9/09/2009

Erry Putra belum berani bawa Zarynn jumpa keluarga

OLEH: RIDZUAN ABDUL RAHMAN
FOTO:NOOR AZLINA JAAFAR
SOLEKAN: ERRY (ZUL BASTARI:012-3812671), ZARYNN (NOREZZ:012-2139871)
PAKAIAN: GEDUNG AL HABSEE BANDAR BARU BANGI (019-3870121)
LOKASI: RESTORAN SATE KAJANG HJ SAMURI.


CEPAT benar Erry Putra dapat pengganti. Selepas putus cinta dengan gadis dari Ipoh, dia sekarang dalam fasa mengenali hati budi gadis bernama Zarynn Min, seorang pelakon yang sangat berkaliber.

Ketika fotografi dilakukan, nampak mereka masih malu-malu. Maklumlah, baru hendak memulakan episod cinta.

“Kami sudah lama kenal kerana pernah berlakon bersama dalam beberapa buah drama. Namun, perasaan cinta hanya terbit baru-baru ini apabila kami dapat rasakan keserasian.

“Tapi, untuk bercakap lebih lanjut tentang perasaan saya terhadapnya, rasa agak kekok juga. Saya mengaku sikap Zarynn menyenangkan kerana kami saling memahami diri dan karier masing-masing kerana berada dalam bidang yang sama.

“Adalah juga saya cuba buka mulut bercakap tentang soal hati dan perasaan, tapi reaksinya macam main-main, seperti saya bergurau. Saya tak kisah dan bersabar tunggu perkembangan hubungan kami,” kata Erry yang berusia awal 30-an.

Selalunya perantau seperti Erry akan pulang awal berhari raya di kampung. Tetapi tahun ini dia lambat balik ke Kelantan kerana terlibat dengan program di TV3 pada pagi Raya.

“Ini kali pertama saya terbabit dengan program pagi raya. Selesai program itu, barulah saya balik kampung kerana rindu nak makan nasi dagang dan ketupat daun palas. Mungkin saya akan jumpa Zarynn terlebih dulu sebelum bertolak.

“Di kampung selalunya keluarga akan tanya soal kahwin. Maklumlah usia saya semakin meningkat. Selalunya, saya akan bagi alasan yang logik agar mereka faham. Saya tak berani lagi bawa Zarynn balik ke kampung jumpa ibu bapa sebab hubungan kami masih baru.

“Harapan saya, hubungan ini berkekalan kerana saya rasa dah penat nak bertukar-tukar kekasih,” kata anak kelima daripada tujuh adik-beradik ini yang menyediakan dua pasang baju raya.

“Dari bahasa badan, dia menyukai saya”

Zarynn atau nama sebenarnya Noraszarinawati Tumin, 29, senada dengan Erry, mengakui mereka kawan lama. Mereka jadi rapat apabila sama-sama berlakon drama Matahari. Baru-baru ini mereka ditemukan lagi dalam drama bersiri berjudul Nurin Qistina terbitan Take One Production.

“Kami tak kerap berjumpa kerana masing-masing sibuk berlakon. Hanya SMS dan laman sosial Facebook jadi tempat kami berhubung bertanya khabar.

“Rasanya Erry menyenangi saya kerana saya faham situasi dia. Walaupun tak nampak ketara, saya boleh faham daripada bahasa badan yang dia menyukai saya.

“Kami baru hendak serius. Tak perlu nak ikut dia balik kampung dulu kerana kalau tak jadi, nanti malu pula. Memang ramai yang tak tahu kami bercinta kerana kami tak pernah tunjukkan pada sesiapa,” jelas anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini.

Laksa Johor dan rendang

Zarynn meraikan Aidilfitri di Gombak bersama keluarga.

“Pada saya sambutan Hari Raya Aidilfitri biasa saja. Tapi saya tetap beli tiga pasang baju raya untuk saya dan emak. Dua orang abang saya dah kahwin, manakala bapa pula lebih suka mengenakan pakaian yang sedia ada.

“Rumah kami meriah dengan kunjungan kanak-kanak yang datang beraya kerana mahukan duit raya. Biskut raya yang biasa emak buat hanya dua jenis iaitu tart nanas dan kuih kapal. Selebihnya kami hanya beli. Menu raya yang disediakan ialah laksa Johor dan rendang.

“Pada hari raya kedua, barulah kami sekeluarga pulang ke kampung sebelah emak di Tapah, Perak. Bapa sebenarnya berkahwin dua. Jadi, dia kena membahagi giliran beraya pada setiap tahun.

“Masa bapa ada bersama, seronoklah. Tapi bila dia tiada, suasana jadi lain. Apabila orang bertanya tentang dia susah kami nak terangkan. Tapi itu dululah, apabila dah besar sekarang saya dah tak berapa kisah semua itu,” cerita Zarynn.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan