10/27/2009

Aleya cemburui suami

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: MOHD. HATIM MAZLAN


SETELAH dua bulan bergelar ibu kepada si kembar Aza Ameena Muhd Ashraf dan Asha Ameena Muhd Ashraf, penyampai stesen radio popular Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, mengakui amat mencemburui suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin.

Walaupun kedengaran pelik, tetapi dia mempunyai alasan tersendiri.

“Sekarang ini, buat apa-apa sekali pun saya akan teringat pada anak-anak. Nak kerja pun asyik terfikir tentang mereka.

“Saya rasa susah nak tinggalkan mereka. Kadang kala, saya cemburu lihat suami yang tidur nyenyak dengan si kembar itu.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang rajin. Sepanjang bekerja di konti, dialah yang menjaga anak-anak kami dengan baik sekali.

“Dia juga nampak teruja dengan kelahiran kembar ini. Kerana terlalu sayang pada anak, dia sanggup memotong rambut dan mencukur misai agar anak-anak tidak menangis jika terkena rambut ataupun misainya.

“Pernah sekali dia selesema dan batuk, saya melarangnya mendekati Aza dan Asha. Terus sahaja dia makan ubat, walaupun sebenarnya dia memang tak suka makan ubat,” cerita Aleya yang kini bertambah bahagia setelah lengkap kehidupan sebagai seorang wanita.

Selesa jaga sendiri anak

Bertuah sungguh Aza dan Asha kerana memiliki ibu bapa yang sangat mengambil berat.

Malahan menurut Aleya, dia dan suaminya tidak akan menghantar bayi kembar mereka ke pusat asuhan kanak-kanak, biarpun sesibuk mana jadual kerja mereka.

“Saya dan Ashraf lebih selesa jaga anak sendiri. Jika tidak pun, saya akan minta tolong mama untuk tengok-tengokkan mereka sebab kami masih lagi tinggal di rumah keluarga saya.

“Saya memang selesa menjaga mereka sendiri. Sejak lahir, saya sendiri yang mandikan mereka. Mungkin ada orang yang tidak berani pegang bayi kerana terlalu kecil, tetapi demi kasih dan tanggungjawab pada anak-anak, saya beranikan diri.

“Saya juga suka pakaikan sendiri baju anak-anak. Jika Ashraf yang pakaikan, selalunya baju lain, seluar pula lain,” ujar Aleya sambil tergelak besar.

Sedih

Kata Aleya lagi, jika mengikut turutan Aza terlebih dahulu dilahirkan dengan berat sebanyak 1.71 kilogram dan Asha pula seberat 1.98 kilogram.

Nama Aza diambil sempena nama arwah nenek Aleya disebelah bapa, manakala Asha pula dipilih dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud harapan.

“Saya sedih sebab arwah nenek meninggal dunia sebelum sempat mendapat tahu saya hamil,” terangnya sambil memberitahu HAI, pada sebelah pipi kiri Asha kelihatan mempunyai tanda lahir dan dijangka akan hilang beberapa bulan lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan