10/27/2009

APA KES : “Mawi perlu buka kamus dan fahami makna tanggungjawab” – Datuk Stapa

OLEH: RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO: NOOR AZLINA JAAFAR


PELABURAN yang sia-sia! Begitulah yang terjadi kepada Datuk Stapa Haji Omar dan isteri, Datuk Azlina Haji Che Abdullah apabila memilih Mawi sebagai duta produk syarikat mereka DCL (De Classic Life (M) Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan DCL dan isterinya yang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif itu menyangka, pemilihan Raja SMS itu boleh melonjakkan lagi produk mereka. Tetapi sebaliknya pula berlaku apabila Mawi seakan sukar memberikan kerjasama.

Yang menjadi isu, Mawi sudah menerima bayaran penuh yang lumayan sedangkan kerja yang dilakukan boleh dikatakan hanya 1/5. Apa kes?

Ikuti penjelasan mereka tentang isu ini. Menariknya, tiada langsung riak-riak marah pada wajah kedua-dua pengasas DCL ini, menggambarkan keperibadian mereka yang tinggi sesuai dengan kedudukan sebagai peneraju syarikat MLM (Multi Level Marketing) yang berjaya.


Sejak bila ambil Mawi jadi duta?

Datuk Azlina: Kami lantik dia sejak Mei tahun lalu dan berakhir pada April tahun ini. Kontrak ini adalah untuk setahun. Mawi dilantik sebagai duta untuk air minuman ECPI.

Dalam kontrak yang dipersetujui bersama ada menyebut, dia kena beri kerjasama untuk hadir dalam sepuluh majlis yang ditetapkan oleh pihak kami.


Setakat ini berapa majlis yang dia hadir?

Datuk Azlina: Hanya dua saja. Komitmennya memang mengecewakan. Semasa mahu menandatangani kontrak, dia setuju dengan semua syarat yang ditetapkan.

Bayaran yang diberikan cukup lumayan. Tapi, dapat saja bayaran, begini pula jadinya. Ingatkan okeylah kami ambil dia kerana aura yang ada padanya, tapi ternyata semuanya hampa belaka.


Berurusan dengan siapa?

Datuk Azlina: Kami berurusan dengan Mawi dan Maestro (ketika itu belum dibubarkan). Dia beri macam-macam alasan untuk tidak hadir
dalam majlis anjuran syarikat kami. Antara alasannya... Nak kahwinlah, ke luar negaralah dan jadual padat.

Tapi, kami bertolak- ansur sampailah kontraknya tamat. Namun, walaupun kontrak habis, dia tetap kena bagi komitmen. Untuk majlis anugerah para pengedar kami pada 26 Disember nanti di Stadium Malawati, Shah Alam, dia kena hadir juga.


Kenapa pilih Mawi sebagai duta?

Datuk Azlina: Kami nampak dia ada ciri-ciri yang sesuai dengan produk. Tapi, jangkaan kami silap sama sekali. Sewaktu hadir ke majlis kami pun macam terpaksa saja. Suruh menyanyi, dia bagi alasan terlupa bawa minus one.

Tak macam seorang lagi duta kami, Arash Mohamad. Dia dah masuk tahun kelima dengan kami. Kerjasamanya sangat baik dan dia tak kedekut beri senyuman ikhlas kepada para pengedar dan pelanggan kami.

Datuk Stapa: Mawi tak boleh nak hadir di kebanyakan lokasi yang kami susun dan bagi alasan ada banyak kerja. Tak tahulah sama ada silap dia atau pihak pengurusannya.


Reaksi pengedar dan peminat yang hadir?

Datuk Stapa: Di dua lokasi yang Mawi hadir, para peminat sangat kecewa bila dia tak pernah nak bermesra dengan mereka. Dia terus hilang lepas menyanyi sedangkan fungsi duta sangat luas termasuklah melayan peminat.

Kami sedikit kecewa dengan sikapnya kerana Mawi tidak profesional. Sebagai duta yang telah dilantik, dia sepatutnya tahu sendiri tugas dan tanggungjawabnya.


Bagaimana tentang khabar angin mengenai cerita-cerita buruk di belakang?

Datuk Stapa: Saya tak berani kata kerana tak ada bukti. Tapi dengarnya dia macam nak salahkan kami dan cuba beri gambaran negatif. Sebenarnya, seperti saya tegaskan tadi, susah nak cakap masalah ini berpunca daripada dia sendiri ataupun pihak pengurusannya.

Saya nampak dia diuruskan oleh kawan-kawan yang bukan dalam bidang profesional dan tak faham apa yang perlu dibuat. Dulu, saya hanya dengar semua cerita negatif tentang Mawi. Apabila kena pada diri sendiri, barulah saya tahu kisah sebenarnya.


Dengarnya ada pengedar marah gambar Mawi dicetak pada label produk?

Datuk Stapa: Wajah dia dicetak pada produk water treatment dan susu awal lembu. Pengedar memang kecewa dengan sikap dia. Mereka lihat sendiri pembeli pun bengang dengan sikapnya yang tak hadir dalam kebanyakan majlis kami.

Kami tak menyesal dengan apa yang berlaku, cuma terkilan jugalah dengan sikapnya. Apa pun, kami belajar daripada pengalaman. Kesimpulannya, ia satu pelaburan yang tak berbaloi.


Mungkin kerana kontrak tamat, jadi Mawi tak perlu beri komitmen?

Datuk Stapa: Itu memang tak dinafikan. Tapi semasa dalam kontrak pun dia tak dapat datang... apa cerita? Kalau tahu tak boleh bagi komitmen, kenapa pula setuju tandatangan kontrak?

Memang tak ada surat hitam putih. Tapi kami berjanji mulut kalau dia tak sempat hadir ke sepuluh lokasi sehingga kontrak tamat, dia akan buat juga selepas itu. Perkara ini sudah dipersetujui bersama.

Kami hanya mahukan perkara itu berdasarkan apa yang telah dijanjikan. Sekurang-kurangnya, dia boleh susun jadual awal-awal untuk majlis kami. Takkan itu pun susah sangat.

Nasihat saya pada dia, bertanggungjawablah. Dia perlu buka kamus dan fahamilah makna tanggungjawab.


Siapa yang cari siapa sebenarnya?

Datuk Stapa: Pihak dia yang cari kami menerusi ejen bernama kak Jun, bukannya kami cari dia. Macam-macam mereka yakinkan kami sehinggalah kami setuju untuk ambil dia sebagai duta.

Sebenarnya, pengalaman kami bersama duta lain okey. Cuma dengan Mawi saja yang bermasalah. Dia umpama peribahasa ‘ada pun tak menambah, tiada pun tak mengurang’.

Kami belum terfikir nak cari pengganti tempat Mawi kerana produk kami pun ada kekuatan sendiri. Kami tak ada masalah dengan duta lain seperti Arash Mohamad, Marisa Yasmin serta yang lain-lain sebelum ini. Mereka bertanggungjawab dan jalankan tugas dengan baik sebagai duta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan