9/09/2009
Riz bawa Nadia dan Alyah balik kampung
OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: NOOR AZLINA JAAFAR
SOLEKAN: ALYAH ( FAMIE: 012-2280178), NADIA (IS PESONA PENGANTIN:017-2475093)
PAKAIAN: GEDUNG AL HABSEE, BANDAR BARU BANGI (019-3870121)
LOKASI: RESTORAN SATE HJ SAMURI, KAJANG.
ADA sebahagian peminat Riz dan Nadia kurang senang melihat hubungan rapat naib juara AF6 itu dengan Alyah, penyanyi yang sedang naik daun dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang.
Hubungan rapat dan kemesraan mereka bertambah erat selepas lagu duet, Kupinjam Satu Bintang berjaya berada dalam carta lagu popular di beberapa buah stesen radio tempatan.
Jadi, sengaja HAI gabungkan ketiga-tiga mereka ini dalam fotografi raya. Sekurang-kurangnya, tidaklah lagi para peminat mereka ‘marah-marah.’
Kelakar dan geli hati pun ada sewaktu fotografi ini dijalankan. Yang beruntung, tentulah Riz sebab menjadi rebutan dua orang dara.
Apatah lagi, Alyah dan Nadia asyik bergurau mengatakan mereka bermadu.
Namun, di sebalik keceriaan, ada kisah duka daripada Riz. Sedih mendengar kisah keluarga penyanyi kacak ini yang terpaksa menanggung kerugian akibat kebakaran restoran milik mereka di Gerik, Perak.
Restoran yang diberi nama Restoran Riz itu terbakar teruk sehingga memusnahkan sepenuhnya bahagian dalam kedai.
“Restoran itu terbakar seminggu sebelum puasa, berpunca daripada salah satu kabel yang disambungkan pada televisyen telah terbakar. Akibatnya, kami terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM 20 ribu.
“Sebab itu saya rasa, tahun ini kami sekeluarga beraya secara sederhana saja. Jika tahun lepas, kami buat rumah terbuka pada hari raya pertama, tahun ini saya masih berkira-kira sama ada hendak buat rumah terbuka ataupun tidak.
“Kalau ada rezeki lebih nanti, bolehlah saya buat rumah terbuka. Nanti bolehlah Nadia dan Alyah datang beraya di di Gerik, Perak. Mereka adalah teman yang paling rapat dengan saya.
“Tahun lepas saya ada sepuluh pasang baju raya termasuk hadiah daripada peminat. Tapi tahun ini mungkin saya akan beli sebanyak lima pasang saja,” ujar Riz yang mempunyai hobi baru, menanam pokok bunga.
Nadia beraya sederhana
Lain pula kisahnya dengan gadis kecil molek ini. Persiapan raya kali ini secara sederhana saja.
“Saya nak bajet sikit, nak cuba menyimpan dan berjimat. Kalau ikut perancangan, saya nak lanjutkan pelajaran tak lama lagi.
“Setiap kali hari raya, saya akan ikut keluarga pulang ke Taiping dan Ipoh, Perak. Saya sekeluarga peruntukkan masa seminggu bercuti di sana.
“Insya-Allah, kalau ada masa terluang mungkin saya akan singgah di Gerik (kampung Riz), sebab tahun lepas saya tak sempat nak singgah ke rumahnya,” ujar Nadia yang mahu para peminat enjoy mendengar single lagu rayanya, Sketsa Menjelang Raya.
Alyah beraya dengan anak angkat
Hari raya tahun ini lebih bermakna buat Alyah dengan kehadiran seorang lagi anak angkatnya bernama, Nur Afiqah, 8 bulan.
“Saya baru saja ambil Nur Afiqah sebulan yang lalu. Sebelum ini, saya sudah mempunyai seorang anak angkat lelaki, Mohd. Alif, 3, yang diserahkan kepada saya sehari selepas lahir.
“Sebenarnya, kedua-dua anak angkat saya ini mempunyai pertalian darah dengan keluarga saya.
“Raya tahun ini lebih seronok sebab ada dua orang budak kecik dalam keluarga. Sekarang ini pun saya lebih memikirkan tentang persiapan pakaian raya mereka berbanding diri saya sendiri.
“Saya senang dengan kanak-kanak, jadi tiada masalah untuk menjaga mereka. Malahan di bulan puasa juga, saya ambil peluang untuk berniaga kuih-muih di Pasar Alam Mega, Shah Alam.
“Jadi, saya tak rasa anak angkat ini membataskan pekerjaan saya sekarang,”ujar Alyah yang akan pulang ke Gelang Patah, Johor pada hari raya pertama nanti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan