7/20/2009

CLOSE UP : COMEL


Comel mekap Mawi

GARA-GARA watak Comel di dalam drama bersiri popular berjudul Comel, gadis ini ‘hilang’ nama sebenarnya.

Siapa Comel sebenarnya? Jangan memandang enteng pada gadis berusia 23 tahun ini hanya kerana melihat bentuk fizikalnya yang kecil. Comel pernah aktif di bidang sukan sebelum bergelar pelakon.

“Saya mewakili sekolah rendah dan daerah untuk bertanding dalam acara lompat tinggi dan olahraga. Di sekolah menengah pula, saya aktif dalam pertandingan hoki dan bola jaring.

“Selepas itu, saya mewakili negeri Selangor dalam acara silat olahraga pada tahun 2003 hingga 2005 dan pernah meraih tempat pertama dan kedua.

“Saya juga pernah menganggotai pasukan bola sepak Malaysia B di posisi tengah. Bermula dengan pasukan Kuala Lumpur, saya akhirnya diberi peluang menganggotai pasukan negara.

“Saya juga pernah bertugas secara sambilan sebagai pengawal penyelamat di Sunway Lagoon. Boleh dikatakan saya terer juga berenang,” terangnya membuka cerita.

Menyanyi

Sudah tertulis rezeki Comel bukan di bidang sukan. Walaupun cintakan bidang tersebut, dia akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada lapangan itu kerana kecederaan akibat ligamen lutut terkoyak.

“Meskipun terasa sayang tapi tuah tidak menyebelahi di dalam sukan. Saya kena berehat selama setahun akibat kecederaan yang sangat serius.

“Disebabkan tiada sebarang aktiviti, saya akhirnya belajar mekap dengan kakak. Lama-kelamaan, saya sudah boleh menyolek orang lain.

“Setakat ini, dah ramai artis serta personaliti yang saya mekapkan, antaranya Mawi, Adam, Dafi, Datuk Seri Farid Ridzuan dan ramai lagi. Saya juga buat mekap untuk peserta Gangstarz dan My Starz LG.

“Disebabkan pengalaman semakin bertambah, saya bekerja pula di belakang tabir dengan team produksi sebagai penyelaras wardrobe dan mekap.

“Selepas itu saya diberi kepercayaan untuk jadi pembantu pengurus produksi bagi Ace Motion Pictures, Padi Pictures dan Juta Teguh. Antara dramanya ialah, Alamak Amy dan Life As A Celebrity.

“Dari situ saya maju setapak lagi apabila diberi peluang jadi ekstra untuk drama Puteri, Vice Versa, Romeo dan banyak lagi,” katanya yang turut aktif menyanyi ketika di bangku sekolah.

Gementar

Mengulas pembabitannya sebagai anak seni, Comel tidak pernah terfikir menjadi pelakon. Segala-galanya bermula daripada pengarah Aziz M. Osman.

“Mula-mula saya terdiam sebab tak yakin sangat dengan pelawaan itu. Tapi apabila difikirkan kebaikannya, saya ambil peluang itu. Tak lama selepas itu abang long (panggilan buat Aziz) beritahu sudah hasilkan drama yang hampir menyamai karakter diri saya.

“Dia minta saya jaga diri dan tingkah laku kerana selepas ini saya akan dikenali. Hari pertama penggambaran, saya rasa gementar dan banyak buat silap. Memang saya kena marah tapi saya terima dengan hati terbuka.

“Lagipun, saya dah biasa bekerja dengan dia dan sudah tahu mana yang terbaik. Segala komen saya terima untuk kebaikan. Mujurlah pelakon-pelakon lain banyak membantu.

“Sekarang ini boleh dikatakan orang dah mula kenal saya. Rasa segan dan malu jugalah bila jadi perhatian. Sebenarnya saya memang jenis happy go lucky, sama macam watak dalam drama Comel.

“Tapi nak tak nak, saya kenalah kawal diri supaya tidak keterlaluan hingga jadi bahan bualan orang. Walaupun orang kenal saya sebagai artis, saya tak kisah jika dipanggil untuk menyolek artis lain.

“Saya baru selesai berlakon telefilem Teknofobia GPS, Laila Sari, dan Diva-Diva Pencen. Saya masih belajar untuk pelbagaikan watak dan tak semestinya bawa watak sama.

“Saya tidak terikat dengan Ace Motions. Tapi setiap tawaran yang datang perlu dirujuk dulu dengan abang long kerana bimbang jadual penggambaran bertindan,” ujar Comel.

Nama penuh:Noorhanis Farhana Shaharuddin
Tarikh Lahir:22 Ogos 1986
Asal:Kuala Lumpur
Berat:42 Kilogram
Tinggi:153 Sentimeter
Zodiak:Leo
Bilangan dalam keluarga: Anak keempat daripada lapan adik-beradik
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan