OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : ZAKARIA IDRIS
LOKASI : HOTEL PNB SIME DARBY, KUALA LUMPUR
PAKAIAN : KIMIE SRI ANDAMAN, KAJANG (019-3219607)
d’MASIV yang dibarisi oleh Rian Ekky Pradipta atau Rian (vokalis), 23, Dwikky Aditya Marsall atau Kiki (gitar), 21, Nurul Damar Ramadhan atau Rama (gitar), 22, Rayyi Kurnia Iskandar atau Ray (bes), 21, dan Wahyu Piadji atau Why (dram), teruja menyambut Hari Raya tahun ini.
Dengan mengenakan persalinan baru, lima jejaka dari seberang ini sudah bersiap sedia untuk keluar beraya menziarahi rumah kaum keluarga dan sahabat handai di kampung.
Bagi Ray, keseronokan menyambut hari raya adalah apabila dapat berkumpul dengan sanak saudara dan bergaya dengan pakaian baru.
“Saya akan pulang ke Bandung, tiga hari sebelum hari raya. Rasa seronok dan tidak sabar hendak berkumpul dengan keluarga.
“Saya merancang untuk membeli baju untuk keluarga agar bila Hari Raya nanti pakaian kami akan seragam,” ujar Ray.
Mengimbau kenangan raya, Rama pula ada cerita yang cukup menarik ketika dia berusia 11 tahun.
“Dulu, saya mahu tidur di masjid dengan kawan-kawan semasa malam takbir raya. Tapi ayah tak benarkan dan saya ambil keputusan keluar dari rumah senyap-senyap.
“Saya amat terkejut bila bangun tidur saja saya sudah ada di rumah. Mungkin terlalu penat, saya langsung tidak sedar ayah datang mengangkat saya pulang ke rumah,” kata Rama.
Rumah terbuka untuk peminat
Sementara itu, Kiki pula merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk peminat d’Masiv bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim mereka.
“Persiapan untuk diri saya tahun ini sederhana saja kerana saya mahu membelikan baju baru untuk adik dan juga ibu bapa saya.
“Sejak bergelar artis, setiap kali tibanya hari raya, pasti ramai yang akan datang ke rumah. Tahun ini saya rancang membuat rumah terbuka untuk peminat,” kata Kiki.
Jika yang lain seronok bercerita mengenai raya, Rian pula sebaliknya. Setiap kali tiba hari raya, pasti Rian akan sedih terkenangkan arwah neneknya.
“Sedih nenek tidak dapat lihat kejayaan d’Masiv. Arwah nenek banyak mendoakan kejayaan band kami. Dia meninggal dunia selepas hari raya dua tahun lepas.
“Berkat doanya telah membuatkan kami dikenali. Pastinya saya akan merindunya setiap kali tiba hari raya,” cerita jejaka berusia 22 tahun ini.
Raya pertama sebagai Muslim
Lain pula cerita Wahyu. Raya tahun ini merupakan sambutan pertamanya kerana jejaka dari Jakarta ini baru saja memeluk Islam pada 9 Jun lalu.
“Majoriti penduduk di Indonesia beragama Islam dan saya pernah merasai pengalaman menyambut hari raya. Cuma, tahun ini cukup istimewa kerana ia merupakan raya pertama saya sebagai seorang muslim.
“Soal berpuasa, tidak menjadi masalah kepada saya kerana sebelum ini saya dah terbiasa ikut teman-teman yang lain berpuasa,” kata Wahyu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan