojo (dram), Dino (gitar utama), Daud (gitar kedua), Nazrul (bes) dan Is (vokalis).

Mereka pernah tampil dengan album berjudul Wajah Kita pada tahun 2004 bersama label GLASS Records. Sebaik tamat kontrak pada tahun 2006, BAU kini bergerak sendiri sejak tahun lepas.

“Kami tampil dengan album mini berjudul Manifesto, memuatkan lima lagu. Kami mencari jalan mempromosi lagu ini dengan menjadikannya lagu tema untuk drama. Lagu Keranamu dan Kama Chemistry pernah dipilih untuk drama Gol & Gincu.

“Lagu Keranamu juga dipilih untuk drama Goda. Selain itu, lagu Potret dan Warkah dipilih untuk drama Sindarela, manakala lagu Demokratik Republik untuk drama Ponti Anak Remaja. Paling terbaru lagu Anggun untuk drama Merah Putih.

“Kebanyakan lagu adalah ciptaan Ash kerana dia tahu apa yang sesuai untuk BAU. Lagipun, dia adalah pengasas kumpulan ini,”kata An Jojo, anggota asal BAU.

Ash selaku ketua kumpulan pula memberitahu dia bukanlah gila kuasa sebaliknya bertujuan menghasilkan lagu yang baik untuk BAU.

“Saya mahu BAU dihargai. Banyak masalah yang berlaku pada artis kita sekarang hinggakan ada yang terpaksa bergelut untuk hidup.

“Tak dinafikan, saya sendiri dah putus asa dengan dunia seni kita. Itulah sebabnya kami bekerja tetap selain jadi pemuzik. Saya harap, media kita beri peluang pada artis tempatan,” pinta Ash.

Para peminat boleh berinteraksi dengan BAU menerusi laman sesawang www.myspace.com/bau.fc.

2 ulasan:

  1. mesti propa je kan...tgk diorang mcm bahagia jek

    BalasPadam
  2. biasa lah tu..orang kahwin banyak dugaan. kadang2 diorang ni ok tp ada orang kat luar pulak tak paham "man law". Bini orang pun nak try. cucuk bg gaduh..tak faham tul manusia macam ni. mungkin la kot.

    BalasPadam