10/27/2009

Fazley buka kedai

OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:SHAIFUDIN MOHD. NOR


MISI penyanyi lagu Superhero, Dr. Fazley Yaakob bukan saja mahu bergelar artis serba boleh, malahan juga berjaya sebagai usahawan muda.

Sudah dikenali sebagai pemilik Fazley International College, Fazley International Cosmetic, Fazley International Products dan Fazley International Collection, dia melebarkan sayap apabila membuka kedai konsep berjenama Fazley’s @ Bangsar pula.

Produk jualan di kedai yang terletak di Bangsar itu sudah tentunya menggunakan jenama namanya sendiri. Fazley begitu teruja bercerita tentang lapan jenama Fazley yang boleh didapati di kedainya.

“Saya menempatkan Fazley Cosmetic, Fazley Baraqah yang khusus untuk muslim, Fazley Babies, Fazley Delights, Fazley Gadgets, Fazley Apparels, Fazley Watches dan Fazley Jewellery.

“Sebelum ini, saya hanya ada kiosk Fazley Gadgets di Mid Valley dan One Utama, manakala barangan lain dipasarkan menerusi online. Tapi pelanggan minta buka kedai tetap, maka terhasillah Fazley’s @ Bangsar.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Mereka terdiri daripada berbilang kaum termasuklah orang asing. Ada yang datang untuk tempah biskut yang turut dijual,” katanya yang bercadang buka cawangan di tempat lain pula.

Restu keluarga

Menjadi kelaziman buat Fazley apabila setiap perkara dirujuk kepada kedua-dua orang tuanya. Begitulah juga yang berlaku terhadap penubuhan Fazley’s @ Bangsar ini yang mendapat restu orang tua.

“Sebenarnya, ibu adalah pencetus idea untuk saya buka kedai ini. Memandangkan saya jual produk secara online, ibu cadangkan supaya jual sekali biskut raya. Saya pun bersetuju dengan ideanya.

“Ketika sedang memandu kereta bersama isteri, Azrene Soraya, di kawasan Bangsar, kami ternampak satu iklan kedai kosong yang terletak di kawasan strategik. Lalu, kami terlintas nak menyewa kedai tersebut.

“Segera saya telefon ibu dan bapa yang ketika itu sedang mengerjakan umrah di Mekah untuk minta pandangan serta nasihat. Mereka beri restu dan doakan yang terbaik buat kami.

“Akhirnya, kedai ini dibuka pada hari kedua kita berpuasa. Saya anggap sambutan baik yang diberikan ini adalah berkat Ramadan dan rezeki anak kami, Ahmad Fariedz Shah (10 bulan).

“Selain pekerja, isteri dan adik-adik saya bekerjasama menguruskan kedai itu sekarang,” jelasnya yang meraikan rakan media dalam majlis berbuka puasa di Restoran Riverside, PWTC pada minggu akhir Ramadan lalu.

Showcase

Mengenai albumnya, Fazley mensasarkan ia bakal menemui peminat sebelum hujung tahun ini. Apatah lagi lagu single Superhero sedang rancak diputar oleh stesen radio tempatan.

“Single ini ibarat teaser sebelum album penuh menemui peminat. Kalau mengikut format AIM sekarang, enam lagu dah dikira sebagai album penuh. Saya dah rakam sebelas lagu.

“Saya tak bimbang orang kata album susah dijual sekarang. Itulah sebabnya saya sasarkan jual lagu menerusi cara muat turun (download), nada dering (ring tone) dan online.

“Cara ini dah jadi kebiasaan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia memang satu kelebihan pada orang yang pandai mengambil peluang. Penggiat seni tempatan perlu memanfaatkan sebaik mungkin teknologi yang ada.

“Jika dihitung, saya sudah sepuluh tahun berada dalam industri hiburan. Ramai yang bertanya saya tentang konsert ataupun showcase. Mungkin saya akan buat showcase semasa pelancaran album agar peminat berpuas hati.

“Saya juga bercadang untuk jelajah Sabah dan Sarawak untuk promosi album dan bertemu peminat. Saya sedar mereka jarang ada peluang berjumpa saya.

“Di semenanjung saya kerap bertemu peminat kerana selain menyanyi, saya juga jadi pengacara untuk program Suara Siswa yang disiarkan di RTM. Ia mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar.

“Saya akan melawat setiap IPTA seluruh negara kerana program ini dirakam dari sana. Program yang disiarkan secara langsung menuntut saya berada di luar kawasan selama empat kali dalam sebulan.

“Jadi peluang yang ada itu saya gunakan untuk buat sekali promosi album,” ujar Fazley.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan