OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : MOHD. SHARIFUL HAFIZAL
LOKASI : HOTEL VISTANA, KUALA LUMPUR.
PAKAIAN : KIMIE SRI ANDAMAN, KAJANG (019-3219607)
TAKBIR bergema menandakan Syawal sudah tiba. Selepas sebulan umat Islam mengerjakan ibadah puasa, kini tibalah detik untuk meraikan hari yang mulia.
Bagi kumpulan Seventeen yang dianggotai oleh Riefian Farajrsyah atau Ifan (vokalis), Yudhi Rus Haryanto atau Yudi (gitar), Herman Sikumbang atau Herman (gitar), M. Awal Purbani atau Bani (bes) dan Windu Andi Darmawan atau Andi (dram), Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk mereka memohon ampun dan maaf sesama insan.
Ifan paling tidak boleh melupakan saat dia meraikan hari raya di rumahnya sendiri bersama isteri dan anaknya.
“Waktu itu, buat pertama kalinya saya beraya tanpa orang tua. Selepas solat Aidilfitri, kami sekeluarga tidak dapat makan nasi yang dimasak kerana telah hangus.
“Oleh itu, seharian kami makan makanan segera kerana kedai makan semuanya tutup. Tahun ini kami akan kembali beraya di rumah sendiri dan harap-harap insiden lama tidak berulang lagi tahun ini,” cerita Ifan.
Bagi Herman pula, raya tahun ini sama seperti tahun sebelumnya, diraikan di kampung halaman.
“Pengalaman paling indah adalah di saat mudik (pulang ke kampung) bersama teman-teman sekampung.
“Dan juga tidak dilupakan makanan yang disajikan seperti ketupat, lontong dan opor ayam yang mengingatkan saya kemeriahan hari raya,” kata Herman.
Kritikal
Yudi pula punya pengalaman yang tidak boleh dilupakan semasa mengikuti rombongan takbir keliling kampung ketika berusia lima tahun
“Disebabkan lewat, saya bergegas ke arah rombongan. Semasa hendak melintas jalan, saya telah dilanggar oleh sebuah motosikal yang sangat laju sehingga saya tercampak di atas jalan raya.
“Kemalangan itu telah menyebabkan saya berada dalam kondisi kritikal dan dirawat sampai tiga bulan. Luka kesan insiden itu masih ada hingga sekarang,” jelas Yudi.
Sementara itu, bagi Bani dan Andi pula, ketibaan Hari Raya disambut secara sederhana saja.
“Bila raya, teringat zaman kecil dulu ikut teman-teman di kampung orang tua di Jogjakarta takbir keliling kampung. Seronok sangat waktu itu,” kata Bani yang kini tinggal di Jakarta.
Cerita Andi, “Sehingga sekarang masih teringat saat saya berjaya berpuasa penuh sebulan ketika dalam darjah satu. Waktu itu, ibu yang baru pulang dari rumah sakit yang sepatutnya berehat, telah meraikan pencapaian saya itu,” kata pemain dram yang sangat menyayangi ibunya itu.
Ramadhan Nan Gemilang
Sudah menjadi trend bila tiba saja hari raya, berlumba-lumba artis untuk menghasilkan lagu khas. Kumpulan Seventeen juga tidak terkecuali.
“Seminggu sebelum kami pulang ke kampung masing-masing, Seventeen sibuk dengan promosi single baru berkonsepkan ketuhanan berjudul Ramadhan Yang Indah yang dibuat khas sempena ketibaan Ramadhan.
“Untuk pasaran pendengar Malaysia pula, judulnya akan diubah kepada Ramadhan Nan Gemilang,” terang Yudi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan