9/09/2009

Macam-macam kisah Alexa beraya…

OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO : NOOR AZLINA JAAFAR
LOKASI : HOTEL NOVOTEL, KUALA LUMPUR
PAKAIAN : AJAY TAILORING (03-26931842)


SEPERTI anak muda yang lain, kumpulan Alexa yang diisi oleh Aqi (vokalis), Satrio (gitar), JMono (bes), Jar (dram) dan Rizki (gitar), juga tidak melepaskan peluang untuk pulang beraya di kampung halaman.

Aidilfitri tahun ini bakal disambut penuh meriah oleh Satrio kerana dia akan beraya bersama keluarga yang ramai.

“Saya mempunyai keluarga yang besar. Setiap kali Lebaran, semua saudara-mara seramai 200 orang akan berkumpul di rumah orang tua saya di Jakarta.

“Setiap keluarga akan membawa juadah masing-masing dan kami akan makan bersama. Memang meriah dan riuh rumah saya setiap kali Lebaran menjelma,” kata Satrio.

Di sebalik kegembiraan yang dirai, JMono memendam rasa sedih setiap kali menjelang Lebaran.

“Dulu sebelum arwah datuk meninggal dunia, dia akan menyuruh saya dan cucunya yang lain berbaris untuk memberi duit raya.

“Memang meriah sangat waktu itu. Sejak dia tiada, setiap kali menyambut lebaran pasti saya akan teringat dan merinduinya,” ujar JMono.

Ditarik ombak

Sementara itu, Fajar yang beraya di Jakarta, tidak dapat melupakan insiden raya semasa berusia sepuluh tahun.

“Waktu itu, ibu sedang sibuk membeli-belah di pasar berhampiran pantai. Akibat terlalu bosan, saya pergi ke pantai dan masuk ke laut untuk bermain ombak.

“Disebabkan ombak yang kuat, saya ditarik ke tengah laut dan hampir lemas. Seluruh keluarga panik dan bergegas berkumpul gara-gara saya yang hampir hilang waktu itu,” cerita Fajar.

Sambutan lebaran Rizki tahun lalu merupakan pengalaman yang paling bermakna buat dirinya dan seluruh keluarga.

“Pagi Lebaran tahun lalu, saya dan keluarga dikejutkan dengan berita kakak ipar saya yang baru saja mendapat seorang anak perempuan.

“Kami sekeluarga bergegas ke hospital bagi meraikan orang baru dalam keluarga kami. Selepas semuanya selesai, kami pulang untuk menyambut saudara-mara di rumah dan memberitahu berita gembira itu,” kata Rizki.

Kereta hilang

Cerita Aqi pula membuatkan dirinya tertawa sendirian apabila teringat insiden yang berlaku selepas selesai mengerjakan solat sunat Hari Raya.

“Bila selesai saja solat, saya menyedari yang kereta saya sudah tiada. Kelam-kabut dibuatnya.

“Rupa-rupanya, kereta saya telah dialihkan jauh dari tempat asal oleh orang lain yang keretanya dihalang oleh kereta saya kerana mahu pulang awal sebelum khutbah selesai,” cerita Aqi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan