9/09/2009

Kemeriahan raya artis Millennium Art dan penyampai radio beraya di Sabah

OLEH: RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:MILLENNIUM ART SDN. BHD.
SOLEKAN:ZUE BEAUTY STUDIO (019-3819824)


SELALUNYA fotografi Hari Raya yang menggabungkan artis dan penyampai radio dilakukan di Kuala Lumpur. Namun, ada kelainan kali ini apabila artis dari Semenanjung ditemukan dengan penyampai radio dari SABAHfm.

Perkara yang jarang berlaku ini terhasil menerusi kerjasama erat majalah HAI bersama syarikat rakaman Millennium Art Sdn. Bhd. serta Bridge IT Systems East Malaysia yang menganjurkan Road Show Jelajah Sabah yang diberi nama ‘Konsert Millennium HAI Selamber Jer...!!!

Turut menyokong penganjuran konsert dan sesi jelajah bertemu peminat ini ialah SABAHfm, Sri Pelancongan Sabah Sdn. Bhd serta TAWAUfm, SANDAKANfm, badan berkanun, pihak swasta dan badan korporat di Sabah.

Acara gilang-gemilang itu bakal dilaksanakan bermula 22 hingga 29 Oktober ini. Khas buat warga Sabah, inilah masanya mendekatkan lagi hubungan dengan majalah HAI berserta artis-artis popular.

Seronoknya tujuh artis Millennium Art milik komposer Julfekar Ahmad Shah iaitu Leez AF4, Suria dari kumpulan Akasia, Rahayudean, Jassica, Fiona, Syazwanie dan Farlyana apabila dapat berkumpul dan beraya dengan tiga artis Sabah, Emjay, Rosmin dan Acai serta para penyampai SABAHfm.

Maklumlah, bukan senang nak bertemu muka dengan penyampai SABAHfm yang begitu popular di sana. Selama ini mungkin mereka hanya dapat dengar suara kesemua penyampai itu menerusi siaran di Internet.

Setelah bertemu, sudah tentulah kemesraan akan bertaut dan ikatan menjadi lebih erat. Apabila berkumpul beramai-ramai sudah tentulah banyak perkara dapat diperbualkan termasuklah tentang gosip panas.

Tapi jangan ‘terlebih sudah’ bergosip kerana silap-silap kurang pula pahala beraya!
Barisan penyampai SABAHfm ialah Malinaziah Julaspi (Pengawal Radio SabahFM), penyampai Florence Jo, Johara Abdullah,Suzana Abdullah, Ramhanizan Jahamin, Dayang Marni Ag Matusin, Helen Buyong, Muzaffar Syah Alias dan Mohd. Rosol.

Malinaziah terpaksa bertugas kerana memberi laluan untuk anak buahnya bercuti raya. Begitu juga dengan Muzaffar Syah Alias atau Saito turut kena bekerja.

Florence dan Helen pula walaupun tidak menyambut Aidilfitri tetap meraikannya dengan rakan-rakan beragama Islam selaras dengan konsep 1 Malaysia.

Johara akan menyambut raya dengan keluarganya di Kota Kinabalu, Suzana pula balik beraya di rumah mentua di Terengganu dan Ramhanizan atau Hani akan beraya di kampungnya di Ranau.

Manakala Dayang Marni Ag Matusin akan beraya di Papar dan Mohd. Rosol atau Lai Manja akan pulang ke kampung halamannya di Kelantan.

Artis seronok beraya

Semua artis yang terlibat nampak ceria kerana ini pengalaman pertama dibawa menjalani sesi fotografi Hari Raya HAI di Sabah. Mereka juga ada cara sendiri meraikan Aidilfitri.

Leez akan meraikan Aidilfitri dengan keluarganya di Kelantan, Suria pula bersama keluarga di Puchong, Rahayudean beraya dengan keluarganya di Johor, sementara Farlyana juga menyambut raya di Johor bersama keluarganya.

Syazwanie pula akan meraikannya dengan keluarga di Cheras. Manakala, Jassica akan bertandang ke rumah kawan-kawan beragama Islam di Johor. Fiona juga turut berbuat demikian dengan beraya di rumah kawan-kawannya di Sarawak.

Emjay yang juga Pengarah Eksekutif Bridge IT Systems East Malaysia serta Rosmin dan Acai turut gembira meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing di Sabah.

Julfekar beraya dengan keluarga

Orang kuat di sebalik penganjuran konsert ini ialah Julfekar Ahmad Shah. Dia sudah lama tidak pulang beraya di Sabah dan akan meraikan Aidilfitri dengan anak-anaknya di Ampang.

Walaupun sibuk beraya, komposer ini tetap ligat memikirkan tentang konsert yang bakal berlangsung darpada 22 hingga 29 Oktober ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Emjay dari Bridge IT Systems, Malinaziah dari SABAHfm dan Sitti Hj. Damsal dari Sri Pelancongan Sabah yang jadi penganjur bersama konsert ini.

“Peminat Sabah jangan lepaskan peluang menonton konsert yang berlangsung pada pukul lapan malam bermula pada 22 Oktober di Dewan Masyarakat Tawau, 23 Oktober (Dewan Masyarakat Sandakan), 24 Oktober di Kundasang, 25 Oktober di Ranau untuk acara bertemu peminat, 27 Oktober (Dewan Masyarakat Kudat) dan 28 Oktober (Dewan Masyarakat Tuaran).

“Turut diadakan ialah sesi promosi bertemu peminat pada hari terakhir iaitu 29 Oktober di Centre Point, Kota Kinabalu pada pukul 1.00 tengah hari.

“Selain itu, Pertandingan Karaoke Mencari Bintang Millennium HAI Starz turut diadakan di empat lokasi iaitu Dewan Masyarakat Tawau pada 22 Oktober, Dewan Masyarakat Sandakan pada 23 Oktober, Dewan Masyarakat Kudat pada 27 Oktober dan Dewan Masyarakat Tuaran pada 28 Oktober.

“Hadiah yang ditawarkan sangat menarik antaranya wang tunai yang lumayan serta peluang menjadi artis rakaman Millennium Art Sdn. Bhd. Mereka yang berminat boleh dapatkan borang penyertaan dalam HAI keluaran ini dan keluaran seterusnya.

“Saringan pertandingan ini akan diadakan pada 10 Oktober di Tawau, 11 Oktober di Sandakan, 17 Oktober di Kudat dan 18 Oktober di Kota Kinabalu.

“Saya akan memberitahu lokasi sebenar pertandingan ini menerusi HAI. Jadi, pastikan anda tidak ketinggalan membeli HAI,” ujar Julfekar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan