7/20/2009

Mampukah Zizi bertahan lama dengan The Fabulous Cats?


The Fabulous Cats....(dari kiri) Cat Farish, Zizi, Wangi dan Adeep


MAMPUKAH bertahan lama? Mungkin itu pertanyaan utama kepada pemimpin The Fabulous Cats (TFC) iaitu Cat Farish, apabila mengumumkan penyertaan Zizi AF7, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Farhana.

Nama TFC sebelum ini menarik perhatian media dan juga peminat apabila sering bertukar penyanyi perempuan, dimulai oleh Ellie dan seterusnya, Alyah.

Penyertaan Zizi itu melengkapkan barisan TFC yang baru bersama ahli lain, Adeep dan Wangi Julianda dari Bandung, Indonesia.

Dengan keunikan dan kemantapan vokal yang dimiliki oleh empunya nama penuh, Nur Sazelah Mohd. Tahir, tidak hairanlah anak jati Sabah itu dengan pantas disunting menjadi ‘kucing perempuan terbaru’ TFC.

Menurut gadis yang lahir pada tanggal 23 Januari 1985, penyertaannya dalam TFC diharap dapat memberi ruang yang lebih luas di kemuncak seni.

“Saya rasa bersyukur kerana dapat bersama sebuah kumpulan yang cukup berpengalaman.

“Cat mula ‘melamar sejurus saya tersingkir semasa konsert minggu keempat AF7.


“Dia turut memberitahu yang saya mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang hiburan dan kebetulan mereka sedang mencari gadis yang mempunyai karakter seperti saya.


“Walaupun sudah mengikat kontrak sebagai ahli TFC, saya masih boleh mengikuti program dan pertunjukan pentas yang diaturkan oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd.

”Saya harap dapat menimba ilmu dan pengalaman berguna bersama TFC,” kata anak sulung daripada enam adik-beradik ini.


Istimewa


Cat Farish atau nama sebenarnya Farish Ramli, selaku pengasas TFC, memilih Zizi berdasarkan keistimewaan yang dimiliki oleh gadis itu.


“Saya memilih Zizi kerana dia mempunyai suara yang sangat sukar ditemui dan tak sama dengan penyanyi yang sedia ada.


“Suara rocknya itu membuatkan saya teringat pada kelunakan suara Shima dan Ella. Pemilihan Zizi sebagai ahli terbaru TFC adalah keputusan yang tepat.


“TFC adalah satu platform di mana saya dan Adeep memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk lebih maju dalam bidang seni.


“Oleh itu, saya beri kebebasan kepada Zizi untuk berkarya. Dia tidak hanya terikat dengan TFC, tetapi dia juga boleh aktif dengan program-program nyanyian lain tanpa TFC.


“Mungkin selepas kemunculan album ketiga kami berjudul Fabuloucity, setiap ahli TFC akan memiliki album solo masing-masing sebelum merakamkan album keempat,” jelas Cat.


Tangguh ke Indonesia


Sebelum ini, TFC ada menceritakan hasrat mereka untuk mencuba nasib ke Indonesia.

Namun, sehingga kini masih belum nampak sebarang tanda perancangan itu dilaksanakan.


Adakah itu hanya angan-angan kosong yang dicanai oleh kumpulan yang popular menerusi lagu Bawaku Terbang dan Slot Akasia ini?


“Sepatutnya kami sudah pun ke sana. Tetapi, disebabkan berlaku sedikit masalah dengan pertukaran ahli kumpulan, memaksa TFC menangguhkan dahulu rancangan tersebut.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, TFC akan terbang ke Indonesia selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami akan mempromosi album ketiga TFC, iaitu Fabuloucity ke sana nanti,” terang Cat mengenai kumpulannya yang bernaung di bawah syarikat rakaman Metadome Sdn. Bhd.

Bagi pembaca HAI yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kumpulan ini, layari laman web,
www.thefabulouscats.blogspot.com atau laman MySpace www.myspace.com/thefabulouscats.


FOTO : MONGGOGRAPHER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan