9/09/2009

Johan & Ozlyn buat kenduri kahwin lepas raya


OLEH:RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:SYEFRY MONIZ
SOLEKAN:RINA DERINA(014-2233017)
PAKAIAN:KIMIE KAJANG COLLECTIONS(019-3219607)


SESI fotografi ini berlangsung dalam suasana ceria kerana Mohd. Yazid Lim Mohamad. Aziz atau Johan (Raja Lawak) dan Ozlyn Waty, baru berkahwin pada 25 Julai lalu. Sudah tentulah setiap saat yang dilalui penuh dengan gelak ketawa dan usik- mengusik.

Tahun ini, buat pertama kalinya juga mereka menyambut Aidilfitri sebagai suami isteri. Namun, perkahwinan itu agak kontroversi kerana dilakukan secara mengejut tanpa mengundang pihak media.

Apa agaknya yang mahu disorok sehingga mereka sanggup berbuat demikian? Ada yang berkata pasangan ini kahwin kerana tekanan daripada pihak media yang mengkritik perlakuan kurang senonoh mereka ketika berada di depan khalayak.

“Kami bernikah dengan buat majlis kecil-kecilan untuk saudara-mara terdekat. Jadi, tak perlulah nak ajak pihak media. Lagipun, ia diadakan di Masjid Lembah Jaya, Ampang, tentu tak sesuai untuk mengundang ramai orang.

“Kami kahwin bukan kerana tekanan ataupun kritikan daripada pihak media. Mereka salah faham mentafsir perlakuan kami. Memang susah nak puaskan hati semua orang. Ada yang suka, begitu juga sebaliknya.

“Sebenarnya, dah lama kami rancang nak bernikah iaitu pada Jun lagi. Tapi disebabkan masalah tertentu, kami terpaksa tunda sehingga pada tarikh 25 Julai lalu. Kalau orang nak buat gosip, terserahlah.

“Biarlah orang nak cakap apa pun. Selagi tak libatkan maruah, sudahlah. Jika berlebihan sangat, kami pasti akan ambil tindakan. Kadang kala, ada pihak yang suka mengadakan benda yang tiada,” kata Johan dan Ozlyn yang mahu menutup buku lama dan membuka lembaran baru dalam hidup.

Majlis kahwin macam rumah terbuka


Persiapan Hari Raya Johan, 25, dan Ozlyn, 28, dibuat secara sederhana. Ada perkara yang lebih penting perlu difikirkan iaitu mereka merancang mengadakan majlis kenduri kahwin untuk meraikan saudara mara, rakan-rakan artis dan pihak media selepas Hari Raya.

“Rasa teruja untuk sambut Hari Raya itu ada, tapi kami lebih pentingkan persiapan untuk kenduri kahwin nanti. Kami pun tak fikir warna tertentu untuk baju raya. Saya hanya pakai baju yang dijahit oleh nenek sebanyak tiga pasang.

“Selain untuk suami, sebagai kakak pertama daripada lapan adik- beradik, saya turut sediakan persiapan untuk adik-beradik yang lain serta anak saudara. Johan pun sama kerana dia anak kelima daripada 12 adik-beradik.

“Kami hanya sambut raya di Kuala Lumpur kerana saya orang Kampung Baru, manakala keluarga Johan pula di Ampang. Pada pagi raya pertama, saya sediakan rendang dan nasi tomato sebagai hidangan utama.

“Majlis kahwin kami akan diadakan di Dewan Prima LJT, Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada 26 September ini,” jelas Ozlyn.

Celah Johan,”Kami menjemput hampir 1, 500 tetamu. Ada tetamu istimewa yang akan hadir, tapi kami kena rahsiakan dulu siapakah orangnya. Kami berharap ada pihak yang berminat menaja majlis kahwin kami.

“Kami tak bersanding kerana majlis itu bertujuan untuk makan-makan dan beramah mesra dengan tetamu. Peminat pun boleh hadir kerana kami anggap majlis itu juga sebagai rumah terbuka kepada semua peminat,” katanya.

Buat masa ini, mereka masih tinggal dengan keluarga Johan. Sekiranya ada rezeki, mereka bercadang membeli rumah sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan